Rabu, 14 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Israel sedia guling Mahmud Abbas

Posted: 14 Nov 2012 01:03 PM PST

Baitulmaqdis: Kementerian Luar Israel mengemukakan kertas dasar menyarankan penggulingan Presiden Mahmud Abbas (gambar) jika usaha Palestin mendapatkan status negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan lewat bulan ini.

Menumbangkan rejim Abu Mazen (Abbas) adalah satu-satunya pilihan dalam kes ini. Pilihan lain bermakna mengibarkan bendera putih dan mengaku kegagalan kepemimpinan Israel untuk berdepan dengan cabaran, menurut kertas yang diperoleh AFP itu.

Kertas itu adalah draf dokumen yang diluluskan oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, sebelum diserahkan kepada pegawai Israel yang bertanggungjawab merangka tindak balas kepada usaha Palestin itu.

Lieberman dilaporkan sudah pun meluahkan pandangannya bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu dihapuskan jika usaha di PBB itu berjaya.

Palestin dijadual membentangkan usaha mendapatkan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung pada 29 November ini, yang menyaksikan mereka dijangka mendapat sokongan mudah, di sebalik tentangan Amerika Syarikat dan Israel.

Kertas kementerian itu memberi amaran Israel mesti menghukum Abu Mazen jika Palestin diberi status negara di PBB.

Stesen televisyen Israel, Channel 10, melaporkan awal bulan ini Lieberman menyokong penghapusan PA, dalam komen kepada ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton.
Jika Palestin meneruskan projek mereka di PBB, mereka memang memusnahkan peluang rundingan damai. Jika mereka terus dengan projek ini, saya akan memastikan PA runtuh, stesen itu memetik Lieberman sebagai berkata pada 24 Oktober lalu.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu AFP semalam rejim itu turut mempertimbangkan membatalkan separuh atau semua Perjanjian Oslo 1993 sebagai reaksi kepada tindakan Palestin itu.

Dakwaannya ialah rayuan Palestin kepada PBB melanggar Perjanjian Oslo yang membatalkan perjanjian berkenaan.

Perjanjian Oslo menyatakan setiap perbalahan akan diselesaikan menerusi rundingan secara langsung, katanya.
AFP

Xi pemimpin baru China

Posted: 14 Nov 2012 01:02 PM PST

Beijing: Presiden China, Hu Jintao, memberi laluan kepada timbalannya, Xi Jinping menjadi pemimpin Parti Komunis negara itu semalam.

Peralihan jawatan itu adalah kali kedua berlaku secara teratur sejak parti berkenaan berkuasa 63 tahun lalu.

Selepas sidang Kongres ditutup di Dewan Besar Rakyat, Hu mengambil kertas di depannya, berjabat tangan dengan orang di belakangnya dan turun pentas.

Duduk di sebelah Hu ialah bekas pemimpin Jiang Zemin, 86. Jiang dibantu untuk berdiri ketika lagu rasmi Komunis diperdengarkan.

Selepas itu, Jiang memandang ke arah Hu, berjabat tangan dengannya sebelum dibantu turun pentas.

Proses penyerahan kuasa oleh Hu dan pemimpin kanan lain berusia lewat 60-an kepada Xi dan bakal pemimpin baru dalam lingkungan 50-an mengambil masa beberapa bulan.

Pucuk pimpinan baru menghadapi cabaran getir termasuk pertumbuhan semakin perlahan ekonomi kedua terbesar dunia.
Mereka juga menghadapi tekanan penduduk yang semakin aktif menuntut hak mereka selain hubungan agak keruh dengan negara jiran.

Sejajar dengan proses peralihan itu, Hu tidak dipilih semula sebagai anggota Jawatankuasa Pusat pada hari terakhir Kongres Parti Komunis.

Ini menunjukkan beliau tidak lagi sebahagian kepemimpinan, kata dua delegasi di sini yang tidak mahu identiti mereka disiarkan kerana senarai rasmi belum diumumkan.

Mereka berkata, 2,200 delegasi memberi tepukan gemuruh selepas keputusan undi rahsia menunjukkan Xi dipilih sebulat suara untuk menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ia adalah langkah awal sebelum dinamakan sebagai anggota Jawatankuasa Tetap Politburo dan seterusnya menjadi pemimpin parti.

Li Keqiang yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri juga dipilih sebagai anggota panel itu, lapor agensi berita Xinhua.

Barisan baru Jawatankuasa Tetap Politburo, badan paling berkuasa di China, akan diumumkan hari ini.
AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan