Isnin, 23 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Tentera Bashar bertempur di Damsyik

Posted:

Tentera Bashar bertempur di Damsyik

AFP
SEBUAH bangunan musnah akibat serangan tentera Bashar di pinggir Damsyik.


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.

Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.

Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.

"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.

"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.

REUTERS
SEBUAH trak musnah dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad di Erbeen, Damsyik kelmarin.


Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.

"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya. - Agensi

Budak hidap tumor dibawa ke AS

Posted:

Budak hidap tumor dibawa ke AS

AP
GAMBAR menunjukkan tumor pada badan Jose.


ALBUQUERQUE, New Mexico - Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang mempunyai tumor pada badannya telah dibawa keluar dari sebuah kawasan perumahan yang berbahaya di Mexico dengan menggunakan kenderaan berperisai oleh ejen-ejen keselamatan Amerika Syarikat (AS), kata keluarganya.

Budak tersebut yang identitinya hanya dikenali sebagai Jose dibawa ke sempadan untuk mendapatkan rawatan perubatan di New Mexico, AS.

Dia dan keluarganya dibawa keluar dari kawasan perumahan yang terkenal dengan kegiatan jenayah di Ciudad Juarez setelah beberapa kakitangan sebuah gereja melihatnya dan berusaha untuk membantunya.

Keluarga budak tersebut menyatakan tumor di leher dan bahunya itu semakin membesar sehingga menjejaskan penglihatannya.

Tumor itu dihidapi budak tersebut sejak dia dilahirkan.

Namun, keluarganya tidak mempunyai wang untuk membawanya menjalani rawatan.

Penyelaras bantuan untuk Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Denise Gutierrez berkata, dia seperti mahu menghulurkan bantuan selepas melihat gambar budak tersebut.

Gutierrez menyatakan budak itu dan bapanya diberikan visa kemanusiaan selama 45 hari untuk menjalani rawatan.

Pasukan Pengawal Sempadan AS membantu membawa masuk budak tersebut memasuki New Mexico. - AP

Israel bimbang atletnya diserang di Sukan Olimpik

Posted:

Israel bimbang atletnya diserang di Sukan Olimpik

LONDON - Israel meningkatkan kawalan keselamatan terhadap atlet-atletnya yang bertanding di Sukan Olimpik London yang bermula pada 24 Julai ini, menurut satu laporan semalam.

Menurut agensi berita AFP, tindakan itu dibuat kerana bimbang satu pasukan keganasan dari Iran di Eropah mungkin merancang serangan terhadap atletnya.

Pemerintah Israel dilaporkan menghantar ejen-ejen daripada perkhidmatan perisikan Shin Bet untuk melindungi atletnya.

Menurut laporan akhbar Sunday Times, pasukan perisikan MI5 dan Scotland Yard dipercayai telah meningkatkan penilaian berhubung ancaman ke atas pasukan Israel.

Ia dibuat selepas sebuah bas yang membawa sejumlah pelancong Israel meletup di Bulgaria pada minggu lalu.

Sementara itu, agensi perisikan Israel, Mossad dikatakan telah menghantar satu pasukan yang mempunyai kod nama Bayonet ke Eropah bagi mencari kumpulan yang dipercayai bekerjasama dengan Hizbollah dan pasukan Quds Iran dalam serangan ke atas bas tersebut.

Dalam letupan yang dilakukan seorang pengebom berani mati di dalam bas tersebut, seramai lima warga Israel terbunuh. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan