Khamis, 23 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bincang ganti Bashar

Posted: 22 Aug 2012 04:10 PM PDT

Damsyik sedia berunding peletakan jawatan Presiden Syria

Damsyik: Syria sedia membincangkan peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian penyelesaian menerusi rundingan bagi menamatkan konflik meskipun Amerika Syarikat menyuarakan keraguannya.

Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil, memberi ulasan itu ketika mengunjungi Moscow selepas Russia menyuruh negara Barat tidak campur tangan di Syria berikutan amaran Presiden Barack Obama mengenai penggunaan senjata kimia oleh Damsyik di medan perang.

"Mengenai peletakan jawatannya, anda tidak mungkin dapat mengadakan dialog ini jika perkara ini menjadi syarat berunding," kata Jamil selepas berbincang di Moscow.
Tetapi, beliau juga berkata: "Sebarang masalah boleh dirundingkan apabila berbincang. Kami juga sedia membincangkan perkara itu."

Sumber politik di sini berkata, Jamil dihantar ke Moscow bagi membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya presiden di Syria yang membenarkan semua calon bertanding termasuk Bashar.

Kumpulan pembangkang utama dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria sedang mengkaji pembentukan kerajaan sementara tetapi tidak mengulas sama ada ia akan membabitkan anggota pentadbiran sekarang.

Amerika tidak yakin
Amerika pula tidak yakin dengan tawaran Damsyik mengenai langkah membincangkan peletakan jawatan Bashar.

"Kami sudah baca laporan sidang akhbar yang diberi Timbalan Perdana Menteri Syria. Secara jujur, kami tidak nampak ada perkara baru," kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.

"Kami percaya, lebih cepat Bashar pergi, lebih pantas semuanya selesai."

Meskipun tidak mengarahkan tindakan ketenteraan pada masa ini, Obama memberi amaran kepada Syria bahawa sebarang langkah menggunakan senjata kimia akan menyebabkan Washington mengambil langkah segera.

Mengaku miliki senjata kimia

Syria mengakui pada Julai lalu bahawa ia memiliki senjata kimia dan akan menggunakannya bagi menghadapi sebarang keganasan dari luar tetapi tidak ke atas penduduk sendiri.

Jamil menolak ulasan Osama sambil menyifatkannya propaganda yang ada kaitan dengan pilihan raya presiden November depan manakala Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata: "Tidak patut ada campur tangan luar sama sekali." - AFP

Muslim New York warga contoh AS

Posted: 22 Aug 2012 03:45 PM PDT

New York: Polis New York tidak mendapat sebarang petunjuk keganasan atau melancarkan siasatan mengenai komplot ganas selepas enam tahun mengintip penduduk Islam di negeri itu.

Pengintipan itu dilakukan oleh Unit Demografik Jabatan Polis New York membabitkan usaha mencuri dengar perbualan dan mengumpul maklumat mengenai masjid yang ada di 'Big Apple,' menurut keterangan mahkamah yang didedahkan kepada umum, lewat Isnin lalu.

Pengintipan itu turut dilakukan ke atas penduduk Islam yang mengubah nama, kumpulan pelajar Islam, menempatkan pemberi maklumat di masjid, mengawasi kandungan khutbah.

Beri amaran awal

Polis berharap, Unit Demografik dapat menjadi pemberi amaran awal keganasan.
Misalnya, jika polis mendapat maklumat kehadiran seorang pengganas dari Afghanistan di sini, mereka akan tahu di mana orang berkenaan menyewa bilik, membeli barangan dapur dan program sukan ditontonnya.

Tetapi, dalam keterangan pada 28 Jun lalu sebagai sebahagian kes hak sivil, Penolong Ketua Polis, Thomas Galati berkata tiada perbualan yang dicuri dengar oleh anggota keselamatan.
"Mengenai apa yang dilakukan anggota Demografik berkenaan, ia tidak pernah membawa kepada sebarang siasatan," menurut keterangan Galati.

NYPD adalah jabatan polis terbesar di Amerika Syarikat. Datuk Bandarnya, Michael Bloomberg sering merujuk kepada taktik anti keganasan jabatan itu sebagai contoh kepada negeri lain. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan