Khamis, 21 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Iraq terus bergolak

Posted: 20 Mar 2013 10:36 AM PDT

Keganasan memuncak ketika ulang tahun ke-10 pencerobohan AS

Baghdad: Bergelut dengan peningkatan keganasan dan krisis politik meruncing, Iraq semalam memperingati tahun ke-10 pencerobohan diketuai Amerika Syarikat yang mahukan sekutu stabil dan demokratik di Asia Barat.

Kerajaan Iraq tidak mengumumkan sebarang majlis meraikan ulang tahun itu semalam, dengan sambutan berkemungkinan diadakan pada 9 April ini, sempena hari kejatuhan Baghdad.

Keganasan memuncak menjelang tarikh berkenaan dengan 120 maut minggu lalu, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan pegawai keselamatan dan perubatan, dengan yang terburuk berlaku kelmarin.

Laporan berasingan oleh Iraq Body Count yang beribu pejabat di Britain dan penyelidik di Lancet, meletakkan angka kematian keseluruhan dalam tempoh sedekad pertumpahan darah lebih 112,000 penduduk awam.

Beribu maut setiap minggu

Kematian mencapai kemuncak pada 2006 dan 2007, apabila beribu dibunuh setiap bulan. Keganasan cuma dapat dikawal pada tahun 2008 dan seterusnya, apabila tentera Amerika semakin bertambah dengan militia Sunnah memutuskan untuk menyebelahi tentera Amerika.

Sekurang-kurangnya 20 letupan dan tembakan menyebabkan 56 terbunuh dan lebih 220 cedera kelmarin, hari paling berdarah di Iraq dalam masa enam bulan, membayangkan ketegangan yang terus menyelubungi negara itu.
Serangan dengan matlamat memusnahkan simpanan senjata pemusnah besar-besaran bekas Presiden Saddam Hussein, yang tidak pernah ditemui, fokus peperangan kemudian diubah untuk mengukuhkan Iraq sebagai sekutu Barat di rantau itu.

ISI punca keganasan

Kumpulan Negara Islam Iraq (ISI) yang ada kaitan dengan al-Qaeda mendakwa bertanggungjawab di atas keganasan dalam kenyataan yang dikirim ke forum pergerakan itu semalam.

"Apa yang anda terima kelmarin ialah tahap pertama, Insya-Allah, akan disusuli dengan balas dendam untuk mereka yang dibunuh," kata ISI.

Di WASHINGTON, Presiden Barack Obama mengeluarkan kenyataan sehari sebelum itu memberi penghormatan kepada tenteranya tetapi tidak menyentuh mengenai rakyat Iraq, sebaliknya menyatakan sokongan kepada veteran Amerika yang cedera dalam konflik itu. - AFP

Komputer bank, TV digodam

Posted: 20 Mar 2013 10:28 AM PDT

Seoul: Rangkaian komputer di dua bank terbesar Korea Selatan dan tiga televisyen terkemuka terganggu semalam, melumpuhkan mesin bank di seluruh negara itu dan mencetuskan spekulasi serangan siber oleh Korea Utara.

Layar gelap pada jam 2.00 petang waktu tempatan dengan gambar tengkorak muncul pada skrin sebahagian komputer petunjuk ketara penyerang meletakkan kod berniat jahat dalam sistem Korea Selatan, kata Agensi Keselamatan Maklumat Korea. Sebahagian komputer mula pulih lebih dua jam setengah kemudian.

Polis dan pegawai Korea Selatan yang menyiasat gangguan itu berkata puncanya belum diketahui. Namun spekulasi berpusat pada Korea Utara, dengan pakar berkata serangan siber yang diatur Pyongyang berkemungkinan dipersalahkan.

Gangguan berlaku di tengah peningkatan retorik dan ancaman serangan dari Pyongyang sebagai reaksi kepada hukuman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelancaran roket rejim komunis berkenaan Disember lalu dan ujian nuklear Februari lalu. Washington turut meluaskan sekatan bulan ini dalam usaha melumpuhkan kemampuan rejim itu membangunkan program nuklearnya.

Ancam balas dendam

Korea Utara mengancam membalas dendam bagi sekatan dan rutin berterusan latihan tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang dianggapnya sebagai persediaan menceroboh.

Tuduhan serangan siber ke atas Semenanjung Korea bukan perkara baru. Seoul percaya Pyongyang adalah dalang di sebalik dua serangan siber ke atas syarikat tempatan pada 2011 dan 2012.
Kelumpuhan rangkaian komputer terbaru berlaku beberapa hari selepas Korea Utara menuduh Korea Selatan dan Amerika melancarkan serangan siber yang mengganggu laman webnya selama dua hari minggu lalu. Pembekal perkhidmatan beribu pejabat di Thailand mengesahkan gangguan itu, tetapi tidak menyebut punca masalah itu.

"Ia pasti serangan komputer. Gangguan serentak itu tidak mungkin disebabkan masalah teknikal," kata Dekan Graduan Sekolah Keselamatan Maklumat Universiti Korea, Lim Jong-in, mengenai kejadian semalam.

Bank peminjam kumpulan perbankan keempat terbesar Korea Selatan, Shinhan Bank, melaporkan gangguan sistem, termasuk perbankan online dan mesin pengeluar automatik (ATM). - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan