Rabu, 22 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Wartawan Jepun terbunuh di Syria

Posted: 21 Aug 2012 03:49 PM PDT

Beirut/Tokyo : Seorang wartawan wanita Jepun terbunuh selepas tercedera di leher akibat kena tembakan tentera kerajaan Syria yang bertempur dengan pemberontak di Aleppo semalam, menjadikannya warga Matahari Terbit pertama terbunuh dalam konflik selama 17 bulan itu.

Mika Yamamoto, 45, pernah memenangi anugerah kewartawanan bekerja untuk agensi berita bebas Japan Press dan maut selepas cedera kena tembakan ketika berada bersama dengan Tentera Syria Merdeka (FSA), kata pegawai Kementerian Luar Jepun.

Dalam satu temubual telefon dengan program berita TV Jepun, rakan wartawan Japan Press, Kazutaka Sato yang turut bersama Yamamoto berkata, mangsa terkena tembakan 15 askar kerajaan.
Diserang tentera kerajaan

Sekumpulan lelaki seragam celoreng datang ke arah kami. Mereka tentera kerajaan dan terus melepaskan tembakan daripada jarak 20 hingga 30 meter atau mungkin lebih dekat, kata Sato.

Ini menjadikan empat wartawan asing dan tempatan terbunuh ketika membuat liputan konflik di Syria.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, pertempuran berlaku di daerah Suleimaniya, Aleppo, tempat yang menyaksikan pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan pemberontak.
Japan Press tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut. Laman web agensi itu berkata, Yamamoto melaporkan dari Afghanistan ketika Taliban memerintah dan pernah membuat liputan perang Iraq 2003 di Baghdad.

Laporan Iraq oleh Yamamoto memenangi hadiah Vaughn-Ueda diberikan oleh Persatuan Pengarang dan Penerbit Akhbar Jepun yang diilhamkan dari anugerah media Pulitzer Amerika Syarikat.

Selamat daripada bedilan

Pada April 2003, beliau terselamat daripada bedilan kereta kebal tentera Amerika Syarikat terhadap Hotel Palestine di Baghdad, lapor agensi berita Jiji, agensi berita Kyodo menyifatkan wanita itu sebagai wartawan video perintis.

Yamamoto adalah rakyat Jepun pertama terbunuh dalam konflik bersenjata di Syria, kata pegawai kementerian terbabit.

Adalah amat dikesalkan bahawa seorang wartawan Jepun kena tembakan dan maut, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Osami Fujimura.

Laporan sebelum ini menyatakan, tiga lagi wartawan turut hilang, dua warga Arab, seorang wanita Lubnan dan seorang lagi dari Turki.
Reuters/AFP

AS rampas duit Hizbullah RM450j

Posted: 21 Aug 2012 03:47 PM PDT

New York: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa berjaya merampas sejumlah AS$150 juta (RM450 juta) dari sebuah bank Lubnan disyaki menjadi pusat skim penggubahan wang antarabangsa membabitkan kumpulan Syiah, Hizbullah.

Pada Februari 2011, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan bahawa Lebanese Canadian Bank (gambar) adalah tempat penggubahan wang utama.

Bank dimiliki secara persendirian itu bergabung dengan anak syarikat Lubnan, Societe Generale.
Pendakwa persekutuan di Manhattan dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat mendakwa pegawai bank mengetahui perkara terbabit.

Wang dari Lubnan

Ia adalah satu skim di mana wang daripada pelbagai individu dan syarikat di Beirut dihantar dari Lubnan untuk membeli kereta terpakai di Amerika.

Kereta itu dijual di Afrika Barat dan kumpulan dikaitkan dengan Hizbullah akan membantu menyeludup ke Lubnan, kata pihak berkuasa.
Hizbullah adalah pejuang Islam Syiah dan pergerakan politik diasaskan dengan bantuan Iran selepas serangan Israel terhadap Lubnan pada 1982.
Washington menyifatkan Hizbullah sebagai kumpulan pengganas.

Pegawai Amerika berkata, anggota Hizbullah semakin banyak terbabit dalam perdagangan dadah, memudahkan pengedaran dan jualan kokain di Afrika Barat.
Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan