Ahad, 18 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


3 maut, 56 cedera pesawat terhempas

Posted: 17 Sep 2011 10:36 AM PDT

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 56 lagi cedera apabila sebuah pesawat merempuh kawasan berhampiran tempat duduk penonton dalam pameran udara di Nevada, Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa tempatan, semalam.

Sekurang-kurangnya 12 mangsa berada dalam keadaan kritikal dalam nahas yang berlaku di Reno itu apabila pesawat Perang Dunia Kedua yang dipandu seorang juruterbang veteran berusia 74 tahun merempuh astaka yang padat dengan penonton. Saksi berkata, pesawat itu merempuh kawasan berkotak yang menjadi ruang rehat untuk penonton, manakala seorang lagi saksi berkata, juruterbang itu menyimpangkan pesawat daripada menghala ke arah penumpang bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku. "Ia terhempas betul-betul di hadapan kawasan berkotak," kata Ketua Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Houghton yang enggan mengulas mengenai jumlah sebenar mangsa yang terkorban.


"Kami semua terkejut dengan tragedi ini," katanya. Pesawat yang digelar 'Galloping Ghost' itu adalah jentera Perang Dunia Kedua P-51 Mustang yang dipandu juruterbang dari Florida, Jimmy Leeward.

Rakaman video amatur mengenai nahas itu yang dirakam penonton di astaka menunjukkan orang ramai bertempiaran lari sebaik saja pesawat merempuh kawasan berkotak di hadapan astaka. Ahli Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Draper berkata, pesawat itu tersasar dari litar perlumbaan sebelum Leeward membuat panggilan kecemasan. "Kami tidak tahu bagaimana pesawat itu boleh terhempas, tetapi juruterbang ada membuat panggilan kecemasan. Saksi, Ben Cissel memuji tindakan juruterbang pesawat itu. "Saya rasa dia bertindak bijak apabila menyimpangkan pesawat dan menyelamatkan lebih 300 orang yang menyaksikan pameran udara itu," katanya. Dua orang disahkan maut di Pusat Perubatan Renown yang turut merawat 23 lagi mangsa yang cedera dengan 12 dalam keadaan kritikal. - AFP

Victoria pakai fesyen rekaan sendiri

Posted: 17 Sep 2011 10:34 AM PDT

NEW YORK: Selebriti Victoria Beckham melancarkan koleksi baru pakaiannya dalam Minggu Fesyen New York, awal minggu lalu.

Namun, dia tahu tiada cara pengiklanan yang lebih baik daripada memakai pakaian daripada jenama rekaannya sendiri.


Pereka fesyen berusia 37 tahun itu memakai satu daripada fesyen rekaannya untuk hari kedua berturut-turut ketika membawa anak perempuannya, Harper membeli-belah di Barney di bandar raya New York, semalam.

Victoria mengenakan gaun coklat cair dengan motif kucing, gaun versi merah yang digayakan ketika pertunjukan catwalk Victoria by Victoria dalam Minggu Fesyen New York Isnin lalu. Ibu empat anak itu baru-baru ini berkata, dia sangat seronok kerana tidak perlu memakai pakaian wanita hamil lagi.


"Saya rasa seronok kerana dapat menggayakan semula pelbagai fesyen pakaian," katanya.


Dia juga menjelaskan bagaimana dia membahagikan masa menjaga Harper yang berusia dua bulan dan mengurus perniagaan fesyen pakaiannya. "Saya perlu merancang kaedah bekerja yang strategik. Bagaimanapun, Harper juga banyakmembantu kerana dia seorang bayi yang tidak banyak ragam," katanya. - DM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan