Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Gempa: Jumlah kematian 48 orang

Posted:

Gempa: Jumlah kematian 48 orang

Gempa: Jumlah kematian 48 orang


Pasukan penyelamat dibantu penduduk kampung mengeluarkan mayat seorang penduduk kampung yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ekoran gempa bumi di La Libertad, Negros di tengah Filipina, semalam. - REUTERS


MANILA 7 Feb. - Pasukan penyelamat hari ini menggunakan cangkul dan tangan untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi sekuat 6.7 Skala Richter melanda tengah Filipina, semalam.

Jumlah korban dilaporkan meningkat kepada 48 orang, manakala 92 masih hilang.

Gempa bumi tersebut turut memusnahkan jambatan dan jalan-jalan di pulau Negros sehingga memaksa pasukan tentera dan bomba mendaki gunung untuk sampai ke kawasan perkampungan terpencil bagi operasi menyelamat.

Kebanyakan mangsa yang terkorban merupakan penduduk di perkampungan Planas yang terletak di bandar Guihulngan apabila kira-kira 30 buah rumah tertimbus dalam kejadian gempa, semalam.

Datuk Bandar Guihulngan, Ernesto Reyes berkata, pasukan penyelamat menggunakan cangkul untuk mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan dan bandar itu bakal berdepan kekurangan keranda ekoran jumlah kematian yang dilaporkan semakin meningkat.

"Kami tidak mempunyai bekalan air dan tenaga elektrik.

"Jalan-jalan utama dan jambatan turut musnah, selain kedai-kedai ditutup. Kami terputus hubungan dengan pihak luar," katanya.

Sehubungan itu, Presiden Benigno Aquino III mengarahkan pasukan tentera udara dan tentera laut untuk menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terutamanya di kawasan terpencil.

Gempa bumi, semalam berlaku kira-kira 72 kilometer ke utara Dumaguete, ibu kota wilayah Negros Oriental dan 650 kilometer ke tenggara Manila dengan kedalaman 46 kilometer. - AGENSI

Bandar Homs terus dibedil

Posted:

Bandar Homs terus dibedil

Bandar Homs terus dibedil

BEIRUT 7 Feb. - Sekurang-kurangnya 21 orang awam dan empat askar terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di bandar Homs, tengah Syria, hari ini, ketika serangan meriam tentera kerajaan ke atas bandar itu berterusan untuk hari keempat.

Kematian terbaru itu berlaku sehari selepas hampir 100 orang awam terbunuh di beberapa bandar di negara ini, jumlah kematian paling banyak sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad bermula kira-kira 11 bulan yang lalu.

Bunyi letupan roket dan tembakan mesingan turut kedengaran sekali-sekala di kawasan kediaman, Baba Amro.

Seorang aktivis, Abu Rami yang dihubungi melalui telefon berkata, bunyi letupan masih kedengaran pada waktu malam.

"Kedengaran empat letupan setiap lima minit dan sejak pagi tadi, serangan meriam ditumpukan di kawasan Baba Amro, Inshaat dan Jubar.

"Situasi krisis kemanusiaan di sini semakin teruk. Setiap orang tidak boleh bergerak sesuka hati kerana terdapat penembak curi di merata-rata tempat," katanya.

Seorang lagi aktivis berkata, bekalan makanan dan perubatan semakin berkurangan.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang- kurangnya 69 orang awam terbunuh di Homs, semalam dan kawasan sekitarnya selepas tentera kerajaan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas bandar itu.

Katanya, 13 orang lagi terbunuh dalam pertempuran di wilayah barat laut Idlib, seorang di Aleppo, dan 15 lagi di Damsyik.

Menurut laporan kumpulan hak asasi manusia, lebih 6,000 orang maut sejak revolusi di Syria meletus pada pertengahan Mac tahun lalu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan