Ahad, 23 Disember 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Rakyat Mesir undi draf perlembagaan

Posted:

Rakyat Mesir undi draf perlembagaan

Rakyat Mesir undi draf perlembagaan

PENENTANG dan penyokong Presiden Mohamed Morsi bertempur di bandar pelabuhan Iskandariah kelmarin.


KAHERAH - Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pusingan terakhir pungutan suara draf perlembagaan baharu yang dicadangkan oleh Presiden Mohamed Morsi dan sekutu-sekutunya dari pergerakan Islam tetapi ditentang hebat oleh pembangkang sekular di negara itu.

Draf tersebut dijangka diluluskan selepas memperoleh 57 peratus sokongan dalam pusingan pertama pungutan suara tersebut seminggu lalu.

Namun, kemenangan tipis dan sambutan hambar daripada pengundi berdaftar dalam pengundian pertama digunakan oleh penentang Morsi dalam kempen mereka untuk menggagalkan referendum tersebut.

Mesir sebelum ini digegarkan oleh bantahan dengan kebanyakannya bertukar ganas sejak sebulan lalu.

Pada 5 Disember, lapan orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam beberapa pertempuran antara penyokong dan penentang draf berkenaan di luar Istana Presiden di sini.

Menjelang pengundian semalam, lebih banyak pertempuran berlaku di Iskandariah yang merupakan bandar raya kedua terbesar di negara itu.

Seramai 62 orang termasuk 12 anggota polis cedera dalam kekacauan tersebut dengan 12 orang telah ditangkap.

Sekitar 250,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk mengawal ketenteraman ketika referendum diadakan.

Draf perlembagaan itu dihasilkan oleh panel yang didominasi pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikwanul Muslimin yang menyokong Morsi.

Draf berkenaan ditentang oleh penduduk Kristian dan golongan liberal kerana dianggap menyisihkan hak asasi manusia dan hak wanita.

Keputusan awal pusingan terakhir pungutan suara itu dijangka diketahui hari ini.

"Saya mengundi menyokongnya kerana Mesir memerlukan sebuah perlembagaan yang stabil," kata seorang pemandu lori berusia 49 tahun, Mohamed Mamza semasa beratur untuk mengundi di Giza, dekat sini.

Di satu lokasi berhampiran, seorang pengundi lain, Sayyed Mostafa, 25, menyatakan, dia akan mengundi menentang draf perlembagaan tersebut.

"Draf ini tidak menghormati rakyat Mesir," tegasnya.

Jika draf perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan, Morsi perlu mengadakan pilihan raya Parlimen dalam tempoh dua bulan lagi untuk menggantikan dewan berkenaan yang didominasi wakil rakyat Islam.

Parlimen Mesir diarahkan dibubar oleh Mahkamah Agung negara berkenaan pada Jun lalu. - AFP

Gangnam Style lakar sejarah

Posted:

Gangnam Style lakar sejarah

Gangnam Style lakar sejarah


PSY beraksi di konsert Jingle Ball tajaan stesen radio KIIS FM di Los Angeles, California pada 3 Disember lalu.


SEOUL - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menyambut gembira kejayaan klip video lagu tarian kudanya, Gangnam Style yang mencecah angka satu bilion tontonan di laman perkongsian video YouTube semalam.

Gangnam Style mencipta sejarah apabila menjadi klip video pertama melepasi angka 10 digit berkenaan.

Lagu Gangnam Style yang dimuat naik di laman web berkenaan pada 15 Julai lalu mencecah angka satu bilion tontonan sekitar pukul 11.50 malam waktu Malaysia kelmarin.

Setakat pukul 2.30 petang semalam, lagu rap popular itu sudah ditonton sebanyak 1,010,321,921 kali.

"Gangnam Style akhirnya menjadi #BillionStyle!!!" kata Psy di laman Twitternya berhubung pencapaian tersebut.

Antara mereka yang pertama mengucapkan tahniah kepada Psy, 34, berhubung kejayaannya termasuk bintang rap era 90-an yang popular dengan lagu U Can't Touch This, Mc Hammer.

Psy mengucapkan terima kasih kepada pengurus baharunya Scooter Braun kerana membantu mempromosikan klip video lagu berkenaan.

"Saya mencipta 100 juta (tontonan) dan anda mencipta 900 juta lagi, saudaraku yang berlainan ibu (Braun)," kata Psy di laman Twitternya.

Braun turut menguruskan bintang pop kelahiran Kanada, Justin Bieber yang sebelum ini mengungguli senarai tontonan terbanyak di YouTube menerusi lagunya, Baby.

Bieber masih di tempat kedua apabila lagu popular itu mencatat lebih 813 juta tontonan setakat ini.

Laman web agensi carta lagu Amerika Syarikat, Billboard.com pula melaporkan lagu Gangnam Style menjana perolehan AS$2,000,000 (RM6.1 juta) daripada siarannya di YouTube atau pada kadar AS$2 untuk setiap 10 tontonan.

Pendapatan daripada muat turun lagu digital lagu 'panas' itu kini mencecah angka AS$6.01 juta (18.3 juta) sejak lima bulan lalu. - AFP

China akan buka laluan kereta api laju terpanjang

Posted:

China akan buka laluan kereta api laju terpanjang

China akan buka laluan kereta api laju terpanjang


SEBUAH kereta api laju tiba di sebuah platform dalam wilayah Hebei semalam.


BEIJING/ZHENGZHOU - China bakal mempunyai landasan kereta api laju terpanjang di dunia apabila laluan tren itu yang menghubungkan bandar raya ini dengan kota metropolitan Guangzhou, di selatan negara berkenaan dirasmikan minggu depan, kata beberapa pegawai semalam.

Landasan sepanjang 2,298 kilometer itu yang kini beroperasi, akan memulakan perkhidmatan penuh pada Rabu depan dengan laluan tersebut menjimatkan separuh masa perjalanan kereta api antara dua kota utama itu.

Perjalanan dengan kereta api laju antara dua bandar raya berkenaan kini mengambil masa kurang 10 jam pada kelajuan mencecah 300 kilometer sejam.

Laluan baharu itu memberikan peluang kepada Kementerian Kereta Api China yang dihimpit pelbagai skandal dan kesilapan untuk menebus maruahnya.

Pada Julai 2011, satu kemalangan kereta api laju meragut 40 nyawa dan mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan laluan kereta api laju di negara berkenaan.

Beijing membelanjakan 2.3 trilion yuan (RM981 bilion) di bawah pelan lima tahun yang tamat pada 2015 untuk membangunkan sistem perkhidmatan kereta api laju di China. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan