Berita Harian: Dunia |
Posted: 26 Mar 2013 09:14 AM PDT Seoul: Tentera Korea Utara meletakkan unit roket strategiknya dalam persediaan berperang semalam dan memperbaharui ancaman untuk menyerang sasaran Amerika Syarikat di tanah besar, Hawaii dan Guam, selain Korea Selatan. Tindakan itu dibuat ketika Korea Selatan menyambut ulang tahun ketiga tragedi kapal tentera lautnya, Cheonan, karam disebabkan apa yang ditegaskan Seoul sebagai kapal selam Korea Utara. Unit itu akan bersedia untuk menyerang semua pangkalan Amerika di rantau Asia Pasifik termasuk tanah besar Amerika, Hawaii dan Guam serta Korea Selatan. China bimbang Retorik dari Korea Utara yang mengancam Amerika dengan perang nuklear dan melakukan latihan serangan pesawat kawalan jauh ke atas Korea Selatan serta reaksi tegas Washington menimbulkan kebimbangan China, sekutu kuat Pyongyang, yang berkata keadaan itu sensitif. Pyongyang berkata, sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dipersetujui selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiganya Februari lalu, sebahagian daripada rancangan diketuai Washington untuk menumbangkan kepemimpinannya. Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, ia tidak melihat sebarang petanda tindakan ketenteraan oleh Korea Utara dan kebanyakan penganalisis tentera berkata, Pyongyang tidak akan mengambil risiko mencipta konflik dengan Amerika Syarikat yang tidak akan dimenanginya. Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat melakukan latihan sehingga akhir April ini, yang ditegaskan bersifat pertahanan. Korea Utara menuduh Washington melakukan persiapan perang dengan penggunaan pengebom B-52 yang terbang di semenanjung Korea sebagai sebahagian latihan dan ia memansuhkan perjanjian gencatan senjata yang mengakhiri Perang Korea pada tahun 1950 hingga 1953. Pegawai berkata, Jepun dan Australia merancang menyekat Bank Perdagangan Asing Korea Utara sebagai sebahagian usaha diketuai Amerika menyasarkan dana Pyongyang untuk program nuklearnya. |
Posted: 26 Mar 2013 09:09 AM PDT Tokyo: Kerajaan Jepun semalam berjanji akan mengkaji sistem pengundian negara itu selepas mahkamah memutuskan beberapa keputusan pilihan raya umum tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah. Selama dua hari sesi keterangan, hakim di barat Jepun berkata jurang besar dalam bilangan pengundi di kawasan berbeza bermakna nilai setiap undian terlalu banyak berbeza.
Keputusan digantung Keputusan digantung serta-merta sehingga mahkamah agung mengeluarkan arahan mengenainya, acara yang dijadualkan mengambil masa sehingga akhir tahun ini. "Kami menerima keputusan mahkamah dan akan mengambil langkah sesuai selepas meneliti perkara berkenaan," kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, pada sidang media di sini, semalam. Arahan itu adalah yang terbaru dalam siri kemenangan bagi kumpulan yang mengandungi peguam dan sarjana Perlembagaan yang mendakwa tidak bermotifkan politik.
Beri tekanan moral Pemerhati berkata, cabaran perundangan bertujuan memberi tekanan moral kepada ahli politik semua parti untuk mengubah sistem pengundian yang lebih memihak kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Aktivis mahu sempadan kawasan dilukis semula untuk lebih mencerminkan pengagihan penduduk terkini, yang berubah secara dramatik sejak beberapa dekad lalu apabila Jepun menjadi negara maju. Pengulas berkata, kecenderungan untuk mendapatkan persetujuan sebulat suara bermakna keadaan mungkin diperbetulkan sebelum ia kembali ke titik yang menyaksikan mahkamah agung menarik balik keputusan pilihan raya.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan