Kosmo Online - Dunia |
- Korban bangunan runtuh 230 orang
- Presiden Uganda derma seguni wang tunai
- Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9
Korban bangunan runtuh 230 orang Posted: Korban bangunan runtuh 230 orang
SAVAR, Bangladesh - Beribu-ribu orang kelihatan sayu sambil memerhatikan pasukan penyelamat mencari saudara-mara masing-masing yang masih terperangkap di bawah sebuah bangunan yang runtuh di sini kelmarin. Sehingga semalam, jumlah mereka yang terkorban meningkat kepada 230 orang. Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk pasar raya dan kilang pakaian. Angka korban besar tersebut ekoran pihak pengurusan kilang pakaian itu tidak menghiraukan kemunculan keretakan pada dinding bangunan beberapa jam sebelum bangunan itu runtuh. Susulan kejadian itu kelmarin, beratus-ratus ribu pekerja keluar dari kilang mereka untuk memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Dalam pada itu, pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mengesan suara mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan. Namun, setakat semalam mereka hanya mengeluarkan sejumlah mayat mangsa insiden tersebut. "Jumlah mayat yang ditemui kini 204 orang," kata pegawai kanan polis, Moshiuddowla Reza kepada AFP. Tambahnya, kebanyakan mayat yang ditarik keluar merupakan sebahagian daripada 3,000 orang pekerja perempuan di bangunan lapan tingkat berkenaan. Kemalangan yang terjadi didakwa berpunca daripada masalah sistem keselamatan dan keadaan suasana tempat kerja kurang sempurna yang melanda industri tekstil Bangladesh. Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia. Pada November tahun lalu, 111 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian untuk jenama Walmart dan beberapa label Barat di Dhaka. Mangsa-mangsa yang terselamat mendakwa pintu kecemasan bangunan kilang berkenaan ditutup oleh pengurus kilang tersebut. - AFP | |
Presiden Uganda derma seguni wang tunai Posted: Presiden Uganda derma seguni wang tunaiSeorang pemuda (kanan) kelihatan gembira sambil menjunjung sejumlah wang di dalam satu guni di atas kepala selepas menerimanya daripada Museveni. KAMPALA - Presiden Uganda, Yoweri Museveni mendermakan satu guni wang tunai kepada sebuah pertubuhan belia tempatan, Busoga Youth di timur negara itu. Wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM303,649) itu bertujuan untuk pelbagai aktiviti pembangunan belia. Karung berisi wang itu diserahkan kepada Menteri Kebajikan Belia dan Kanak-Kanak, Ronald Kibuule sebelum disampaikan kepada wakil pertubuhan belia berkenaan pada satu majlis di ibu kota Uganda di sini. Penyerahan derma itu pada hujung minggu lalu telah menjadi buah mulut di Uganda sekali gus meningkatkan populariti Museveni. Bagaimanapun, pihak pembangkang menuduh Presiden itu menggunakan derma tersebut untuk membeli sokongan golongan belia pada pilihan raya akan datang. - Agensi | |
Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9 Posted: Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9RAMAI memakai penutup muka di sebuah stesen kereta api di Taipei, Taiwan semalam. BEIJING - Pihak berkuasa di beberapa negara Asia mengetatkan saringan terhadap pelancong dari China dalam usaha mengekang penyebaran virus selesema burung H7N9 di negara masing-masing. Sehingga kini, H7N9 telah menjangkiti 109 orang di China sejak virus itu mula dikesan pada Mac lalu dengan 23 orang maut. Terkini, penyakit maut itu telah menjangkiti seorang warga Taiwan. Susulan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, mereka akan melakukan ujian kesihatan ke atas pelancong di pintu masuk lapangan terbang yang menunjukkan simptom seperti panas badan atau demam. Pihak berkuasa Vietnam mula menyaring suhu badan penumpang di lapangan terbang negara itu manakala kerajaan Jepun akan membenarkan pihak berkuasa lapangan terbang dan pelabuhan memeriksa suhu badan pelawat dari China bermula bulan depan. Di Thailand, Menteri Kesihatan Pradit Sintawanarong berkata, negara itu perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga dengan pelan menangani wabak itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tidak lama lagi. "Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat risiko virus H7N9 merebak ke Thailand," kata Sintawanarong. Dalam pada itu, di Singapura, institusi-institusi kesihatan di pulau tersebut kini diletakkan dalam keadaan siapsiaga berhubung penularan wabak H7N9. Langkah tersebut dilaksanakan sehari selepas seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, virus H7N9 merupakan virus selesema burung yang paling berisiko membawa maut kepada manusia. Setakat ini, jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan berpunca daripada unggas yang sakit manakala saintis-saintis semakin hampir untuk mengesahkan sama ada H7N9 turut merebak daripada manusia kepada manusia. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan