Jumaat, 25 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Siput hidup dalam hidangan

Posted:

Aberdeen: Seorang wanita terkejut menemui seekor siput masih hidup dalam hidangan makan malamnya di sebuah hospital.

Angel Crawford, 20, menemui siput itu ketika makan kentang putar beberapa hari selepas melahirkan anak di Hospital Bersalin Aberdeen, November lalu.


Kejadian itu menyebabkan model dan ahli muzik berkenaan tidak lagi mahu makan makanan hospital.

Ketika menceritakan peristiwa itu semalam, Angel berkata: "Mulanya saya tidak menyedarinya. Tetapi selepas makan satu atau dua sudu penuh, saya ternampak siput berkenaan. Saya berhenti makan dan berkata, "Ia kelihatan seperti siput." Saya melihat dengan lebih dekat dan saya mengulangi beberapa kali perkataan "Oh Tuhan, apa benda itu." Kemudian tunang saya, Gavin melihatnya lalu berkata, "Ia sudah pasti siput," Angel yang kini was-was mengenai kualiti makanan hospital mengaku pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi ingin makan di hospital.


"Apabila anda sudah berdepan dengan emosi selepas melahirkan anak dan bimbang mengenai keadaan anak anda, ia bukan pengalaman baik untuk dilalui." Angel yang berasal dari Aberdeen, Scotland, menghubungi Richard Carey, Ketua Eksekutif NHS Grampian, satu daripada 14 lembaga kesihatan serantau Perkhidmatan Kesihatan Scotland, untuk mengadu kejadian itu.


Dia menerima permohonan maaf, kelmarin dan tawaran melawat dapur lembaga berkenaan.

Seorang jurucakap NHS Grampian berkata: "Kami terkejut selepas mengetahui kehadiran 'benda asing' dalam makanan itu dan kami akan berkongsi hasil siasatan pihak pembekal dengan Angel." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Beg tangan hilang 7 tahun ditemui semula

Posted:

London: Seorang ibu menemui begnya semula selepas ia dicuri tujuh tahun lalu. Lebih menarik lagi, Parveen Ashraf terkejut mendapati wangnya sebanyak £250 (RM1,250) masih ada di dalam beg berkenaan.

Selepas beg itu dicuri dalam satu rompakan terhadap rumahnya di Werrington, Peterborough pada 2006, Parveen membatalkan semua kad kreditnya dan tidak menaruh harapan untuk menemui beg itu semula.


Dalam kejadian berkenaan, rumah Parveen, 47, dimasuki pencuri menerusi pintu dapur. Antara barang dilarikan ialah basikal anaknya dan beg tangan jenis Fiorelli.

Parveen tidak percaya apabila seorang jirannya mengetuk pintu dengan membawa beg itu selepas ditemui pekerja ketika membersihkan semak 10 meter dari rumahnya.


Beberapa gambar keluarga yang amat berharga bagi Parveen masih berada di dalam beg itu bersama-sama lesen memandu dan alamatnya yang membolehkan pekerja terbabit mengesan Parveen.


"Beg ini hanya berada 10 meter dari rumah saya sepanjang masa. Saya terkejut memperolehinya semula. Seronok kerana mengetahui masih ada orang jujur di dunia ini. Satu keajaiban memperolehinya semula. Tetapi, menemui wang itu semula adalah satu bonus.

"Saya yakin pencuri itu mengambil not £20 (RM100) kemudian mencampakkan beg sebelum melarikan diri dengan basikal anak saya. Dia tidak sedar wang £250 terlipat di dalam buku cek saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Tiada ulasan:

Catat Ulasan