Jumaat, 29 Mac 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rumah warga emas meletup

Posted:

Edinburgh: Sebuah rumah didiami sepasang suami isteri warga emas musnah selepas berlaku letupan kuat, semalam.

Walaupun siasatan masih dijalankan, polis percaya kejadian itu berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah pasangan terbabit.


Saksi pula berkata, pasangan pesara itu dikejarkan ke hospital untuk dirawat dengan tahap kecederaan belum diketahui.

Jurucakap polis Stirling, Russell Penman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi di Murdiston Avenue, Callander.


"Seorang wanita berusia 74 tahun dan suaminya berusia 77 tahun dibawa ke dua hospital berbeza di bandar berkenaan. "Rumah itu musnah sepenuhnya akibat letupan berkenaan," katanya. Kata Penman, polis menganggap letupan itu berlaku kerana kebocoran gas dan siasatan masih di peringkat awal. Katanya, syarikat gas Scotland turut membantu siasatan polis.


Sementara itu, jiran pasangan terbabit, Alistair Allan, berkata penduduk sekitar kawasan berkenaan terjaga daripada tidur kira-kira jam 6.30 pagi akibat bunyi letupan yang sangat kuat. "Saya menjenguk melalui tingkap dan melihat rumah di seberang jalan yang musnah.

Foto

KEADAAN rumah pasangan itu selepas kejadian.

"Saya bergegas berlari ke situ dan mendapati seorang lelaki turut tertimbus dalam runtuhan di dapur, manakala isterinya di bahagian lain rumah berkenaan," katanya. Allan, 47, berkata dia dapat mendengar wanita itu mengerang kesakitan.


Katanya, anggota bomba tiba kira-kira lima minit kemudian dan mereka mengeluarkan wanita itu terlebih dulu sebelum menyelamatkan suaminya kira-kira 15 minit kemudian. "Beberapa jam sebelum itu, anak saya mengadu terhidu bau gas yang sangat kuat di jalan tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa," katanya. Sementara itu, Majlis Perbandaran Stirling membuka pusat pemindahan di bandar itu kerana sembilan rumah berhampiran terpaksa dikosongkan. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Anak singa jadi rakan sepermainan

Posted:

Melbourne: Ketika kebanyakan kanak-kanak menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan, Braxton West-Smith bertindak lebih berani apabila bermain-main dengan anak singa.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu adalah generasi terkini yang menjadi ahli kumpulan Sarkas Stardust. Selain dikelilingi ahli keluarga yang menguruskan sarkas berkenaan, West-Smith menjadikan anak singa Afrika, Zimbi, sebagai rakan. Stardust adalah kumpulan sarkas terbesar di Australia dan menggunakan pelbagai jenis haiwan liar untuk membuat persembahan.


Setiap pagi, West-Smith akan berkongsi meja dengan Zimbi untuk bersarapan serta bergurau-senda.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan selama mana West-Smith akan bersahabat dengan Zimbi kerana aktivis yang membantah penggunaan haiwan dalam persembahan semakin berkembang di Australia. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan