Khamis, 9 Jun 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


EU kembali syak timun punca penyebaran wabak E.coli

Posted: 09 Jun 2011 03:04 PM PDT

Dunia

ANGGOTA Parlimen Eropah dari Sepanyol, Francisco Sosa Wagner
memegang timun ketika perbahasan punca E.coli di Eropah, Selasa lalu. - Foto AFP

ANGGOTA Parlimen Eropah dari Sepanyol, Francisco Sosa Wagner memegang timun ketika perbahasan punca E.coli di Eropah, Selasa lalu. - Foto AFP

BERLIN: Timun kembali menjadi tumpuan pihak berkuasa kesihatan Jerman sebagai kemungkinan punca penyebaran bakteria E.coli di Eropah yang membunuh sekurangkurangnya 26 orang dan menyebabkan lebih 2,700 lagi jatuh sakit.

Dua minggu lalu, penyiasat menyalahkan timun dari Sepanyol sebagai punca wabak maut itu tetapi kemudian menarik balik syak wasangka itu.

Kemudian tumpuan beralih kepada taugeh dari utara Jerman, tetapi tiada yang diuji menunjukkan ia dicemari bakteria yang dikaitkan dengan wabak itu. Kini kecurigaan tertumpu kepada sejenis timun yang tidak diketahui negara asalnya dan dilaporkan penyebab satu keluarga jatuh sakit di timur Jerman.

Timun adalah yang pertama dikesan tercemar dengan bakteria terbabit. Timun itu ditemui dalam tempat baja keluarga terbabit tetapi tiada bukti kukuh ia punca jangkitan.

"Tidak dapat dipastikan timun terbabit memberi kesan kepada penduduk atau sebaliknya," kata jurucakap Kementerian Kesihatan negeri Saxony Anhalt, Holger Paech.

Ketua keluarga terbabit cirit birit, si isteri pula dimasukkan ke hospital selama beberapa hari dan anak perempuan mereka berusia 22 tahun adalah antara kira-kira 700 penduduk di seluruh Eropah yang berkemungkinan mengalami kegagalan buah pinggang. Beliau dimasukkan ke hospital selama kira-kira dua minggu.
"Mereka sakit. Mungkin mereka yang mencemarkan timun itu berbanding sebaliknya," kata Paech.

Tiada bukti menunjukkan manusia mencemarkan sayur-sayuran dan Institut Persekutuan bagi Penilaian Risiko tidak membenarkan sebarang rumusan dibuat kerana timun terbabit berada dalam baja antara 19 dan 30 Mei. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kebakaran ancam 3 bandar di Arizona

Posted: 09 Jun 2011 03:01 PM PDT

Dunia

API menghampiri kediaman Eager, di Arizona, semalam.

API menghampiri kediaman Eager, di Arizona, semalam.

1,550 km persegi hutan hangus, 21,000 penduduk lari

PHOENIX: Kebakaran hutan di Arizona dipercayai berpunca daripada kecuaian sekumpulan penduduk yang berkhemah terus marak buat hari ke-11 kelmarin, memaksa beribu-ribu penduduk lari selain menyebabkan sebuah bandar hangus dan kawasan hutan pokok pain seluas 1,550 kilometer (km) persegi rentung.

Kebakaran itu adalah yang kedua terburuk dalam sejarah Arizona membabitkan pusat percutian pergunungan Greer yang dikosongkan beberapa hari sebelum api tiba, kata pegawai kepada wartawan di bandar berdekatan, Springerville.

Pegawai bomba, Kapten Jim Wilkins, berkata masih terlalu awal untuk menyatakan berapa banyak daripada beratus-ratus kediaman yang musnah tetapi menyatakan: "Kami tahu kebakaran itu membakar hangus sebahagian besar kawasan berkenaan."

Awalnya, pihak berkuasa mengarahkan semua penduduk Springerville dan Eager berpindah.

Dua bandar itu yang berdekatan sempadan New Mexico mempunyai 8,000 penduduk.

Selain itu, seramai 2,000 lagi penduduk sudah diarah keluar dari kawasan berkenaan sejak dua hari lalu tetapi ada yang dibenarkan tinggal buat sementara.
Sekurang-kurangnya 11,000 lagi penduduk sudah dipindahkan dari kawasan White Mountains, sebuah tempat percutian popular bagi warga Arizona yang mahu mengelak daripada cuaca panas, selepas api mula merebak 29 Mei lalu.

Kebakaran itu belum dapat dipadamkan 2,000 anggota bomba tetapi tiada penduduk yang maut atau cedera setakat ini manakala kerugian struktur hanya membabitkan 11 bangunan, empat daripadanya kabin, kata pegawai.

Pegawai New Mexico juga melakukan persediaan menghadapi kebakaran itu yang kini sejauh lebih satu kilometer dari negeri itu.

Angin yang membantu api merebak dijangka kembali menjadi faktor besar menyukarkan kebakaran dipadamkan kerana diramal mencapai kelajuan 68 kilometer sejam lewat kelmarin.

"Kebakaran ini amat besar dan kuat. Kami belum dapat mengawalnya," kata pegawai penerangan, Brenyn Lohmoelder.

Anggota bomba turut terancam kerana api boleh tiba-tiba marak kerana daun pokok yang masih terbakar dibawa angin ke kawasan baru, kata pegawai bomba, Jim Whittington. – Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan