Khamis, 3 November 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Syria sedia undur kereta perisai

Posted: 03 Nov 2011 09:53 AM PDT

Dunia

RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.

RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.

Liga Arab mahu keganasan terhadap penunjuk perasaan dihenti, tamat krisis politik

KAHERAH: Syria menerima cadangan Liga Arab yang menggesa ia mengundurkan kereta perisai dari jalan raya dan menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dalam usaha menamatkan krisis politik negara itu yang berlanjutan selama tujuh bulan, persetujuan yang dipandang skeptikal oleh pembangkang.

Selepas pengumuman kelmarin, Menteri Luar Qatar, Hamad bin Jassim, menggesa Damsyik mematuhi cadangan itu dengan bertindak di tengah kebimbangan Syria meneruskan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di sebalik kecaman antarabangsa dan janji melakukan perubahan. Aktivis Syria yang kini berada di Amerika Syarikat, Najib al-Ghadban, yang juga anggota pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, berkata pelaksanaan inisiatif itu bermakna berakhirnya rejim dan Presiden Bashar al-Assad tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

"Apa yang berlaku hari ini cuma cubaan mendapatkan lebih banyak masa. Rejim ini dikenali kerana tipu daya dan memberikan janji dan tidak melaksanakannya," kata al-Ghadban kepada The Associated Press.

Dalam keganasan terbaru, tembakan mesingan dan letupan kedengaran di bandar raya yang menjadi pusat kebangkitan rakyat Syria ketika aktivis melaporkan dua serangan kejam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dalam masa 24 jam, walaupun tidak jelas siapa mendalangi serangan.

Usaha Liga Arab mencerminkan keinginan kuat kumpulan itu untuk mengelak melihat seorang lagi pemimpin Arab ditumbangkan secara ganas dan diseret di atas jalan raya, seperti yang berlaku kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, bulan lalu. Keputusan Liga Arab membuka jalan kepada serangan udara NATO yang membantu menjatuhkan Gaddafi.
Syria bersetuju untuk mengundurkan semua kereta kebal dan kereta perisai dari jalan raya, menghentikan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik dan memulakan dialog dengan pembangkang dalam masa dua minggu, menurut cadangan itu. Syria juga bersetuju membenarkan wartawan, kumpulan hak dan wakil Liga Arab memantau keadaan di negara itu.

Bagaimanapun masih tidak pasti sama ada kerajaan bersetuju melaksanakannya. Aktivis laman web sosial menggesa perarakan besar-besaran diadakan di seluruh Syria untuk menguji komitmen kerajaan kepada rancangan Liga Arab, walaupun tidak menyatakan tarikh tertentu.

Berpuluh-puluh orang juga mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Liga Arab di Kaherah ketika Menteri Luar negara anggota mengadakan pertemuan kelmarin, mengibarkan bendera Syria dan melaungkan slogan menentang Assad.

Cadangan tidak menyatakan di mana dialog antara pihak berkuasa dan pembangkang akan diadakan. Diplomat Arab yang terbabit dalam proses berkenaan berkata mereka mencadangkan di Kaherah manakala wakil Syria bertegas mahukan dialog diadakan di Damsyik. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Jalan raya Bangkok jadi lubuk sampah

Posted: 03 Nov 2011 09:51 AM PDT

Dunia

TRAK mengangkut mangsa banjir melalui jalan raya di Bangkok, Thailand.

TRAK mengangkut mangsa banjir melalui jalan raya di Bangkok, Thailand.

Banjir paling buruk landa ibu kota Thailand dicemari air kotor bawa pelbagai penyakit

BANGKOK: Samroeng Verravanich, kelihatan bersahaja meranduk air berwarna coklat separas paha di salah satu jalan raya di ibu kota Thailand yang dilanda banjir, memakai sarung tangan putih, mengutip beg plastik berlendir dan menggantungkannya ke dalam raga merah dibawa.

"Jika terluka, ia boleh menyebabkan jangkitan pada jari. Tangan saya dijangkiti. Ia menyakitkan dan merebak seperti virus," kata Samroeng mengenai air kotor, menunjukkan tangannya yang dijangkiti ruam merah. Ketika banjir paling buruk dalam masa setengah abad terus menghantui Bangkok, bercampur dengan air berbuih yang datang menerusi longkang dan melimpah melepasi terusan, banyak jalan raya menjadi tempat pelupusan sampah terapung.

Beg plastik berisi sisa makanan yang sudah busuk tersangkut di bot, kereta, motosikal dan orang ramai ketika mereka menyusuri jalan raya dipenuhi air itu.
Najis manusia dan haiwan boleh dilihat terapung-apung dalam air yang jelas membawa penyakit.

Tiada penularan penyakit besar dilaporkan sejak musim tengkujuh menyebabkan banjir yang mula menenggelamkan kawasan utara bandar raya itu Ogos lalu.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran ancaman kesihatan terbesar berkemungkinan muncul dalam masa beberapa minggu lagi selepas banjir surut.

"Keadaan memang bahaya. Anda perlu memastikan kanak-kanak tidak mendekati air dan semua orang perlu menjauhi air sejauh yang boleh," kata jurucakap UNICEF, Mark Thomas.

Penyakit bawaan nyamuk, seperti demam denggi, amat dibimbangi selain jangkitan mata dan penyakit bawaan air yang boleh menyebabkan cirit-birit dan masalah kekurangan air dalam badan. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan