Sabtu, 14 Januari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


AS suka buat orang Islam marah

Posted: 14 Jan 2012 01:36 PM PST

Dunia

Video askar kencing pejuang Taliban insiden terbaru hina Muslim

DUBAI: Video terbaru memaparkan tentera Amerika Syarikat kencing ke atas mayat pejuang Taliban menebalkan lagi tanggapan di kalangan masyarakat Arab bahawa tindakan askar penceroboh itu melancarkan perang di Iraq dan Afghanistan bukan hanya bertujuan memberi mesej memerangi orang Islam tetapi juga menghina serta memalukan mereka.

"Perbuatan kencing itu lebih baik daripada apa yang mereka lakukan terhadap kami di penjara. Askar Amerika menyerang, memukul dan mendera saya secara psikologi," kata Abu Mostafa, 85, yang berada di penjara Abu Ghraib, Iraq selama enam bulan pada 2005.

"Membunuh seseorang di medan perang adalah satu perkara tetapi merendahkan nilai kemanusiaan seperti ini adalah lebih teruk lagi," kata Presiden Pusat Pengajian Kristian Amman, Paderi Kanan Qais Sadiq. Video dalam YouTube dan laman web lain, menunjukkan empat lelaki memakai pakaian seragam tentera laut Amerika membuang air kecil ke atas tiga mayat dan seorang daripada mereka berkata dan kemudian ketawa: "Harap hari anda bagus".

Imej itu menguatkan wasangka dalam dunia Islam bahawa kempen ketenteraan Afghanistan mulai 2001 dan Iraq mulai 2003, bukanlah untuk membawa keamanan dan demokrasi.

"Banyak lagi jenayah buruk yang akan berlaku di negara yang dimasuki tentera Amerika dan tiada siapa boleh menghalang mereka," kata petani Iraq, Raheem al -Zaidi, 37, yang turut ditahan di Abu Ghraib, tempat askar Amerika dirakam mendera tahanan tempatan.

Tidak hairanlah, pemimpin politik dan tentera Amerika mengutuk tindakan dalam video itu dan berjanji untuk menyiasat.
"Saya sudah lihat rakaman itu dan peri laku mereka benar-benar dikesali. Mereka akan dihukum dengan sewajarnya," kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta.

Pada masa sama, pendedahan video itu dijangka mengukuhkan pandangan bahawa Presiden Barack Obama yang berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan dunia Islam, lebih kurang sama saja dengan pemimpin sebelum ini, George W Bush.

Pemimpin kumpulan pembangkang utama di Jordan iaitu Barisan Tindakan Islam Jordan, Zaki Bani Rushaid, berkata: "Obama sudah beri isyarat positif pada dunia Islam tetapi kenyataannya, seperti di Guantanamo, pentadbiran beliau tidak mengotakan janji dan gagal menang hati dan minda kami.

"Kesilapan yang dilakukan pentadbiran Amerika sebelum ini membuatkan orang Islam tidak lagi memberi sokongan, berulang."

Sadiq juga berkata, walaupun Obama menjanjikan keterbukaan terhadap dunia Islam tetapi sikap Islamofobia dan amalan menuduh pihak lain sebagai pengganas semakin berkembang.

Seorang pengguna forum laman web Islam, Muaz, berkata: "Inilah moral akhlak buruk tentera Amerika. Mereka adalah anggota perang salib yang dibenci. Kumpulan mati syahid kami lebih mulia."

Bagi aktivis di Yaman, Abdullah al-Haj, di mana penunjuk perasaan demokrasi menyalahkan Washington kerana melindungi Presiden Ali Abdullah Saleh, insiden itu menambahkan lagi kebencian terhadap Amerika.

"Apa yang dilakukan tentera Amerika tidak mengejutkan. Mereka sudah lakukan lebih teruk lagi di Iraq.

"Setiap hari mereka membuktikan apa yang kita dengar mengenai nilai tamadun hanya penipuan," katanya. – Reuters

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Karam bagai Titanic

Posted: 14 Jan 2012 01:33 PM PST

Dunia

ROME: Sebuah kapal persiaran mewah karam di persisiran Tuscany, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut dan memaksa 4,165 penumpang dipindahkan dengan bot penyelamat ke pulau berhampiran semalam, kata pengawal pantai Itali.

Kira-kira 69 orang masih hilang selepas helikopter dikerah mengangkut 50 mangsa yang terperangkap di atas kapal Costa Concordia ke tempat selamat, kata Komander Pengawal Pantai, Francesco Paolillo.

Paolillo berkata, tidak dapat dipastikan mangsa yang terbunuh adalah penumpang atau kru, begitu juga kerakyatan mangsa. Punca mereka maut masih belum diketahui. Agensi berita ANSA, melaporkan beberapa orang melompat keluar untuk menyelamatkan diri daripada kapal yang baru memulakan pelayaran itu.

Mangsa yang terselamat ditempatkan di sekolah, hotel dan gereja di pulau Giglio, tempat percutian popular terletak kira-kira 25 kilometer ke pantai barat tengah Itali.

ANSA memetik dua wartawan Itali yang kebetulan antara penumpang sebagai berkata kemalangan berlaku ketika waktu makan malam.

"Kami sedang menikmati hidangan makan malam apabila lampu tiba-tiba terpadam, dan kemudian kami mendengar bunyi dentuman kuat dan makanan bertaburan di atas lantai," ANSA memetik wartawan Luciano Castro, sebagai berkata.
"Kejadian berkenaan seperti adegan filem Titanic, semuanya terjadi dalam sekelip mata," kata seorang lagi wartawan, Mara Parmegiani, kepada ANSA.

Paolillo berkata, punca utama kemalangan masih tidak diketahui tetapi penggera pertama berbunyi pada jam 10.30 malam, kira-kira tiga jam selepas Concordia memulakan pelayaran dari pelabuhan Civitavecchia, ke pelabuhan pertama, Savona, di barat laut Itali.

Pegawai pengawal pantai berkata, kapal berkenaan melanggar halangan, tidak diketahui jika ia mungkin melanggar batu karang di perairan Giglio, menyebabkan garisan sepanjang 50 meter di bahagian kiri kapal itu, dan mula dimasuki air.

Kapten kapal itu kemudian cuba mengemudikannya ke perairan cetek, berhampiran pelabuhan kecil Giglio, bagi menjadikan usaha memindahkan penumpang dengan bot penyelamat lebih mudah.

Namun, kapal berkenaan mula condong ke bahagian kanan, menjadikan usaha mendekatkan bot penyelamat semakin sukar.

Lima helikopter, dari pengawal pantai, tentera laut dan udara, mengambil giliran mengangkut mangsa yang masih berada di dalam kapal itu ke tempat selamat. Seorang anggota pengawal pantai diangkut ke kapal untuk membantu penumpang memasuki bakul kecil untuk memudahkan mereka dinaikkan ke helikopter, kata seorang pegawai pengawal pantai, Kapten Cosimo Nicastro.

Kenyataan Costa Cruises, syarikat yang mengendalikan kapal itu, mengesahkan pemindahan 3,200 penumpang dan 1,000 sudah bermula tetapi kedudukan kapal, yang semakin teruk, menjadikan bahagian terakhir pemindahan kian sukar.

Kenyataan tidak menyebut sebarang kematian dan berkata ia masih belum menentukan punca masalah. Kira-kira 1,000 penumpang Itali berada dalam kapal terbabit ketika kejadian, selain 500 warga Jerman, 160 Perancis dan 1,000 kru kapal. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan