Selasa, 16 Ogos 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Harga makanan dunia melambung

Posted:

Harga makanan dunia melambung

Harga makanan dunia melambung


Mulmillo (kiri) menutup mata anak lelakinya, Mahmud, berusia dua tahun yang mati akibat kekurangan zat makanan, beberapa detik semasa gambar ini dirakamkan di hospital Somalia, Mogadishu kelmarin. - afp


WASHINGTON 16 Ogos - Harga makanan yang melambung tinggi dan pasaran komoditi yang tidak stabil dilapor mengancam kehidupan penduduk termiskin di dunia, menurut Bank Dunia semalam.

Laporan suku tahunan institusi kewangan itu mendapati harga makanan global bulan lalu meningkat 33 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, sementara harga minyak naik 45 peratus sekali gus mengakibatkan kenaikan harga baja.

"Kenaikan harga makanan yang berterusan dan bekalan yang kurang menunjukkan kita masih berada dalam zon bahaya, dengan kebanyakan golongan miskin terus terdedah dan tidak mampu berdepan masalah ini.

"Kita perlu sentiasa berjaga-jaga mengambil kira ketidaktentuan serta keadaan tidak stabil ini. Tiada perlindungan kepada kita dalam perkara ini," kata Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Pemantau Harga Makanan bank itu, harga makanan kini hampir menyamai rekod tertinggi pada 2008 dan ia merupakan penyumbang utama kepada masalah kebuluran di negara-negara Afrika.

Jelas Bank Dunia, sejak tiga bulan lalu, seramai 29,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati di Somalia dan 600,000 yang lain di rantau itu berisiko kehilangan nyawa dalam krisis yang turut mengancam kehidupan lebih 12 juta penduduk dunia.

"Tidak kira di mana berlaku kenaikan harga makanan, gabungan kemiskinan dan ketidakstabilan boleh mengakibatkan penderitaan dahsyat lebih buruk berbanding yang berlaku di negara-negara Afrika," katanya.

Zoellick berkata, Bank Dunia juga telah menyalurkan sejumlah AS$686 juta (RM2.06 bilion) kepada penduduk negara-negara Afrika bagi menyelamatkan nyawa, memperbaiki perlindungan sosial, menggalakkan pemulihan ekonomi dan daya pemulihan mereka akibat kemarau.

Beliau bagaimanapun berkata, sebanyak AS$1.45 bilion (RM4.35 bilion) dana tambahan diperlukan bagi membantu penduduk terlibat.

Daripada AS$1.03 bilion (RM3.09 bilion) dana, kira-kira AS$870 juta (RM2.6 bilion) telah diperuntukkan untuk usaha kecemasan sementara bakinya disalurkan untuk projek jangka panjang. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Alat pengesan bahan letupan dipasang di Mekah

Posted:

Alat pengesan bahan letupan dipasang di Mekah

Alat pengesan bahan letupan dipasang di Mekah

RIYADH 16 Ogos - Dalam usaha meningkatkan keselamatan di sekitar tanah suci Mekah, pihak berkuasa Arab Saudi memasang pengesan bahan letupan di pintu-pintu masuk ke Masjidil Haram.

Leftenan Kolonel Fawaz al-Sahafi yang mengetuai pasukan keselamatan di masjid itu memberitahu, pemasangan 'pengesan bahan letupan dan logam' itu sedang dijalankan.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak akan ada lagi pemasangan peralatan lain untuk mengimbas jemaah bagi mengesan senjata, bahan letupan atau barangan larangan lain.

"Terdapat lebih 700 kamera untuk mengesan kejadian curi, seluk poket dan kegiatan jenayah lain atau kegiatan tidak bermoral," ujarnya.

Fawaz berkata, terdapat juga cadangan untuk memantau pergerakan jemaah dan menempatkan pegawai yang berpakaian preman bagi menghalang jemaah membawa masuk barang yang tidak dibenarkan ke dalam masjid.

Seorang lagi pegawai keselamatan, Leftenan Jeneral Saeed Abdullah al-Qahtani berkata, pemasangan kamera di bangunan kediaman jemaah, laluan inisiatif dan kawasan sesak akan memperbaiki keselamatan di dalam dan luar Masjidil Haram.

Katanya, terdapat juga larangan ke atas kenderaan persendirian yang membawa jemaah daripada memasuki Mekah serta campur tangan secara besar-besaran oleh pengawal untuk mengurangkan kesesakan.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengubah suai elemen utama Haji untuk mengurangkan potensi kejadian berasak-asak dan mempercepatkan perjalanan jemaah Haji, tetapi inisiatif sama masih belum menjadi kenyataan di beberapa kawasan di Mekah.

Pada satu-satu ketika, hampir 1 juta orang akan berada di dalam Masjidil Haram.

Untuk tempoh setahun sekali pula, kira-kira 4 juta umat Islam akan melawat kota suci ini untuk menunaikan ibadah Haji, manakala berjuta-juta lagi datang sepanjang tahun. - AGENSI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan