Isnin, 22 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Dua juta jemaah haji mula menuju Makkah

Posted: 21 Oct 2012 04:18 PM PDT

Makkah: Kira-kira dua juta umat Islam mula menuju ke Makkah untuk menunaikan haji, perhimpunan tahunan terbesar dunia yang ditegaskan Arab Saudi tidak terjejas dengan ketidakstabilan keadaan di rantau itu.

Berjalan di dalam kumpulan, kebanyakannya diketuai jurupandu dengan bendera negara masing-masing tercetak pada pakaian, lelaki dan wanita membanjiri Makkah untuk mengerjakan Umrah, menjelang waktu melakukan rukun Islam kelima itu.

Pegawai berkata, upacara utama yang bermula Rabu ini dijangka menarik lebih dua juta jemaah dari seluruh dunia.
Khamis menjadi hari paling penting, apabila semua jemaah berkumpul di Arafah untuk berwukuf. Ia berakhir selepas Aidiladha Jumaat ini.

Haji adalah rukun Islam kelima yang perlu dikerjakan umat Islam yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Ini kunjungan saya pertama ke Makkah untuk menunaikan haji. Saya tidak sabar untuk bersolat di Arafah, kata ahli perniagaan dari Burkina Faso, Koara Abdulrahman, 32.

Di Masjidil Haram, jemaah berterusan mengelilingi Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam ketika bersolat dengan ramai mencari jalan di celah orang ramai untuk mencium dinding struktur yang didirikan oleh Nabi Ibrahim sementara yang lain bersolat atau membaca al-Quran.
Buat masa ini, saya cuma rasakan apa yang baik saja, kata seorang jemaah haji dari Iran.

Pihak berkuasa berkata, lebih 1.6 juta jemaah haji luar tiba dan bilangan dijangka bertambah menjelang Rabu. Kira-kira 750,000 jemaah tempatan juga dijangka mengambil bahagian.

Di sebalik beberapa pusat pemeriksaan didirikan di jalan raya menuju ke Makkah untuk menghalang jemaah tanpa izin, ramai bilangan jemaah berkenaan menyertai perhimpunan itu setiap tahun.

Jemaah Asia, kebanyakannya dari Indonesia mempunyai kuota haji tertinggi. Tidak dapat dipastikan berapa ramai jemaah dari Syria, negara yang digegarkan dengan perang saudara menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad 19 bulan lalu, hadir tahun ini.
AFP

Seorang maut, lapan cedera letupan bom

Posted: 21 Oct 2012 04:17 PM PDT

Narathiwat: Seorang askar Thailand terbunuh, manakala lapan lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom di daerah Ba-Cho di Narathiwat, selatan Thailand awal semalam.

Ketua Polis Ba-Cho, Kolonel Pakdi Preechahon berkata, letupan berlaku kira-kira jam 9 pagi berhampiran kawasan Bare Tai di daerah Bacho.

Letupan pertama membabitkan sebutir bom buatan sendiri diaktifkan menggunakan telefon bimbit, ketika lapan orang askar dari Narathiwat membuat rondaan menggunakan motosikal berhampiran Ban Chuwo. Tiga askar cedera dalam ketupan itu, katanya.
Beliau berkata, berikutan letupan itu, sepasukan enam orang askar berkejar ke tempat kejadian menggunakan kereta perisai.

Bagaimanapun ketika berada satu kilometer dari Ban Chuwo, sekumpulan militan bersembunyi di tepi jalan meletupkan tong gas seberat 50 kilogram yang disembunyikan di tengah jalan.

Letupan menyebabkan pemandu kereta perisai, Sarjan Israwut Palasak terbunuh, manakala lima askar lagi cedera.

Mereka dikejarkan ke Hospital Narathiwatratchanakarin untuk rawatan, katanya. Sementara itu pasukan tentera, polis dan unit keselamatan, meningkatkan kawalan keselamatan termasuk memasang kawat berduri menjelang upacara memperingati ulang tahun ke lima peristiwa Tak Bai.
Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan