Selasa, 26 Mac 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih tambah gemuk

Posted:

London: Selepas hanya beberapa bulan terselamat dalam operasi menyelamat yang dramatik, remaja tergemuk Britain sudah menambah berat badan sebanyak 25 kilogram.

Georgia Davis sekali lagi mencecah berat yang sangat membimbangkan iaitu 292 kilogram ketika berusaha untuk mengurangkan berat badannya.

Dengan bantuan jururawat di hospital, remaja berusia 19 tahun itu berjaya mengurangkan lebih 127 kilogram.

Tetapi sejak dia keluar hospital, dia masih berhempas-pulas untuk mengekalkan diet pemakanannya.

Foto

Georgia Davis


Peningkatan berat badan Georgia dan jangkitan pada kakinya menjadikan dia banduan di kerusi sendiri. Berikutan sukar untuk bergerak, dia terpaksa tidur di kerusi.


Bercakap dari kediaman flet dua biliknya, Georgia memberitahu The Sun: "Saya cuba makan secara sihat tetapi tidak dapat memasak dalam situasi begini.

"Keadaan berjalan dengan baik untuk beberapa minggu tetapi selepas itu keadaan bertukar menjadi buruk.

"Minggu lalu adalah yang terburuk dan saya makan terlalu banyak biskut.

"Saya makan terlalu banyak. Saya tidak boleh membuka bungkusan biskut dan makan sekeping saja. Saya perlu makan semuanya.

"Malam ini saya akan makan KFC kerana saya rasa sangat sakit untuk berdiri dan memasak di dapur," katanya.

Georgia berpindah ke flet di Aberdare, selatan Wales itu bersama rakannya, Sian Thomas November lalu selepas keluar dari Hospital Putera Charles di Merthyr Tydfil.

Dia dimasukkan ke hospital terbabit Jun tahun lalu selepas operasi yang memakan belanja 100,000 pound (RM500,000) untuk membawanya keluar dari kediaman keluarganya.

Sebahagian rumah itu terpaksa diruntuhkan untuk membolehkan dia diselamatkan.

Berat badan Georgia berkurangan 88 kilogram ketika menjalani rawatan selama sembilan bulan di 'kem gemuk di Amerika Syarikat.

Di hospital, perkiraan kalori hariannya dikurangkan daripada 13,000 kepada 1,500 dan beratnya turun kepada 266 kilogram.

Pada awalnya, dengan bantuan Sian, Georgia mengekalkan pelan diet pemakanannya di kediaman baru mereka.

Tetapi rutin itu tergelincir dan jangkitan selulitis menyebabkan kakinya bengkak dan sakit.

Dia kini menghabiskan masa berjam-jam di kerusi, menonton televisyen dan membaca novel.

Georgia yang bakal mencapai usia 20 tahun dua minggu lagi berkata: "Saya cuba untuk tidak bersedih. Memang ketara ini bukan berat badan ideal dan saya tidak mahu jadi begini.

"Susah untuk mengekalkan rutin apabila saya sukar bergerak. Sian banyak membantu tetapi dia perlu bekerja dan tidak dapat menolong sepanjang masa.

"Tidur memang sukar kerana saya terpaksa menjadikan kerusi ini sebagai katil dan saya terjaga kerana kesakitan setiap dua jam.

"Tetapi saya masih ada di tempat yang lebih baik daripada di hospital. Sekurang-kurangnya saya sentiasa mengukur berat badan saya. Sebelum ini, saya selalu putus asa.

"Jururawat yang merawat saya menyelamatkan nyawa saya. Demi mereka, saya perlu terus mencuba," katanya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

8 bulan tidur bersama mayat ibu

Posted:

Munich: Seorang wanita yang kesedihan tidur bersebelahan mayat ibunya selama lapan bulan di flet satu bilik kediaman mereka kerana tidak mampu mengebumikannya.

Kisah mengejutkan itu terbongkar selepas seorang pegawai dihantar ke rumah berkenaan di Munich untuk menuntut hutang pesara berusia 70 tahun itu.


Dia menemui mayat reput wanita itu di atas katil.

Menyedihkan lagi apabila anak perempuannya yang hidup dengan bergantung kepada bantuan kerana menganggur tidak menyedari dia mungkin ditangkap kerana tidak mengebumikan ibunya, kata polis.


Di Jerman, mereka yang tidak mampu membayar upacara pengebumian boleh memohon bantuan sebanyak 3,200 euro (RM12,834) daripada kerajaan untuk menampung kos itu.


Wanita berusia 39 tahun itu dimasukkan ke pusat psikiatrik atas permintaannya.

Polis mula menyiasat sama ada dia menuntut wang pencen ibunya kerana menyimpan mayat ibunya di rumah.


Warga emas terbabit meninggal Julai tahun lalu dan meninggalkan anak perempuannya dengan jumlah hutang yang banyak. Kerana tidak mampu menerima hakikat kematian ibunya dan beban hutang ditanggung, dia merahsiakan kematian wanita tua itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tiada ulasan:

Catat Ulasan