Harian Metro: Global |
Beckham jual ‘istana’ Posted: 25 Mar 2012 08:53 AM PDT LONDON: Mereka menjadikan Los Angeles kediaman mereka sejak lima tahun lalu. Dan kini, keluarga Beckham membuat keputusan untuk terus menetap di sana dan mahu menjual rumah mereka di Britain yang lebih dikenali sebagai Beckingham Palace. Menurut penialaian oleh ejen hartanah, rumah agam milik David dan Victoria itu di Hertfordshire, kini berharga kira-kira 18 juta pound (RM88 juta). Mereka juga membuat keputusan untuk menjual rumah mereka di Perancis yang berharga RM12.2 juta yang akan memutuskan pertalian mereka dengan Eropah.
Sumber berkata, mereka merasakan membazir membiarkan rumah indah itu dibiarkan kosong bulan demi bulan. Beckham baru-baru ini ditawarkan bermain dengan kelab bola sepak Paris, Saint Germain tetapi kerana tidak mahu berpindah lagi, dia menolak dengan memberi alasan 'keluarga.' Sumber itu berkata, "Mereka tidak perlukan wang tetapi kedua-dua rumah itu tidak digunakan lagi dan dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah tidak masuk akal untuk membazir wang begitu saja." "Keluarga mereka telah menjadikan LA sebagai rumah dan anak mereka pun gembira di sana." Pasangan itu membeli Beckingham Palace yang mempunyai laman sebesar 22 ekar pada 1999, tidak lama selepas berkahwin. Mereka membelanjakan RM88 juta untuk mengubahsuai rumah agam itu termasuk membina antara lain kolam renang dan gimnasium. Mereka turut membeli sebuah rumah dengan lapan bilik tidur di Perancis pada 2003 tetapi jarang meluangkan masa di rumah itu. Keluarga Beckham berpindah ke LA pada 2003, supaya David boleh bermain untuk kelab LA Galaxy. Mereka terus menjadikan LA sebagai rumah mereka dan anak-anak lelaki mereka, Brooklyn, Romeo dan Cruz bersekolah di sana. Ketika di Amerika Syarikat, mereka telah dikurnia seorang anak perempuan, Harper. David, 36, pernah berkata, dia tidak mahu berpindah kerana anak-anaknya gembira di LA. - Daily Mail |
Pasangan enggan lakukan seks dianggap kejam Posted: 25 Mar 2012 08:50 AM PDT NEW DELHI: Pasangan kelamin yang enggan melakukan hubungan seks, dianggap zalim oleh Mahkamah Tinggi di Delhi dalam satu kes rayuan untuk perceraian. Mahkamah mengisytiharkan keengganan melakukan seks itu berasas setelah si suami berkata isterinya enggan tidur bersama di malam pengantin dan hanya membenarkan melakukan hubungan 10 hingga 15 kali, dalam masa lima bulan.
Agensi Press Trust of India melaporkan hakim Kailash Gambhir ketika memberi keputusan berkata: "Keterangan suami mengatakan isteri tidak memberi tindak balas dan seperti tunggul kayu ketika melakukan hubungan seks, tidak dibantah." "Sudah terbukti tiada kemahuan melakukan hubungan seks tanpa sebab munasabah dan ini adalah kejam," katanya.
"Hubungan seks adalah asas dalam perkahwinan dan perkahwinan tanpa hubungan seks adalah perkara dibenci," katanya. "Perkahwinan tanpa hubungan seks akan menjadikan ia hambar. Mungkin ada kes di mana seorang daripada pasangan terlalu ghairah dengan seks atau pasangannya tidak mempunyai tahap keghairahan yang sama, tetapi ia sangat penting." Keputusan dibuat setelah penggubal undang-undang menjelaskan lagi rangka undang-undang untuk memudahkan perceraian. India masih mempraktikkan perkahwinan yang diatur keluarga dan perceraian jarang berlaku, tetapi kadar perceraian dilaporkan semakin meningkat di bandar besar sejak kebelakangan ini. - AFP |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Global To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan