Sabtu, 18 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


PBB akhiri misi di Syria

Posted: 17 Aug 2012 07:06 PM PDT

Syarat tak dipenuhi, Bashar terus tidak peduli tekanan antarabangsa

AAZAZ: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamatkan misi pemantauannya di Syria ketika aktivis melaporkan peningkatan serangan ke atas penduduk awam di pusat pertempuran utama, Aleppo.

Keputusan PBB diumumkan kelmarin ketika komuniti antarabangsa semakin meletakkan tekanan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad supaya menghentikan pertempuran selama 17 bulan yang kini mengancam menular ke negara jirannya, Lubnan.

"Syarat untuk meneruskan misi tidak dipenuhi," kata Duta Perancis ke PBB, Gerard Araud, selepas mengadakan pertemuan mengenai konflik itu di New York, merujuk kepada misi itu yang mandatnya dijangka berakhir tengah malam esok.
Kuasa besar sudah lama berbalah mengenai cara menamatkan konflik di negara itu, dan pengunduran pemerhati berikutan gagalnya pelan damai yang dirangka oleh wakil khas badan dunia itu, Kofi Annan.

Mengebom penduduk

Sementara itu, aktivis melaporkan tentera Syria mengebom sekumpulan penduduk yang berbaris di luar kedai roti di daerah Qadi Askar di Aleppo, bandar yang menjadi pusat pertempuran antara rejim dan pejuang pembebasan Syria.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, 10 terbunuh di daerah itu, dan sekurang-kurangnya 99 lagi maut dalam keganasan di seluruh negara itu kelmarin, kebanyakannya penduduk awam.
Rabu lalu, kira-kira 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara besar-besaran ke atas penduduk awam di kubu pejuang pembebasan di Aazaz, di utara Aleppo, menurut kumpulan hak dan penduduk.

Sekatan senjata ke atas Syria

Kumpulan hak asasi, Human Rights Watch menggesa Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan senjata ke atas Syria selepas serangan udara di Aazaz.

"Sekali lagi, tentera kerajaan Syria menyerang tanpa mempedulikan nyawa orang awam," katanya.

Pengarah pusat media Aazaz yang sudah ditutup Mohammed Nur, berkata 40 terbunuh termasuk 30 sekeluarga dan 150 lagi cedera.

"Bashar al-Assad tidak peduli di mana bom mendarat dan dalam kes ini, juruterbangnya tidak melepaskan bom dengan tepat," katanya.

Keganasan terbaru Iraq ragut 93 nyawa

Posted: 17 Aug 2012 07:03 PM PDT

Baghdad: Siri pengeboman dan serangan bersenjata yang membunuh sekurang-kurangnya 93 orang di Iraq membayangi persiapan untuk menyambut Aidilfitri, di tengah-tengah amaran militan mungkin melancarkan serangan lagi.

Keganasan kelmarin, yang terburuk dalam masa sehari sejak ketegangan bulan lalu membunuh 113 orang pada 23 Julai, berlaku di 15 bandar raya dan pekan di seluruh negara dan menyebabkan 260 lagi cedera dalam lebih 12 letupan dan tembakan.

Kekacauan terbaru itu menjadikan angka kematian akibat keganasan bulan ini kepada 198, menurut kiraan AFP berdasar sumber keselamatan dan perubatan. Keganasan terburuk kelmarin berlaku di sekitar Baghdad, yang menyaksikan 26 maut dalam siri pengeboman.

Tiga serangan

Di Kota Sadr di utara Baghdad yang dikuasai penduduk Syiah, sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 41 cedera dalam letupan petang kelmarin manakala enam lagi maut dan 26 cedera akibat letupan kereta di daerah Husseiniyah, juga di bahagian utara ibu kota negara itu.

Di utara Baghdad, penyerang menyerang pos pemeriksaan di Massud, membunuh sekurang-kurangnya enam askar dan mencederakan tujuh lagi, kata pasukan keselamatan dan pegawai perubatan.
Di Tal Afar di utara Baghdad, seorang pengebom bunuh diri meragut enam nyawa dan mencederakan 10 lagi, kata Leftenan Muda Abed Ghayib dan Dr Mohammed Tawfik.

Sementara itu, siri serangan di Kirkuk, utara Baghdad mengorbankan sembilan orang. Di pekan Daquq, penyerang bunuh diri meletupkan bom di pekarangan jabatan antikeganasan, manakala di ibu kota, sekurang-kurangnya empat bom kereta berlaku di seluruh bandar raya itu, termasuk dua di pejabat Syarikat Minyak Utara milik kerajaan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan