Jumaat, 9 Disember 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pekerja lari biarkan 89 pesakit hangus

Posted: 09 Dec 2011 06:42 AM PST

Dunia

ANGGOTA bomba menyelamatkan pesakit yang terperangkap dalam kebakaran Hospital Amri  di Kolkata, semalam. - AP

ANGGOTA bomba menyelamatkan pesakit yang terperangkap dalam kebakaran Hospital Amri di Kolkata, semalam. - AP

Polis siasat kebakaran hospital di selatan India

KOLKATA: Polis memulakan siasatan kes jenayah terhadap pengurusan hospital selepas kakitangan di sebuah hospital di India dipercayai mengabaikan pesakit dan lari menyelamatkan diri awal pagi semalam dalam kebakaran yang menyebabkan sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh.

Pegawai kerajaan berkata, kebanyakan mangsa maut dalam kebakaran di Hospital Amri akibat tersedut asap tebal.

Ibu saya berada di unit rawatan rapi. Beliau berusia 70 tahun. Saya tidak tahu sama ada beliau selamat atau tidak, kata Khokon Chakravathi. Berdasarkan laporan awal oleh pasukan bomba, polis dikatakan memulakan siasatan kes jenayah terhadap pengurusan hospital berkenaan.

Bagaimanapun sumber berkata bahawa pengurusan tertinggi hospital itu sudah mengambil tindakan.

Ketika pasukan penyelamat cuba menyelamatkan mangsa, polis memfailkan kes terhadap hospital di timur Kolkata itu kerana melanggar prosedur keselamatan dan pegawai tertinggi hospital bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Ia adalah kesalahan yang amat serius dan kami akan mengambil tindakan tegas, kata Banerjee di tempat kejadian di Hospital Amri.
S Upadhay, seorang naib presiden kanan syarikat Hospital Amri berkata ada 160 pesakit di hospital yang mempunyai 190 katil itu.

Api dan asap pada mulanya disedari penduduk yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran hospital, kata saksi. Sebilangan mereka berkejar ke hospital dan menekan penggera tetapi pengawal keselamatan meminta mereka pulang dengan mengatakan hanya kebakaran kecil di dapur dan tiada perkara yang buruk berlaku. Sebaik saja asap mula memenuhi bangunan, penduduk setinggan mula menyertai usaha menyelamat.

Pasukan bomba mengambil masa lebih satu jam untuk tiba selepas kebakaran berlaku, kata seorang saksi, Pradeep Sarkar. Bapa saudaranya dimasukkan hospital sebelum itu selepas mengalami serangan jantung di rumah dan beliau berpindah ke hospital berham-piran selepas hospital terbabit dilanda kebakaran.

Pegawai berkata, kakitangan hospital tidak melakukan apa-apa bantuan dalam operasi menyelamat.

Adalah sangat mengecewakan apabila diketahui bahawa pihak berkuasa hospital tidak melakukan usaha menyelamat mangsa yang terperangkap. Mereka sebaliknya melarikan diri, kata Subrata Mukherjee, Menteri Tempatan Bagi Kejuruteraan Kesihatan Awam.

Ketua Menteri Barat Bengal, Mamata Banerjee berkata, angka kematian dalam kebakaran itu dilaporkan mencecah 89.

Sebilangan pesakit berjaya diselamatkan. Kami memindahkan 50 pesakit ke sebuah hospital berhampiran. Keadaan amat murung pada masa ini, kata pengarah bomba Gopal Bhattacharya.

Banerjee memberitahu pemberita, 41 mayat dipindahkan ke sebuah rumah mayat sementara di hospital berhampiran.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 3 pagi dan dipercayai bermula di bahagian tingkat bawah bangunan hospital lima tingkat itu. - Agensi/AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Iran siar pesawat AS ditembak

Posted: 09 Dec 2011 06:38 AM PST

Dunia

Tehran dakwa kapal peninjau teknologi tinggi cabul ruang udara

TEHRAN: Stesen televisyen Iran semalam menayangkan video pesawat kawalan jauh berteknologi tinggi Amerika Syarikat yang didakwa ditembak tenteranya awal minggu ini dan membuat aduan diplomatik berhubung pencabulan ruang udaranya.

Rakaman dua minit itu menunjukkan pegawai tentera Iran memeriksa pesawat kawalan jauh RQ-170 Sentinel, dan menawarkan bukti pertama Tehran menawan pesawat itu. Pesawat berkenaan bagaimanapun, tidak mengalami kerosakan.

Ketua bahagian angkasa lepas Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Ami Ali Hajizadeh, mendakwa tentera Iran menembak jatuh pesawat peninjau itu dengan peralatan elektronik, menyebabkan kerosakan minimum kepada pesawat. Ia ditembak jatuh menerusi operasi bersama Pengawal Revolusi dan tentera Iran, katanya kepada televisyen.

Tehran menggunakan rakaman video itu untuk melancarkan propaganda dan kain rentang di kaki pesawat dalam video itu berbunyi Amerika tidak boleh melakukan perkara terkutuk - kenyataan bekas pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Khomeini. Satu lagi kain rentang dicetak seperti bendera Amerika tetapi bintang diganti dengan tengkorak.

Di WASHINGTON, jurucakap Pentagon, Kapten John Kirby, berkata tentera Amerika dan beberapa pihak lain masih mengkaji imej itu tetapi tidak memberi kenyataan.
Setiausaha Akhbar Pentagon, George Little, berkata Jabatan Pertahanan tidak akan menyebut sama ada imej berkenaan adalah pesawat kawalan jauh Amerika.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran memanggil Duta Switzerland semalam untuk membantah pencerobohan ruang udara Iran oleh pesawat berkenaan, menurut laporan televisyen. Ia menyebut kementerian menuntut penjelasan dan pampasan daripada Washington.

Amerika dan Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik dan Switzerland mewakili kepentingan Amerika di Iran.

Iran melaporkan kejadian itu Ahad lalu tetapi tidak menyatakan bila ia berlaku.

Ketika itu, agensi berita rasmi IRNA berkata pasukan bersenjata Iran menembak jatuh pesawat peninjau itu, dakwaan yang kemudian ditolak pegawai Amerika yang berkata ia terhempas hujung minggu lalu tetapi tiada petunjuk ia ditembak.

Radio Iran berkata pesawat kawalan jauh itu dikesan di bandar Kahsmar di timur Iran, kira-kira 225 kilometer dari sempadan dengan Afghanistan. - AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan