Rabu, 22 Ogos 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Tiga anggota tentera Thai maut diserang hendap

Posted:

Tiga anggota tentera Thai maut diserang hendap

BEBERAPA anggota skuad pemusnah bom memeriksa kawah yang terbentuk akibat letupan bom di tepi jalan yang dilakukan oleh kumpulan gerila pemisah di Narathiwat semalam.


BANGKOK - Tiga anggota keselamatan tentera Thailand maut dan dua lagi cedera semalam dalam serangan yang dilakukan gerila pemisah di selatan negara ini.

Menurut seorang pegawai Pusat Arahan Operasi Keselamatan, Kolonel Chatuporn Klumsud, seorang askar dan penduduk kampung menaiki sebuah trak pikap semasa mereka diserang hendap kira-kira pukul 10 pagi oleh sekumpulan gerila pemisah di daerah Rangae, wilayah Narathiwat, 825 kilometer ke selatan Bangkok.

Dalam kejadian itu, askar-askar tersebut mati manakala penduduk kampung itu cedera.

Menurut Klumsud, dua lagi anggota separa tentera mati ditembak dalam dua kejadian yang berasingan yang berlaku di Narathiwat dan Pattani

Agensi perisikan negara ini meramalkan peningkatan keganasan selepas bulan Ramadan berakhir.

Kira-kira 5,300 orang terbunuh dalam kejadian serangan bom, tembakan dan kebakaran sejak kumpulan gerila pemisah melancarkan serangan pada tahun 2004.

Para gerila itu mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memisahkan tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala daripada Thailand. - dpa

Perang di Syria merebak kembali ke Lebanon

Posted:

Perang di Syria merebak kembali ke Lebanon

ASAP menjulang dari sebuah bangunan di lokasi pertempuran antara kumpulan Sunah dengan Syiah di Bab al-Tabbaneh, Lebanon semalam. - AFP


TRIPOLI – Dua orang terbunuh dan lebih 60 cedera dalam pertempuran antara kumpulan penganut Sunah dengan mazhab Syiah Alawi di bandar Tripoli, Lebanon, kata beberapa sumber perubatan dan keselamatan semalam.

Kumpulan lelaki bersenjata di daerah Bab al-Tabbaneh yang didiami penduduk Sunah bertempur dengan kumpulan penganut Syiah itu.

Mereka saling berbalas tembakan dan membaling bom tangan.

Menurut beberapa penduduk, pertempuran itu berlaku walaupun tentera Lebanon ditempatkan di bandar tersebut.

Menurut kenyataan tentera, askar-askar menyerbu bangunan yang digunakan oleh kumpulan lelaki bersenjata. Pada kejadian yang berlaku kelmarin, lima askar cedera dan lima lagi termasuk seorang lagi pegawai mengalami nasib yang sama semalam.

Selain daripada askar itu, seramai 35 orang awam dan lelaki bersenjata terbunuh.

Pertempuran itu berlaku disebabkan kesan peperangan di Syria.

Kebangkitan rakyat di Syria kebanyakannya didalangi oleh penduduk Sunah yang menentang Presiden Bashar Al-Assad yang merupakan penganut Syiah Alawi.

Pada awal Jun lalu, seramai 15 orang terbunuh di bandar ini kerana pertempuran melibatkan kedua-dua kumpulan tersebut. – Reuters

Rihanna masih mencintai Brown

Posted:

Rihanna masih mencintai Brown

GAMBAR yang dirakamkan pada 4 Ogos lalu menunjukkan Rihanna (kiri) diwawancara Winfrey di rumah penyanyi itu di Barbados.


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Rihanna mengaku dia masih mencintai penyanyi Chris Brown walaupun selepas tiga tahun dia dipukul oleh bekas kekasihnya.

Penyanyi lagu Umbrella itu juga menganggap Brown mungkin kekasih untuk sepanjang hidupnya.

Dia meluahkan perasaan itu kepada pengacara program bual bicara popular, Oprah Winfrey ketika diwawancara televisyen yang disiarkan pada Ahad lalu.

Rihanna memberitahu, dia dan Brown kembali mempercayai antara satu sama lain dan hubungan mereka kini sangat rapat.

Brown, 23, didapati bersalah pada tahun 2009 kerana memukul Rihanna dalam satu serangan ganas menjelang majlis Anugerah Grammy.

Dia meminta maaf secara terbuka kerana melakukan perbuatan itu.

Brown dihukum menjalani tempoh pemerhatian selama lima tahun, melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat, menghadiri kaunseling tentang keganasan domestik dan diarahkan untuk tidak mendekati Rihanna.

Perintah larangan itu telah ditarik balik pada tahun lalu.

Mereka turut kembali bergandingan menerusi lagu Birthday Cake dan Turn Up the Music pada tahun ini sekali gus mencetuskan spekulasi kedua-duanya telah kembali menjadi kekasih.

"Kami mengekalkan hubungan yang sangat rapat sejak arahan larangan digugurkan.

"Kami membina semula kepercayaan. Kami saling mencintai dan kemungkinan tidak akan cuba mengubahnya," kata Rihanna kepada Winfrey.

Bintang berusia 24 tahun itu berkata, sukar un-tuk dia menyembunyikan perasaannya apabila bertemu Brown.

"Ia janggal kerana saya masih mencintainya. Saya harus membuat muka yang selamba. Saya menganggap ia merupakan cinta buat seumur hidup saya," katanya. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan