Sabtu, 27 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Guru dera murid tadika dipecat

Posted: 26 Oct 2012 10:17 AM PDT

BEIJING: Seorang guru prasekolah di China dipecat selepas laman perkongsian foto di Internet menunjukkan dia mengangkat muridnya dengan memegang cuping telinga kanak-kanak malang itu.

Ibu bapa di wilayah Zhejiang di negara itu membuat aduan kepada jabatan pendidikan tempatan selepas imej tidak berperikemanusiaan itu dimuat naik dalam rangkaian laman sosial Weibo.


Foto itu menunjukkan Yan Yanhong, 20, tersenyum ketika dia mengangkat kanak-kanak yang menjerit kesakitan itu beberapa inci dari lantai di sebuah sekolah di bandar raya Wenling. Foto itu adalah satu daripada lebih 700 gambar yang dimuat naik Yanhong di Internet yang kelihatannya dirakam oleh guru lain.

Foto lain menunjukkan kanak-kanak dengan mulut mereka ditutup pita pelekat dan tangan mereka dilekatkan ke meja agar mereka duduk diam tidak bergerak. Satu lagi foto menunjukkan seorang kanak-kanak dicampak dalam tong sampah dengan belakang tubuhnya melengkung di tepi tong sampah.


Gambar terakhir menunjukkan kepala seorang kanak-kanak diserkup dengan bakul sampah.


Bagaimanapun, apabila bersemuka dengan media tempatan, Yanhong menjelaskan dia dan murid berkenaan hanya berseronok.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan: "Tadika itu diarahkan agar menyingkirkan guru terbabit dan melaporkan perkara itu kepada pihak keselamatan awam tempatan."


Pihak berkuasa yang menyiasat kes itu mendapati Yanhong tidak layak untuk kerja itu, tetapi diambil bekerja ekoran kekurangan tenaga pengajar.

Awal minggu ini seorang lagi guru di negara itu mencetuskan kemarahan apabila rakaman menunjukkan dia menampar kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berulang kali. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


3 pengikut ajaran sesat buat pai dengan daging beberapa wanita untuk dimakan, dijual

Posted: 26 Oct 2012 10:13 AM PDT

RIO DE JANEIRO: Sekumpulan kanibal membunuh dan memasak mayat mangsa mereka sebelum dijadikan pai untuk dijual kepada orang ramai.

Mahkamah diberitahu, Jorge Negromonte, 50, isteri, Isabel Pires, 51 dan kekasihnya, Bruna da Silva, 25, memujuk beberapa wanita ke rumah mereka dengan berjanji untuk memberi pekerjaan sebagai pengasuh.


Mangsa kemudian dipenggal dan dikerat.

Ketiga-tiga pengikut ajaran sesat itu kemudian menggunakan daging mangsa mereka untuk dijadikan pai yang dikenali dalam bahasa tempatan sebagai 'empanadas' untuk dimakan dan dijual kepada jiran tetangga dengan harga RM1.50 setiap satu.


Mereka dihadapkan ke mahkamah di bandar kediaman mereka di Pernambuco, timur laut Brazil, buat pertama kali semalam, atas tuduhan membunuh Jessica da Silva, Alexandra Falcao dan Gisele da Silva.


Polis sebelum ini berkata, ketiga-tiga tertuduh mengaku membunuh enam lagi mangsa yang tidak dikenali.

Dakwaan itu menyerupai cerita fiksyen mengenai tukang gunting bernama Sweeney Todd di Victorian London.


Dalam cerita berkenaan, tukang gunting berkenaan mengelar tekak mangsa sebelum rakannya, Puan Lovett memasak pai menggunakan daging mangsa dan menjualnya kepada pelanggan.

Negromonte, isteri dan kekasihnya didakwa membunuh Jessica da Silva pada 2008. Mangsa tinggal bersama mereka dan seorang anaknya berusia setahun.


Bayi berkenaan dipaksa memakan pai yang dibuat daripada daging ibunya sebagai sebahagian daripada 'amalan penyucian.' Polis menangkap ketiga-tiga tertuduh selepas seorang daripada mereka cuba menggunakan kad kredit milik seorang gadis yang dilapor hilang berhampiran rumah mereka.


Penyiasat menggali taman di kediaman tertuduh dan menemui dua mayat, dipercayai gadis tempatan, Alexandra Falcao, 20, dan Gisele da Silva, 30.


Kedua-dua mangsa dilapor dilihat berhampiran kediaman tertuduh sejurus sebelum mereka dilaporkan hilang.


Abang Negromonte, Irenaeus memberitahu mahkamah, adiknya tidak mungkin melakukan jenayah itu kerana dia tidak makan daging.


Dalam pada itu, seorang adik Negromonte, Emanuel, 17 berkata: "Ketika kanak-kanak, abang saya adalah remaja normal dan mempunyai ramai rakan. Tetapi selepas berusia 17 tahun, dia sering membuat komik yang mempunyai babak keganasan terhadap wanita." - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Tiada ulasan:

Catat Ulasan