Sabtu, 12 Februari 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Mubarak mahu hidup dalam buangan di Dubai

Posted: 12 Feb 2011 12:03 PM PST

Dunia

Destinasi persaraan dipilih untuk elak pendakwaan

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang sekarang berada di pusat peranginan Sharm el-Sheikh selepas meletakkan jawatan atas desakan rakyat kelmarin, kemungkinan akan berhijrah ke Dubai.

Akhbar Britain, The Guardian melaporkan semalam perbincangan sudah diadakan di antara beberapa negara Arab dan Amerika Syarikat berhubung destinasi selanjutnya bagi Mubarak yang lari bersama keluarga ke pusat peranginan laut Merah Mesir ini, selepas melepaskan kuasa kepada tentera. Satu isu penting bagi memilih destinasi 'persaraannya' ialah bagi memastikan bekas presiden itu akan menikmati kekebalan daripada dikenakan tindakan undang-undang di atas tuduhan menyebabkan 300 kematian ketika bantahan rakyat selama 18 hari dan salah guna kuasa oleh pasukan keselamatan.

Sebelum ini, Mubarak dilaporkan mungkin menuju ke Jerman tempat beliau berehat selama tiga minggu selepas menjalani pembedahan Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas naib presiden, Omar Suleiman Rabu lalu menafikan laporan itu dan pihak berkuasa di Jerman juga menafikannya.

Kemungkinan Mubarak bersara di Sharm el-Sheikh adalah sesuatu yang dijangkakan kerana beliau akan terdedah kepada kemungkinan diheret ke mahkamah di atas jenayah kemanusiaan dan rasuah.
Menurut akhbar al-Quds al-Arabi yang berpangkalan di London, isu kekayaan yang dihimpun Mubarak dan keluarganya turut akan menentukan destinasi persaraan bekas presiden yang memerintah hampir 30 tahun itu.

Pakar sebelum ini menganggarkan Mubarak dan keluarga berkemungkinan mempunyai harta £43.5 bilion (RM210 bilion) dengan kebanyakan di bank Britain dan Switzerland atau dilabur dalam hartanah di London, New York, Los Angeles dan pantai di pesisir Laut Merah.

Sementara itu, seorang pegawai lapangan terbang Kaherah, berkata pihaknya menerima senarai nama pegawai yang dikaitkan dengan rejim Mubarak yang tidak dibenarkan keluar negara.

Beliau enggan mendedahkan nama dalam senarai itu tetapi berkata bekas Menteri Penerangan, Anas el-Fiqqi menghantar begnya ke lapangan terbang tetapi tidak muncul untuk penerbangannya ke London, kemungkinan selepas mendengar namanya dalam senarai berkenaan.

"Senarai nama itu dikeluarkan mungkin untuk mengelak mereka yang berkuasa sebelum ini daripada lari daripada dikenakan sebarang tindakan," kata pegawai lapangan terbang itu.

Pihak tentera yang kini berkuasa semalam melonggarkan perintah berkurung yang dikenakan sejak 18 hari lalu dan mengenakan larangan terhadap pegawai dan bekas pegawai kerajaan daripada meninggalkan negara itu. – AP/Agensi

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pemimpin dunia kagum revolusi rakyat Mesir

Posted: 12 Feb 2011 12:00 PM PST

Dunia

Peralihan kuasa, proses demokrasi secara aman dipuji

PARIS: Pemimpin dunia memuji tindakan rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak dan menyifatkan ia sebagai kejayaan bersejarah untuk kuasa rakyat serta demokrasi, manakala China dan Russia berharap negara itu beroleh kestabilan, semalam.

Ucapan tahniah kepada rakyat Mesir mencurah-curah sebaik Mubarak menyerahkan kuasanya kepada pemimpin tentera selepas 18 hari bantahan dilakukan rakyat Mesir menentang pemerintahan kuku besinya selama 30 tahun. Presiden Amerika Barack Obama berkata rakyat Mesir sudah bersuara dan ia boleh diselesaikan hanya dengan demokrasi yang sebenar.

Pasukan bersenjata kini perlu memastikan peralihan politik yang boleh diyakini rakyat Mesir, kata Obama yang turut memberi amaran mengenai cabaran hari-hari mendatang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon memuji tindakan Mubarak yang tunduk kepada kehendak rakyat dan mengambil keputusan sukar demi rakyat Mesir.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut menyaran perubahan daripada peringkat asas bagi memastikan peluang dan kebebasan rakyat biasa Mesir dibuka.
China berharap peralihan kuasa itu akan mengembalikan kestabilan dan ketenteraman awam dengan akhbar berbahasa Inggeris China Daily memetik yang penunjuk perasaan antiMubarak menyebabkan kacau bilau.

Menteri Luar Russia turut menyarankan ke arah kestabilan.

"Kita harap dengan peristiwa terbaru ini dapat membantu mengekalkan kestabilan dan memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan urusan seperti biasa," katanya.

Bagi Israel yang juga sekutu damai Mesir, pegawai kerajaan berkata:
"Kita berharap peralihan kepada demokrasi ini akan dilakukan dengan sebaiknya untuk Mesir dan jirannya, Israel," katanya.

Pegawai itu turut menekankan keperluan untuk mempertahankan perjanjian 1979 di antara Mesir dan Israel, ditandatangani dua tahun sebelum Mubarak mengambil alih kepemimpinan.

Canselor Jerman Angela Merkel berharap Mesir dapat meneruskan keamanan di Asia Barat, dengan perjanjian yang dibuat dengan Israel dihormati dan keselamatan Israel dijamin.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, yang juga penyumbang utama Mesir berkata: "Saya berharap kerajaan baru ini akan melahirkan demokrasi.

"Saya mahu Mesir terus memainkan peranan membina di Asia Barat,".

Dalam kenyataan bersama Ketua Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso, Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU) Catherine Ashton dan Presiden EU Herman Van Rompuy, turut menyanjung semangat rakyat Mesir.

"Kami menyeru pihak tentera terus bertindak dengan penuh tanggungjawab dan memastikan perubahan demokrasi mengambil tempat dengan aman," kata mereka.

Presiden Perancis Nicolas Sarkozy turut memuji tindakan dan semangat Mubarak untuk berundur.

"Perancis menyeru semua rakyat Mesir berarak untuk kebebasan."

Perdana Menteri Britain David Cameron mengajak untuk membebaskan Mesir menerusi demokrasi, manakala Perdana Menteri Kanada Stephen Harper menekankan pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil serta menghormati hak asasi manusia termasuk golongan minoriti.

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma memuji tindakan Mubarak yang berfikiran seperti pemimpin yang mengutamakan rakyat melebihi kepentingannya.

Gelombang kegembiraan melanda bandar Arab sebaik saja berita pengunduran Mubarak tersebar dengan orang ramai keluar di jalanan untuk meraikan berita gembira itu dari Gaza ke Beirut.

Dari Semenanjung Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri memuji kejayaan terhadap revolusi Mesir dengan sambutan bagi melahirkan kegembiraan diadakan di segenap penjuru kawasan itu. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan