Khamis, 11 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mangkuk kencing berbentuk mulut wanita di restoran akan dibuang

Posted: 10 Oct 2012 09:25 AM PDT

SYDNEY: Sebuah restoran baru Perancis di bandar raya ini berkata, ia akan membuang mangkuk kencing lelaki berbentuk mulut wanita berlipstik dari premis itu ekoran bantahan orang ramai.

Restoran berkenaan, Ananas Bar dan Brasserie juga memohon maaf kerana mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai. Menurutnya, mangkuk itu ciptaan artis Belanda, Meike van Schijndel, biasa digunakan di Eropah.


"Kami memohon maaf sekiranya ia menyebabkan rasa tidak puas hati. Kami akan menanggalkannya hari ini," kata jurucakap restoran mewah itu yang dibuka tiga minggu lalu.

Pengulas makanan akhbar Sydney Morning Herald menyifatkan mangkuk kencing itu sebagai 'tidak mengejutkan.' Bagaimanapun, aktivis wanita dan bekas penasihat politik, Anne Summers berkata, rekaan itu menjijikkan.


"Sikap membenci wanita begitu berleluasa dan ini adalah satu contohnya," kata Anne. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Tunjuk perasaan luar biasa

Posted: 10 Oct 2012 09:21 AM PDT

MELBOURNE: Kira-kira 100 aktivis yang membawa bangkai haiwan berhimpun di tengah bandar raya ini kerana membantah keganasan dan pengabaian terhadap binatang.

Penunjuk perasaan dari kumpulan Pembebasan Haiwan Victoria (ALV), membawa bersama mereka bangkai biri-biri, babi, kanggaru, ayam, ikan, itik dan spesies haiwan lain berharap untuk menarik perhatian terhadap 'penderitaan tersembunyi haiwan di Australia dan di seluruh dunia.' Bangkai haiwan berkenaan ditemui pasukan penyelamat ALV di luar kilang, kandang atau dilanggar kenderaan dan dibiarkan mati, kata pertubuhan itu.


Menurut ALV, layanan kejam terhadap binatang adalah satu daripada isu terbesar ketidakadilan di dunia. Kumpulan itu juga berkata, kekejaman dan pengabaian terhadap berbilion haiwan juga berlaku di Sepanyol, Chile, Perancis, Jerman dan Peru.

"Tujuan kami di sini hari ini ialah untuk menarik perhatian kepada hakikat bahawa manusia bertanggungjawab terhadap pembunuhan 64 bilion haiwan darat di seluruh dunia setiap tahun dan antara satu hingga tiga trilion haiwan laut.


"Seperti kita, haiwan ini mempunyai minat untuk hidup dan tidak menderita dan kita tidak boleh membiarkan minat mereka hanya kerana mereka bukan di kalangan spesies kita," kata penyelaras kempen ALV, Noah Hannibal. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan