Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Brunei kelima terkayaBANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581). Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli. Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru. "Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu. Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun. Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu. Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut. Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan. Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). - AGENSI |
Rusuhan di penjara Bali berakhir Posted: Rusuhan di penjara Bali berakhirBanduan-banduan membersihkan kawasan penjara selepas rusuhan tercetus di penjara Kerobokan berakhir di Bali, semalam. - AFP DENPASAR 25 Feb. - Pihak berkuasa Indonesia hari ini berjaya mengawal situasi di penjara Kerobokan di pulau peranginan Bali, Indonesia, mengakhiri rusuhan selama empat hari yang dilancarkan banduan sejak Rabu lalu. Pegawai keselamatan di Kementerian Kehakiman, Bambang Krisbanu berkata, kira-kira 1,000 banduan di penjara tersebut juga telah pulang ke sel kurungan masing-masing. "Keadaan di penjara telah dapat dikawal sepenuhnya. Saya mengesahkan tiada banduan melarikan diri semasa rusuhan berlaku," katanya. Sementara itu, jurucakap polis Bali berkata, kehadiran polis turut diminimumkan dengan hanya 10 polis bersenjata menjaga pintu masuk penjara. Bagaimanapun, sepasukan polis turut ditempatkan sekiranya rusuhan tercetus lagi. Pengarah penjara Kerobokan, Bowo Nariwono semalam dipecat berikutan kegagalan mengawal rusuhan di pusat tahanan itu. Khamis lalu, beratus-ratus anggota pasukan keselamatan yang mengepung penjara itu, bertindak melepaskan tembakan amaran dan menyembur gas pemedih bagi menghentikan rusuhan oleh banduan. Seramai 14 banduan asing turut dipindahkan ke sebuah pusat tahanan lain untuk keselamatan mereka kelmarin, namun banduan-banduan terlibat meminta mereka ditempatkan semula ke Kerobokan kerana enggan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta banduan lain. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan