Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Mubarak mahu letak jawatan
KAHERAH 4 Feb. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, beliau mahu meletakkan jawatan tetapi khuatir huru-hara akan meletus jika beliau berundur sekarang. Mubarak, 82, memberitahu wartawan ABC News, Christiane Amanpour dalam wawancara lewat semalam bahawa beliau 'sudah bosan menjadi Presiden dan ingin melepaskan jawatan sekarang, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khuatir negara ini akan terjerumus ke dalam kancah huru-hara'. Bagaimanapun akhbar New York Times melaporkan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sedang berunding dengan para pegawai Mesir untuk membolehkan Mubarak berundur dengan serta-merta. Mengikut cadangan itu, Mubarak akan menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan peralihan diketuai Naib Presiden Omar Suleiman dengan sokongan tentera Mesir, lapor NYT dengan memetik kenyataan pegawai White House dan diplomat Arab. Ketika berhadapan dengan tentangan paling hebat di dalam pemerintahannya, Mubarak baru-baru ini berjanji untuk berundur pada September ini, melantik Suleiman sebagai Naib Presiden dan menawarkan rundingan mengenai pembaharuan. Namun konsesi itu tidak memadai bagi penunjuk perasaan yang berharap untuk menghimpunkan beribu-ribu rakyat Mesir hari ini bagi demonstrasi pusingan terbaru dalam usaha memaksa Mubarak berundur serta-merta. Konfrontasi itu menjadi ganas apabila kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir diserang oleh penyokong Mubarak kelmarin, menyebabkan AS meningkatkan tekanan ke atas Mubarak supaya memulakan peralihan kuasa sekarang. Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berharap mereka akan disertai beribu-ribu orang lagi untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran yang mereka gambarkan sebagai 'Jumaat Hari Pengunduran'. Sementara itu dalam wawancara berasingan dengan Amanpour, Suleiman menafikan anasir prokerajaan menembak mati kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dalam keganasan kelmarin. Beliau sebaliknya mendakwa puak prokerajaan 'berkelakuan sangat baik'. "Tidak. Tiada sesiapa yang mati ditembak dengan raifal atau oleh penembak curi. Tidak mungkin," kata Suleiman. - AFP/Reuters | ||
Thein Sein dipilih Presiden pertama Myanmar Posted: Thein Sein dipilih Presiden pertama MyanmarYANGON 4 Feb. - Perdana Menteri Myanmar semasa pemerintahan junta, Thein Sein dipilih sebagai Presiden awam pertama negara ini, satu perubahan kosmetik yang dilihat tidak akan menamatkan pengaruh tentera dalam politik Myanmar. Pelantikan Thein Sein, 65, yang merupakan penyokong pemimpin utama rejim junta, Jeneral Than Shwe, tidak akan mengubah ekonomi dan sosial di negara ini yang semakin mundur ekoran pemerintahan diktator tentera. ''Beliau adalah orang yang tepat untuk (membantu) Than Shwe. Beliau mempunyai rekod baik, tiada agenda politik, rancangan perubahan dan inisiatif,'' kata ahli akademik, Aung Thu Nyein. Thein Sein merupakan seorang askar dan jeneral yang menyertai tentera junta pada 1997 dan menggantikan Jeneral Sow Win sebagai Perdana Menteri pada 2007. Pelantikannya itu membawa alamat buruk buat proses damai Myanmar yang dikatakan oleh pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi penting untuk pembangunan. Kebanyakan diplomat dan para penganalisis menjangka Presiden Myanmar yang baru itu akan mengekalkan status quo pemerintahan autoritarian dengan dipengaruhi Than Shwe, 78, dari belakang tabir, Pelantikan Thein Sin berlaku selepas pilihan raya pada 7 November lalu dan penubuhan Parlimen di Naypyitaw pada 31 Januari lalu, satu proses yang kritik kumpulan hak asasi kerana dimanipulasi oleh pemerintah junta. Parlimen kini dikawal 83 peratus oleh anggota tentera yang masih berkhidmat atau bersama dan memenuhi kerusi Kabinet. Parlimen turut melantik dua ahli politik berlatar belakang Kesatuan Persaudaraan dan Parti Pembangunan, parti disokong junta sebagai Naib Presiden. Mereka adalah orang kelima berkuasa dalam rejim junta, Tin Aung Myint Oo dan Sai Mauk Kham. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan