Khamis, 24 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tangan bionik pertama Britain

Posted: 23 Jan 2013 01:47 PM PST

London: Apabila Chris Taylor kehilangan tangan akibat kemalangan jet ski empat tahun lalu, dia membayangkan kerjayanya sebagai jurutera bakal berakhir.

Namun, kini dia mampu memanjat tangga, memegang tali, malah menyiapkan pemasangan wayar yang kompleks selepas dia diberikan tangan bionik generasi baru.


Taylor juga boleh berbangga kerana dia menjadi manusia pertama di Britain memiliki tangan palsu unik digelar Tangan Michaelangelo yang dilengkapi jari elektronik. Dengan tangan baru itu, Taylor mampu menggerakkan semua lima jarinya menggunakan otot di tangan kanannya.

Alat berharga £47,000 (RM226,800) itu mempunyai elektrod yang mengesan pergerakan pada otot dan mencetuskan isyarat yang dihantar ke tangan.


Kini, Taylor boleh memegang objek pelbagai saiz dengan kukuh, selain melakukan tugasan mudah domestik yang selama ini dipandang remeh sesetengah individu seperti memasang butang atau mengambil set kunci.


Dia kehilangan tangan kanannya selepas terjatuh dari jet ski dalam kemalangan ngeri di Torquay, Devon, pada 2009.

Foto

TANGAN bionik dibeli Taylor membolehkannya melakukan kerja harian seperti menseterika pakaian.

Foto

TAYLOR menunjukkan bahagian dalam tangan bionik yang membolehkan dia melakukan pelbagai aktiviti dengan lebih berkesan.

Tayloy sedang memegang seutas tali panjang yang menarik anak lelakinya ketika ombak besar melanda jet ski berkenaan.


Ketika Taylor tercampak ke air, tali itu terbelit dan mencengkam tangannya sehingga putus. Sejak itu, dia mencuba beberapa tangan palsu disediakan hospital sebelum menemui Tangan Michaelangelo yang dibangunkan di Amerika Syarikat dan Jerman.

Taylor dirujuk kepada klinik swasta, Dorset Orthopaedic, yang kemudian menguruskan pemerolehan tangan berkenaan.


Ia dikenali sebagai Tangan Michaelangelo kerana mengambil nama pelukis terkenal Itali yang digelar sebagai "Tangan Tuhan." Bapa kepada empat anak berasal dari Ivybridge itu berkata, dia menemui Tangan Michaelangelo selepas melayari Internet bagi mencari alternatif kepada tangan palsu disediakan hospital. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Tiga ditembak dalam pergaduhan di kolej

Posted: 23 Jan 2013 01:41 PM PST

Chicago: Tiga orang cedera ditembak, semalam selepas mereka terbabit dalam pergaduhan di sebuah kolej di Texas yang mengingatkan orang ramai kepada insiden menggemparkan di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.

Pergaduhan tercetus sejurus selepas sesi persekolahan berakhir di sebuah bangunan menempatkan sebuah kafeteria dan perpustakaan Kolej Lone Star, dekat Houston.


Jurucakap polis berkata, seorang pekerja penyelenggaraan terkena peluru sesat manakala seorang seorang wanita yang menyaksikan insiden itu dikejarkan ke hospital akibat diserang sakit jantung. Saksi berkata, seorang daripada lelaki yang bergaduh itu ditembak dan dibawa ke hospital menaiki pengusung dengan tangan bergari, Seorang lagi yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan melarikan diri, memaksa pihak berkuasa menutup kawasan kolej itu untuk mengesannya. Polis berkata, suspek ditahan selepas dia pergi ke hospital mendapatkan rawatan. Pengarah Kolej Lone Star, Jed Young, berkata dua penuntut di situ terbabit dalam pergaduhan dan tembak-menembak. Sementara itu, sumber berkata, Jody Neal, 24, cedera parah ditembak tiga kali di tangan, perut dan kaki.

"Dia sedang duduk dalam kelas ketika seorang lelaki datang dan menembaknya," katanya.


Polis bagaimanapun enggan memberi komen sama ada kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan samseng. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Tiada ulasan:

Catat Ulasan