Ahad, 4 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pemberontak, askar Syria sama kejam

Posted: 03 Nov 2012 01:49 PM PDT

Video rakam pemisah dera, bunuh askar kerajaan

BEIRUT: Satu rakaman video yang menunjukkan sekumpulan pemberontak Syria menendang askar kerajaan yang ketakutan sebelum mereka ditembak mati, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa mereka juga sama kejam dengan tentera Syria.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi sebelum ini percaya bahawa rejim Presiden Bashar Assad bertanggungjawab ke atas jenayah perang di Syria sejak konflik melanda negara itu.

Pada tahap ini, tiada pihak boleh mendakwa mereka tidak melakukan sebarang kekejaman dalam konflik Syria"


Bagaimanapun penyiasat pencabulan hak asasi berkata kekejaman yang dilakukan pemberontak juga semakin meningkat.

"Pada tahap ini, tiada pihak boleh mendakwa mereka tidak melakukan sebarang kekejaman dalam konflik Syria," kata ketua kumpulan hak asasi Amnesty International, Suzanne Nossel.

Amerika Syarikat menggesa perubahan kepemimpinan dilakukan dikalangan kumpulan politik pembangkang Syria ketika persidangan di Qatar minggu depan.

Tidak beri sokongan
Washington dan sekutunya keberatan untuk memberi sokongan lebih kuat kepada pembangkang berpangkalan di Turki, kerana menganggap ia tidak berkesan, berpecah-belah dan tidak bersatu dengan pemisah yang cuba menggulingkan Assad.

Bagaimanapun rakaman video terbaru yang diperoleh, meningkatkan kebimbangan mengenai sikap pemisah dan boleh menyukarkan usaha Washington untuk menentukan kumpulan pembangkang yang mahu disokongnya.

"Kami mengecam pencabulan hak asasi oleh mana-mana pihak. Sesiapa yang melakukan kekejaman perlu bertanggungjawab," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Victoria Nuland, ketika mengulas video itu.

Beliau berkata, Tentera Pembebasan Syria sudah membuat gesaan kepada pemisah supaya mematuhi kod etika yang diperkenalkan Ogos lalu, seiring peraturan perang antarabangsa.

Kumpulan aktivis Pemerhati Hak Asasi Syria yang beribu pejabat di Britain berkata, rakaman video amatur pembunuhan askar itu dibuat ketika serangan pemberontak di bandar Saraqeb di utara Syria Khamis lalu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kumpulan pemisah yang terbabit, walaupun anggota pertubuhan disokong al-Qaaeda, Jabhat al-Nusra adalah antara yang ikut berperang di kawasan itu. – AP

Lelaki tua semakin diminati

Posted: 03 Nov 2012 01:43 PM PDT

Gadis mahukan kesenangan, hidup selesa

Washington: Golongan lelaki tua dikatakan semakin mendapat perhatian golongan wanita masa kini yang menyifatkan mereka memiliki gaya kedewasaan dan berkemampuan.

Penulis Changing Your Game A Man's Guide to Sucess with Women, Christie Hartman, berkata kebanyakan wanita muda mahukan kesenangan, kedewasaan, kepercayaan tinggi terhadap sikap bijak dan mempunyai kematangan seperti yang dimiliki Sarkozy.

Lelaki muda tiada hala tuju

"Lelaki berusia dua puluhan terutama di bawah usia 27 tahun cukup dewasa tetapi mereka belum menentukan apa yang dimahukan dalam hidup dan mempunyai masalah sekiranya menjalinkan hubungan dengan wanita," kata Hartman.

Keadaan demikian tidak berlaku kepada semua orang tetapi dari kaca mata Hartman, ia kebanyakannya terjadi.

Lelaki lebih tua bagaimanapun memiliki lebih keberanian untuk mendekati wanita dan turut berpengalaman dalam seks.
Namun begitu, wanita muda takut membuat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki matang, tambahan pula sekiranya lelaki terbabit pernah berkahwin dan memiliki anak hasil perkahwinan terdahulu.

"Inilah yang akan menjadi dilema bagi wanita usia 20-an. Mereka berpendapat akan menjadi ibu tiri dan mungkin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya lagi.

Kebanyakan wanita muda lebih memilih lelaki berusia disebabkan kebanyakan mereka lebih berkemampuan dari segi ekonomi berbanding lelaki muda. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan