Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Mladic diseret ke The Hague
THE HAGUE 1 Jun - Bekas ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic akan dihadapkan ke tribunal jenayah perang di sini pada Jumaat ini selepas dia diekstradisi dari Serbia untuk menghadapi tuduhan melakukan pembunuhan kaum dan jenayah perang. Setelah bermalam buat kali pertama dalam tahanan di sini dan menjalani pemeriksaan perubatan rutin, Mladic diberitahu dia mempunyai masa dua hari untuk menjalankan persiapan bagi sesi prosiding awal di tribunal jenayah perang di The Hague, menurut satu perintah mahkamah. Mladic, orang paling dikehendaki di Eropah kerana didakwa mendalangi pembunuhan beramai-ramai paling kejam di benua ini selepas Perang Dunia Kedua, ditangkap di timur laut Serbia pada Khamis lepas dan diekstradisi ke Belanda semalam selepas hampir 16 tahun menjadi buruan. Selepas rayuan Mladic untuk mengelakkan ekstradisi ditolak, sebuah pesawat kerajaan Serbia yang membawa bekas ketua tentera itu mendarat di lapangan terbang Rotterdam sebelum dia dibawa ke The Hague dengan kawalan ketat. "Dia menjalani pemeriksaan perubatan mengikut prosedur biasa," kata jurucakap Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY), Nerma Jelacic hari ini. Mladic akan dibenarkan memilih seorang peguam daripada senarai peguam bertauliah yang disediakan oleh ICTY, katanya. Pendakwa telah mendakwa Mladic, 69, atas tuduhan melakukan pembunuhan kaum, penindasan, penghapusan, pembunuhan, pengusiran, perbuatan tidak berperikemanusiaan dan kejam kerana peranannya dalam komplot untuk mencapai 'penghapusan atau pengusiran kekal' penduduk Islam dari sebahagian besar Bosnia dalam usaha mewujudkan sebuah 'Serbia Raya'. Dia dituduh mendalangi pembunuhan beramai-ramai kira-kira 8,000 lelaki dan budak lelaki Islam di Srebrenica pada 1995. Mladic juga didakwa berhubung kepungan ke atas Sarajevo selama 44 bulan mulai Mei 1992 sehingga menyebabkan 10,000 orang maut.- AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Penunjuk perasaan Baju Kuning dilontar bom Posted: Penunjuk perasaan Baju Kuning dilontar bom
BANGKOK 1 Jun - Dua orang cedera apabila seorang penyerang yang menunggang motosikal melemparkan bom tangan buatan sendiri ke arah demonstrasi anti-kerajaan oleh penunjuk perasaan 'Baju Kuning' di tengah bandar Bangkok lewat semalam, kata polis. Penyerang tersebut yang memakai topi keledar melarikan diri selepas serangan ke atas Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) yang berkhemah berdekatan pejabat Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva sejak empat bulan lalu bagi membantah cara beliau menangani isu perbalahan sempadan dengan Kemboja. Seorang penyokong PAD dan penjual aiskrim cedera akibat serangan bom itu berdekatan pentas ucapan oleh pemimpin parti berkenaan. PAD yang berhaluan nasionalis, pernah mengadakan demonstrasi besar-besaran sebelum bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006. Ia juga pernah mengadakan protes jalanan terhadap kerajaan pro-Thaksin dan menduduki dua lapangan terbang utama di Bangkok selama seminggu pada hujung 2008. Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 3 Julai ini. Selepas berbalah dengan Abhisit, PAD menubuhkan partinya sendiri di mana ia akan meletakkan calon-calon dalam pilihan raya nanti tetapi pertubuhan itu kini dalam keadaan kucar-kacir. Ini kerana pemimpin pergerakan Baju Kuning mahu penyokong menolak semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu. Pesaing Baju Kuning, Baju Merah yang mengadakan protes di Bangkok dari Mac hingga Mei tahun lepas, pula menyokong parti pro-Thaksin, Parti Puea Thai. Kempen pilihan raya setakat ini masih aman dan polis telah membatalkan satu undang-undang keselamatan ketat pada 24 Mei lalu ekoran keganasan politik dilihat tidak akan berlaku dan undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi mengawal keadaan. Sementara itu di Yala, empat orang terbunuh manakala enam yang lain cedera dalam siri serangan bom dan tembakan dalam pergolakan di selatan Thailand hari ini, kata polis. Seorang pegawai kerajaan dan seorang sukarelawan keselamatan, kedua-duanya beragama Islam, terbunuh dalam serangan bom tepi jalan di wilayah Yala awal pagi hari ini, turut mencederakan empat sukarelawan keselamatan yang lain. Dalam kejadian tembakan berasingan semalam, seorang wanita beragama Buddha berusia 48 dan seorang lelaki Islam ditembak mati di wilayah Pattani manakala di Yala, serangan bom jalan mencederakan dua pegawai polis yang memberi perlindungan kepada guru tempatan. - Reuters/AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan