Berita Harian: Dunia |
Kepulangan tahanan Palestin meriah Posted: 18 Oct 2011 08:54 AM PDT Dunia SEORANG tahanan Palestin yang dibebaskan diarak oleh ahli keluarga dan rakan setibanya di Ramallah, semalam. BANDAR RAYA GAZA: Berpuluh ribu penduduk Palestin mengibarkan bendera sambil bersorak kegembiraan, ketika menyambut kepulangan beratus-ratus warganya yang dibebaskan dari penjara Israel selepas perjanjian pertukaran antara tahanan dengan seorang askar Israel, Gilad Schalit. Di Gaza, pergerakan Hamas mengadakan satu majlis khas bagi meraikan kepulangan tahanan berkenaan, sekali gus untuk menunjukkan kekuatan dan semangat perpaduan kumpulan pejuang itu yang berjaya menguasai Gaza daripada Presiden Mahmoud Abbas, lebih empat tahun lalu. Persetujuan Israel yang terpaksa tunduk dengan syarat Hamas dan selain tekanan berterusan rakyatnya sendiri, disifatkan satu kemenangan besar kepada perjuangan kumpulan itu. Berpuluh ribu orang bersesak di sebuah kawasan lapang di mana sebuah pentas besar dibina dan dihiasi dengan gambar Schalit, yang ditangkap pada Jun 2006 di sebuah pangkalan tentera di sempadan Gaza.Majoriti 477 tahanan dibebaskan sebagai pertukaran dengan Schalit semalam, adalah mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh rakyat Israel. Pembebasan mereka dianggap mengingkari pendirian negara Yahudi itu sejak sekian lama untuk tidak membebaskan mereka yang pernah membunuh rakyat Israel. Schalit ditahan lebih lima tahun lalu oleh pejuang Hamas manakala Mesir menjadi orang tengah dalam rundingan pembebasan dan pertukaran dengan tahanan Palestin.
Salah seorang pemimpin Hamas yang dibebaskan, Yehiye Sinwar, menggesa kumpulan pejuang itu menculik lebih ramai askar Israel bagi membebaskan lebih ramai lagi tahanan Palestin. Kira-kira 6,000 rakyat Palestin masih dirahan di penjara Israel. Kita perlu meneruskan usaha untuk membebaskan saudara-mara kita. Kita menggesa Briged al-Qassam (sayap tentera Hamas), agar menculik lebih ramai askar Israel dan ditukarkan dengan pembebasan mereka, katanya. Sementara itu Schalit yang dibebaskan semalam dipindahkan ke Mesir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang ke negaranya. Dalam sidang akhbar yang diadakan Schalit berkata dia berasa amat gembira selepas dibebaskan dan merindui rakan serta kelaurganya. Sebenarnya saya takut saya akan terus ditahan untuk beberapa tahun lagi kerana mendapat tahu beberapa syarat yang tidak dipersetujui pada saat akhir mungkin menyebabkan perjanjian itu dibatalkan, katanya. - AP/AFP |
Posted: 18 Oct 2011 08:45 AM PDT Dunia TRIPOLI: Pasukan tentera kerajaan baru Libya berjaya menawan hampir keseluruhan Bani Walid, antara kubu kuat bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi, tetapi masih mendapat tentangan ketika cuba menamatkan ketegangan yang sudah berlanjutan selama berminggu-minggu, kata pegawai.Tentangan hebat di Bani Walid dan kampung halaman Gaddafi, Sirte, menghalang pemimpin baru Libya daripada mengisytiharkan kemenangan dan menetapkan tarikh mengadakan pilihan raya, lebih dua bulan berlalu sejak bekas pemberontak berjaya mengawal keseluruhan negara Afrika Utara yang kaya minyak itu. Dalam langkah mengembalikan keadaan seperti biasa, kepemimpinan Majlis Peralihan Nasional (NTC) kelmarin mengesahkan ia menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang secara menarik balik zon larangan terbang yang dikenakan Mac lalu ke atas negara itu, membolehkan penyambungan penerbangan tanpa memerlukan kelulusan NATO. Sekatan sebagai sebahagian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan serangan udara dilancarkan bagi melindungi penduduk awam daripada rejim Gaddafi.Menteri Pengangkutan dan Komunikasi, Anwar Elfeitori, berkata perjanjian ditandatangani Khamis lalu di Malta akan memudahkan usaha memindahkan anggota yang cedera untuk dapatkan rawatan. Penarikan sekatan udara itu membantu memindahkan mangsa cedera, yang menjadi keutamaan masa ini selain memudahkan pergerakan orang ramai antara Libya dan dunia lain, kata Elfeitori dalam satu temu bual. - AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan