Kosmo Online - Dunia |
- Ramai cedera main mercun di Filipina
- Sembilan maut bas terbabas di AS
- Penduduk Kemboja berusaha selamatkan ikan lumba-lumba
Ramai cedera main mercun di Filipina Posted: Ramai cedera main mercun di Filipina
MANILA - Pihak berkuasa Filipina melaporkan lebih banyak kecederaan akibat bermain mercun semalam ketika petugas-petugas kecemasan bersiap sedia menghadapi peningkatan kejadian tidak diingini menjelang sambutan tahun baru. Jabatan Kesihatan mengumumkan, angka kecederaan akibat bermain mercun meningkat kepada 186 orang sejak hujung minggu cuti Krismas, termasuk 33 kecederaan mata dan enam mangsa yang terpaksa dipotong anggota badan mereka. Setakat kelmarin, angka kecederaan akibat bermain mercun berjumlah 171 orang. Ketua Wad Kecemasan Pusat Rawatan East Avenue di sini, Emmanuel Bello, berkata, angka kecederaan dijangka terus meningkat. Menurutnya, hospital berkenaan telah merawat 22 kes kecederaan akibat bermain mercun setakat ini. "Kebanyakan kecederaan melibatkan orang dewasa disebabkan mereka mabuk. Mereka minum arak dan membakar mercun," kata Bello. "Jika mereka hilang ibu jari, mereka hilang sebahagian besar fungsi tangan dan tidak dapat bekerja sekali gus menjerumuskan keluarga mereka ke dalam kesusahan," tambahnya. Namun, katanya, sebahagian besar angka kecederaan melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah yang tidak tahu tentang bahaya bermain mercun. Keluarga di Filipina meraikan Hari Krismas dan tahun baru dengan membakar mercun yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat serta asap hitam dengan menyebabkan keadaan di sebahagian kejiranan kelihatan seperti zon perang. Pihak berkuasa Filipina melaporkan sebanyak 454 kecederaan akibat bermain mercun dicatatkan ketika sambutan menjelang tahun baru 2012. - AFP | |
Sembilan maut bas terbabas di AS Posted: Sembilan maut bas terbabas di ASGAMBAR menunjukkan bas yang terjatuh (dalam bulatan) ke dalam gaung dari sebatang jalan raya yang licin itu. LOS ANGELES - Sebuah bas dalam perjalanan ke Kanada merempuh rel penghadang di sebatang jalan raya yang dilitupi salji di Oregon, Amerika Syarikat (AS) kelmarin sebelum terjunam ke dalam gaung dengan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh kata polis. Pihak berkuasa melaporkan, lebih 26 yang lain turut cedera dalam nahas jalan raya tersebut. Polis negeri Oregon berkata, bas itu jatuh sejauh beberapa puluh meter ke dalam gaung. Menurut polis, kemalangan berlaku semasa bas sewa khas itu dilaporkan menuju pulang ke Vancouver, Kanada selepas bertolak dari Las Vegas, dalam negeri Nevada, AS. Setakat ini, polis masih menyiasat punca nahas jalan raya itu yang berlaku dekat bandar Pendleton, di timur laut Oregon. Ketika kejadian kata mereka, terdapat 40 penumpang di dalam kenderaan tersebut tetapi jumlah sebenar masih belum dapat disahkan. Bas itu dimiliki syarikat Mi Joo Tour & Travel dari Vancouver. - AFP | |
Penduduk Kemboja berusaha selamatkan ikan lumba-lumba Posted: Penduduk Kemboja berusaha selamatkan ikan lumba-lumbaDUA ekor ikan lumba-lumba Irrawaddy kelihatan di Sungai Mekong di wilayah Kratie, kira-kira 300 kilometer ke timur laut Phnom Penh pada 6 Disember tahun lalu. KRATIE - Para pengawal sungai Kemboja berusaha menyelamatkan kehidupan ikan lumba-lumba dengan melakukan rondaan di Sungai Mekong bagi memastikan tiada aktiviti nelayan dan penduduk yang boleh menjejaskan kehidupan haiwan itu. Menurut beberapa pakar, punca kematian ikan lumba-lumba dewasa adalah disebabkan jaring pukat hanyut yang ditinggalkan terlalu lama di sungai itu. Pakar-pakar berkenaan percaya kehidupan ikan lumba-lumba berwarna kelabu itu berada dalam keadaan bahaya dan berdepan ancaman kepupusan di sungai tersebut. Jumlah haiwan dewasa itu yang dikenali sebagai ikan lumba-lumba air tawar Irrawaddy adalah antara 85 hingga 150 ekor. Seorang pengawal sungai, Pech Sokhan berkata, pihaknya perlu mendidik penduduk pada setiap hari tentang bahaya penggunaan pukat tersebut untuk menangkap ikan kerana ia boleh membahayakan ikan lumba-lumba. Pukat hanyut dan kurungan ikan diharamkan di sungai itu. Bagaimanapun, para pesalah yang menggunakan kaedah menangkap ikan tersebut tidak akan ditangkap atau didenda tetapi peralatan perikanan mereka dirampas. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan