Rabu, 29 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nasib ‘lelaki buih’

Posted: 28 Feb 2012 01:23 PM PST

HYDERABAD: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang digelar 'lelaki buih' kerana badannya yang dilitupi ketumbuhan mendedahkan bagaimana dia dilayan lebih buruk daripada haiwan terbiar oleh orang ramai.

Tubuh Mohammad Umar mula mengalami ketumbuhan pada tangannya ketika dia berusia 14 tahun dan sejak itu tumor tidak berbahaya berkenaan merebak secara perlahan-lahan ke seluruh anggota tubuhnya.


"Saya lelaki baik. Dan saya boleh bekerja keras. Tetapi paras rupa saya menjadi masalah kepada orang ramai. Tidak ada orang yang suka melihat saya atau mendekati saya. Ia memusnahkan kehidupan saya," kata Mohammad.

Mohammad yang berasal dari Hyderabad, India, dilahirkan sihat. Ibunya mempunyai ketumbuhan pada tangannya tetapi tidak di tempat lain. Tanpa disedari, wanita itu menurunkan penyakit yang lebih agresif kepada anaknya. Ibu Mohammad meninggal dunia pada 2001.


"Saya dilahirkan dengan kulit yang lembut dan licin. Saya tidak tahu apa yang tumbuh pada tubuh saya ketika berusia 14 tahun. Tetapi ibu saya menyedari ia sama dengan yang ada pada tangannya dan membawa saya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.


Tetapi, lama kelamaan, keadaan Mohammad bertambah teruk. Ketika berusia 20 tahun, tumor tumbuh secara rambang di beberapa bahagian badannya.

"Saya tahu ia akan bertambah teruk. Saya sedar ia akan menjadi mimpi buruk bagi saya," katanya.


Doktor memberitahu dia boleh menurunkan penyakit itu kepada anaknya jika dia berkahwin.

"Doktor tidak memberi jaminan tetapi ia mungkin berlaku. Ia menghantui kehidupan saya selama beberapa tahun. Saya tidak pasti sama ada saya akan berkahwin," katanya.


Tetapi akhirnya, dia berkenalan dengan Farhat-un-Nisa, 45. Mereka bercinta dan berkahwin, Farhat tidak pedulikan penyakit suaminya ketika itu.


"Mohammad lelaki yang baik dan pemurah. Keluarga saya memberi amaran mengenai masa depan saya yang akan menjadi rumit jika penyakitnya bertambah teruk. Mereka mendapatkan nasihat doktor bagi pihak saya. Tetapi saya tidak mempedulikannya," kata Farhat.


Pasangan itu dikurniakan dua anak dan kedua-duanya membesar tanpa mewarisi penyakit Mohammad. Bagaimanapun, lama-kelamaan, Farhat hanya boleh melihat seluruh tubuh suaminya dilitupi tumor besar yang gatal. "Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Doktor berkata penyakitnya tidak boleh diubati. Ia mengubah sikap suami saya. "Dulu dia begitu bahagia tetapi selepas itu dia menjadi begitu takut. Kami berusaha keras untuk hidup dan membesarkan anak kami," kata Farhat.


Dalam pada itu, Mohammad dipecat daripada jawatan sebagai pembantu bagasi di sebuah stesen kereta api tempatan. Dan sejak itu, tidak ada orang yang bersedia untuk mengambilnya bekerja. - DM



Tarzan kena tangkap, haiwan peliharaan dirampas

Posted: 28 Feb 2012 01:02 PM PST

FLORIDA: Seorang bekas pelakon yang pernah memegang watak Tarzan ditangkap semalam sementara dua ekor harimau dan seekor harimau kumbang dipindahkan dari rumahnya selepas ia dianggap berbahaya kepada orang ramai.

Steve Sipek ditahan selepas lesen untuk memelihara haiwan liar itu dibatalkan oleh pegawai Hidupan Liar Florida.


Pegawai berkata, harimau dan harimau kumbang terbabit dipindahkan dari kediaman Sipek di Loxahatchee atas alasan keselamatan.

Sipek ditangkap atas kesalahan kecil kerana memiliki haiwan Kelas 1 tanpa permit dan memiliki haiwan Kelas 1 sebagai haiwan peliharaan.


Pelakon kelahiran Croatia itu berlakon sebagai Tarzan dalam filem Sepanyol berjudul ''Tarzan in the Golden Grotto.' Ketika penggambaran filem susulan, 'Tarzan and the Brown Prince,' seekor singa terlatih menyelamatkan Sipek dari satu kebakaran di set penggambaran di Rainbow Springs, Florida.


Ekoran kejadian itu, Sipek berikrar untuk melindungi haiwan seumpamanya dan memelihara beberapa binatang di kediamannya.

Malah dia pernah dengan bangga berkata dia membiarkan harimau tidur bersamanya di rumah.


"Sungguh menyeronokkan dapat memeluk mereka ketika cuaca sejuk," katanya dalam satu wawancara.

Enam tahun lalu, Sipek menjadi tumpuan media seluruh dunia ketika gerakan memburu seekor harimau seberat 272 kilogram bernama Bobo terlepas dari kediamannya.


Sipek meletakkan tanda isyarat pada hartanahnya yang berbunyi: "Penceroboh akan dimakan." Sebelum memelihara harimau itu, dia mempunyai seekor singa yang dinamakannya Elvis dan seekor kugar.


Selepas apa yang pegawai sifatkan sebagai 'siasatan panjang lebar,' mereka memutuskan ia tidak selamat bagi orang awam untuk membenarkan haiwan itu kekal di perkarangan kediaman Sipek.


Harimau dan harimau kumbang dikategorikan sebagai hidupan liar Kelas 1 yang dianggap mengancam keselamatan orang ramai.


Pemiliknya mesti membuktikan bahawa mereka mempunyai pengalaman luas dalam menjaga haiwan seumpama itu dan memenuhi syarat khusus. - DM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan