Isnin, 22 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gadis bermisai, berjambang

Posted: 21 Oct 2012 03:15 PM PDT

BEIJING: Bagi setiap gadis, usia belasan tahun adalah yang paling sukar dalam kehidupan mereka dan juga yang paling menyeronokkan dan tidak boleh dilupakan.

Tetapi tidak bagi Nana, 16, yang baru-baru ini ditumbuhi bulu lebat pada muka dan tubuhnya selepas menjalani rawatan untuk menyelamatkan nyawa.

Dia kini lebih rela menghabiskan masa bersendirian, berkurung di dalam bilik.

Gadis warga China itu, yang hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya, menunjukkan janggut dan misai lebat yang tumbuh kerana menghidap penyakit ganjil, hirsuitism, selepas menjalani rawatan.


"Doktor berkata, penyakitnya amat serius dan dia boleh mati jika tidak dirawat," kata ibu gadis itu kepada agensi berita China, Zinhua.


Nana terpaksa dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap 'aplastic anemia' pada 2010, penyakit yang menyebabkan tulang sumsum Nana tidak menghasilkan sel darah baru secukupnya.

Kesihatannya semakin pulih selepas menjalani rawatan dengan memakan ubat.

Bagaimanapun, keadaan fizikalnya mula berubah.

"Selepas memakan ubat itu, jambang lebat tumbuh pada muka sementara ketiak dan kakinya dilitupi bulu yang juga lebat," menurut laporan Liao Shen Evening News.

"Setiap hari dia menangis, ingin ke sekolah," kata ibunya.

Gadis itu berhenti sekolah pada 2010 kerana keadaannya itu.

Si ibu menyifatkan anaknya sebelum ini sebagai periang tetapi sejak menghadapi masalah itu, dia mula memencilkan diri dan memakai topeng kertas untuk melindungi mukanya dan kemeja lengan panjang setiap kali keluar rumah.

"Dia kini tidak mahu bercakap walaupun sepatah dan lebih banyak menghabiskan masa di bilik, membaca buku," lapor Zinhua. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Wartawan diserang lepas buat liputan di Dataran Tahrir

Posted: 21 Oct 2012 03:13 PM PDT

KAHERAH: Koresponden rangkaian televisyen France 24, diserang berhampiran Dataran Tahrir di sini selepas dikepung oleh orang ramai, semalam.

Saluran televisyen itu, dalam satu kenyataan berkata, Sonia Dridi diserang jam 10.30 malam selepas membuat laporan secara langsung mengenai tunjuk perasaan di dataran itu.

Dia bagaimanapun diselamatkan oleh seorang rakan dan beberapa penduduk.

Ia adalah kejadian keganasan terbaru terhadap wanita di pusat tunjuk perasaan Mesir itu.


France 24 tidak memberi butir lanjut mengenai serangan berkenaan tetapi berkata, kakitangannya selamat meskipun amat terkejut dan akan menyaman penyerang yang tidak dinamakannya.


Rangkaian berkenaan yang dibiayai kerajaan Perancis tetapi bebas dalam membuat laporan berkata, ia dan Kedutaan Perancis berusaha untuk membawa pulang Sonia.

"Lebih takut daripada cedera," kata wartawan itu pada laman Twitternya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakannya, Ashraf Khalil kerana melindunginya.

Ashraf yang bekerja untuk perkhidmatan bahasa Inggeris rangkaian sama berkata, orang ramai mengerumuni dia dan Sonia ketika mereka membuat laporan secara langsung di jalan raya berhampiran Dataran Tahrir.

Menurutnya, serangan dan usaha menyelamatkan diri itu berlaku kira-kira setengah jam tetapi dia merasakan ia begitu lama.

"Orang ramai mengerumuni Sonia dan keadaan bertambah tegang. Saya memeluknya dengan kedua-dua tangan dan muka kami bertemu. Kira-kira 30 lelaki terbabit dalam serangan itu," kata Ashraf.

Menurutnya, mereka berundur dengan memasuki sebuah restoran makanan segera yang memiliki pintu besi bagi menyelamatkan Sonia daripada penyerang.

Mereka kemudian bergegas menaiki sebuah kereta sementara beberapa lelaki menumbuk kenderaan berkenaan.

Sebahagian barangan mereka dicuri, katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Tiada ulasan:

Catat Ulasan