Selasa, 23 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2 pakar cipta jean mesra alam

Posted: 22 Oct 2012 03:31 PM PDT

LOS ANGELES: Kebanyakan seluar jean berwarna biru. Tetapi pada masa depan, ia mungkin hijau.

Seorang ahli kimia dan seorang pereka fesyen menghasilkan seluar denim mesra alam yang dapat menghapuskan bahan buangan bahaya dalam udara.


Seluar berkenaan disalut dengan partikel titanium dioksida yang boleh bertindak terhadap cahaya dan udara bagi meneutralkan nitrogen oksida, bahan pencemaran yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang.

Produk sampingan yang tidak berbahaya dan nitrat larut air itu boleh terhapus apabila seluar itu dicuci.


Sama seperti pengubah bermangkin yang membantu mengurangkan pencemaran ketika kenderaan dipandu, seluar berkenaan boleh membantu menghijaukan planet. Kira-kira 1.3 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun dikaitkan dengan kualiti udara yang buruk.


Semua jenis kain boleh digunakan sebagai Pakaian Bermangkin tetapi jean dianggap sebagai medium terbaik bagi proses itu kerana ia menjadi pakaian ramai penduduk dunia.

Mereka yang bertanggungjawab menghasilkan produk itu ialah ahli kimia Universiti Sheffield, Tony Ryan dan Profesor Helen Storey dari Kolej Fesyen London.


Hasil rekaan Helen pernah dipakai oleh bintang ternama, termasuk Madonna dan Cher.

Dia berminat menceburi bidang sains sejak 2004 menerusi adiknya, pakar biologi dan mula memberi tumpuan terhadap sains hijau apabila berkenalan dengan Tony.


Proses Pakaian Bermangkin sudahpun dikemukakan kepada syarikat sabun, Ecover untuk menghasilkan bahan tambahan pencuci yang diberi nama CatClo. Bahan itu terkandung dalam serbuk pencuci perapi fabrik.


Ujian keselamatan dilakukan terhadap produk berkenaan tetapi tidak ada bukti menunjukkan ia menjejaskan kulit manusia atau bekalan air.


Ia mungkin mula dijual dalam masa dua tahun lagi.


Helen berkata, jean menjadi bahan ideal pakaian untuk ciptaan mereka kerana terdapat lebih banyak jean di planet berbanding manusia. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Tunang Amir mahu semuka dengan model

Posted: 22 Oct 2012 03:27 PM PDT

LONDON: Tunang Amir Khan, Faryal Makhdoom dilapor menuntut untuk bersemuka dengan seorang daripada bekas kekasih peninju itu.

Ia bertujuan untuk mengetahui sama ada Amir telah berlaku curang terhadapnya.


Faryal menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada model glamor, Natalie Fox, 28 meminta untuk bertemunya selepas mengesyaki Amir masih mempunyai hubungan dengan wanita itu.

Dia dipercayai terbaca SMS antara Amir, juara tinju dunia dua kali, dengan Natalie.


Model berambut perang itu mendakwa sebelum ini, dia berpacaran dengan Amir dua minggu sebelum peninju berkenaan dan Faryal bertunang secara rasmi pada Januari lalu.


Bagaimanapun, Amir, 25, menegaskan, ia berlaku setahun sebelumnya, sejurus sebelum berkenalan dengan Faryal menerusi rakan masing-masing.

Kini, Faryal, 20, yang masih belajar di New York, ingin tahu keadaan sebenar sebelum melangsungkan perkahwinan dengan peninju itu.


Dia dilaporkan bersedia ke London untuk bersemuka dengan Natalie.

Faryal meminta Natalie membuktikan hubungannya dengan Amir dengan menegaskan: "Saya berhak untuk mengetahui segala-galanya." Natalie berkata: "Saya gembira untuk bertemu Faryal dan menceritakan semuanya. Sebagai bakal isteri, dia berhak untuk tahu. Terserah kepadanya untuk mempercayainya atau tidak." - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Tiada ulasan:

Catat Ulasan