Selasa, 1 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Warga Asia sambut tahun baru dengan meriah

Posted: 31 Dec 2012 09:49 AM PST

CANBERRA: Krisis kewangan? Kemelesetan? Tidak di Asia, tempat pertama di dunia yang menyambut kedatangan tahun baru 2013 dengan penuh ghairah.

Myanmar yang semakin demokratik mengadakan pengiraan detik kedatangan tahun baru buat kali pertama.

Jakarta merancang sambutan jalanan terbesar, sesuai dengan peningkatan ekonomi Indonesia.

Di Sydney, orang ramai berkhemah sejak malam Ahad lalu di pantai pelabuhan untuk berada di tempat paling bagus ketika 1.5 juta orang dijangka berkumpul untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang berpusat di Jambatan Pelabuhan Sydney.


Pantai itu penuh sesak ketika pertunjukan pusingan awal selama lapan minit untuk kanak-kanak berlangsung tiga jam sebelum acara sebenar di Sydney dan ketika jam menunjukkan 12 malam di Samoa dan kepulauan Pasifik Selatan yang lain menyambut ketibaan tahun baru.


Di Hong Kong, pertunjukan bunga api yang menelan belanja HK$12.5 juta (RM4.8 juta) adalah yang terbesar pernah diadakan.

Bagaimanapun, di New Delhi, semangat untuk menyambut tahun baru dicemari dengan kematian seorang mangsa rogol, Sabtu lalu.

Hotel, kelab dan persatuan penduduk di ibu negara India itu memutuskan untuk membatalkan sambutan berkenaan, sebaliknya meminta orang ramai membakar lilin sebagai memperingati mangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



3 sekeluarga mati di air terjun

Posted: 31 Dec 2012 09:48 AM PST

JOHANNESBURG: Sepasang suami isteri yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 bersama-sama anak perempuan mereka, mati selepas terjatuh ketika menyeberang sebuah air terjun di Afrika Selatan.

Pasangan berkenaan bersama anak mereka berusia belasan tahun itu dipercayai berpegangan tangan ketika jatuh dari ketinggian 30 meter di air terjun berkenaan yang terletak di kawasan pedalaman, Jumaat lalu.

Menurut akhbar Beeld, mereka yang terbunuh itu ialah Pieter Prinsloo, 38, isteri, Adele, 34 dan anak mereka, Shante, 13, dari Benoni, berhampiran Johannesburg.

Mereka ditemui oleh pasukan penyelamat beberapa jam selepas terjatuh dari Air Terjun Rietfontein.


Pemilik rumah percutian, Shawne Botha mengesahkan keluarga itu menetap di chaletnya di wilayah Mpubalanga, timur Afrika Selatan.


Menurutnya, mereka keluar bersiar-siar sebaik mendaftar masuk di chalet berkenaan yang terletak berdekatan Taman Negara Kruger.

"Mereka tiba sehari selepas Krismas. Keluarga itu keluar bersiar-siar dan menemuii ajal di air terjun berkenaan.

"Amat menyedihkan kerana ketiga-tiga keluarga itu mati bersama," kata Botha.

Menurut laporan akhbar Beeld, Prinsloo dan Adele adalah pasangan kekasih sejak kecil dan bercuti kerana meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 semalam.

Keluarga itu dipercayai meraikan Krismas di rumah mereka di Benoni sebelum bercuti bersama anak mereka.

Kakitangan rumah peranginan itu meminta bantuan kira-kira jam 10 malam apabila keluarga itu tidak pulang.

Kawasan tragedi itu adalah antara yang paling sibuk di Afrika Selatan pada musim cuti. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01



Tiada ulasan:

Catat Ulasan