Jumaat, 5 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki taksub jadi ikan duyung

Posted:

Tallahassee (Florida): Disebabkan taksub kepada ikan duyung, seorang lelaki Florida menghabiskan masa lebih satu setengah jam tiga kali seminggu untuk 'menukar' dirinya menjadi makhluk mitos itu.

Bagi Eric Ducharme, menjadi seperti ikan duyung memang menjadi impiannya sejak terpesona dengan keunikan makhluk berkenaan. Justeru, dalam kesempatan yang terluang, Ducharme akan menyarung 'ekor' khas dari kaki hingga ke pinggangnya untuk berenang serta menyelam.


Memiliki sijil sebagai penyelam, Ducharme, 22, boleh menahan nafas sehingga empat minit setiap selaman bagi membolehkan dia menikmati pengalaman sebagai ikan duyung.

Kata Ducharme, dia mengamalkan gaya hidup seperti ikan duyung dan ia adalah pilihannya sendiri.


"Saya adalah ikan duyung yang makan, bernafas dan tidur.


"Apabila memakai ekor, saya berasa seperti mengalami perubahan dan memasuki dunia berbeza sebaik saja memasuki air," katanya.

Foto

PELBAGAI gaya Ducharme sebagai ikan duyung.

Foto

DUCHARME berenang dengan memakai 'ekor' ikan duyung.

Foto

PELBAGAI gaya Ducharme sebagai ikan duyung.

Menurut Ducharme, dia mengambil masa yang sangat lama untuk memahami dirinya sendiri.


Katanya, apabila berada di dalam air, dia berasa seperti dibawa ke dunia lain. Sementara itu, teman lelaki Ducharme yang enggan dikenali berkata, dia mula diberitahu mengenai ketaksuban penyelam itu pada pertemuan pertama mereka lagi.

Katanya, dia sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenainya oleh Ducharme. "Apabila kami berenang, kami membawa diri masing-masing dengan Ducharme bermain-main di kawasan sendiri.


"Ia adalah waktu untuk Ducharme melupakan seketika dunia sebenar," katanya. Sesekali, kata teman lelaki Ducharme, orang ramai juga kehairanan melihat aksi kekasihnya itu.


"Biasanya orang tertanya-tanya kerana sebelum ini ikan duyung yang mereka kenali adalah wanita," katanya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Pelajar ada masalah sedu setiap dua saat

Posted:

London: Januari lalu, seorang pelajar mengalami sedu yang dianggapnya biasa ketika dia dalam perjalanan ke sekolah.

Bagaimanapun, sejak itu hidup Emily Marsh mula berubah apabila sedu itu tidak berhenti sehingga kini, malah dia mengalaminya setiap dua saat.


Gejala itu, kata Emily, 13, turut berlaku walaupun ketika dia tidur. Pakar perubatan kebingungan untuk menjelaskan masalah yang dihadapi Emily dan belum menemui penyelesaian bagi mengatasinya. Seminggu sejak menyedari keanehan itu, kata Emily, dia menjalani beberapa ujian perubatan dan kesnya dirujuk kepada Hospital St Helier di Epsom, Surrey.

"Saya melalui beberapa siri imbasan, X-ray dada, pemeriksaan endoskopi, ujian pernafasan serta kajian gastrik," katanya. Doktor juga, kata Emily, memberinya pelbagai jenis ubat yang setakat ini belum menampakkan sebarang hasil. "Saya juga pernah mencuba kaedah rawatan hipnosis tetapi masih belum berhasil," katanya. Dia juga mencuba pelbagai jenis ubat-ubatan alternatif. Kata Emily, selain menyakitkan, gejala itu memang memenatkan apabila terpaksa tersedu dalam kekerapan yang tinggi.


Disebabkan masalah itu, Emily diberi perlepasan setiap tengah hari di sekolahnya untuk membolehkan dia berehat sebelum menyambung semula pembelajarannya. Sementara itu, ibu Emily, Cathy Barrett, 45, berkata dia rela mencuba apa saja kaedah perubatan asalkan anaknya kembali ke keadaan asal. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Tiada ulasan:

Catat Ulasan