Isnin, 23 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


107 maut hari ketiga Ramadan di Iraq

Posted: 23 Jul 2012 09:53 AM PDT

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 107 orang terbunuh kena tembakan dan letupan bom di Iraq semalam dengan kumpulan al-Qaeda dipersalahkan dan dituduh cuba meningkatkan lagi permusuhan antara puak Sunnah, Syiah dan Kurdis.

Angka kematian itu dicatat sehari selepas 20 orang maut dalam beberapa letupan kelmarin. Kebanyakan serangan dilaporkan menyasarkan orang Syiah. Dalam satu serangan terhadap sebuah pos kawalan tentera di Dhuluiya, 70 kilometer ke utara Baghdad, sekumpulan lelaki bersenjata menggunakan senapang dan bom tangan bagi membunuh 16 askar.
Di bandar Taji, 20 kilometer ke utara Baghdad, enam letupan, satu daripadanya ledakan bom kereta berlaku dekat sebuah kompleks kediaman.

Letupan ketujuh di situ menyebabkan 32 terbunuh termasuk 14 anggota polis, 48 cedera, 10 daripadanya anggota keselamatan.

Dua bom kereta meletup dekat sebuah bangunan kerajaan di Kota Sadr, sebuah kawasan miskin Syiah di Baghdad. Letupan juga berlaku di daerah Hussainiya di pinggirnya.

Ia menyebabkan 21 terbunuh dan 73 cedera manakala sembilan orang termasuk enam askar maut dalam beberapa serangan di bandar Mosul.
Di Kirkuk, lima bom kereta membunuh enam orang dan mencederakan 17 lagi manakala serangan menerusi tembakan senjata api ke arah anggota keselamatan di pos kawalan di wilayah Diyala membunuh enam orang termasuk empat askar dan anggota polis selain mencederakan 30 lagi, kata sumber.

Serangan lain berlaku di bandar Khan Bani Saad, Udhaim, Tuz Khurmato, Samarra dan Dujail, semuanya di utara Baghdad, selain Diwaniya, di selatan.

Keganasan itu menyusuli ledakan bom kereta kelmarin di dua bandar selatan Baghdad dan bandar Najaf menyebabkan 20 maut dan 80 lagi cedera.

Angka korban terbaru adalah yang kedua terburuk selepas bulan lalu apabila 237 orang maut dan 603 cedera.

"Serangan terbaru mesej jelas daripada al-Qaeda bahawa ia berazam mencetuskan perang antara puak.

"Ketika Syria juga bergolak, serangan ini perlu dipandang serius," katanya.
REUTERS

Pakistan sedia bantu pasangan kahwin lari

Posted: 23 Jul 2012 09:50 AM PDT

PESHAWAR: Sebuah mahkamah Pakistan mengarahkan polis melindungi satu pasangan Afghanistan yang bimbang dibunuh saudara sebelah wanita itu selepas mereka kahwin lari.

Hewad, 22, dan Mariyam Marjman lari dari Kabul bulan lalu selepas jatuh cinta untuk berkahwin di bandar Abbottabad, barat laut Pakistan. Marjman yang seusia pasangan berkata, ibu bapanya mahu dia berkahwin dengan seorang lelaki tua.
Lelaki berkenaan adalah suami kepada kakaknya yang baru-baru ini meninggal dunia.

Katanya, dia mungkin dibunuh kerana berkahwin lelaki pilihan hati jika dihantar pulang ke Afghanistan.

Mahkamah tinggi Peshawar mengambil kes itu selepas nasib pasangan berkenaan mendapat tumpuan ramai.

"Pasangan terbabit perlu diberi penginapan sebaik-baiknya di Peshawar selain keselamatan ketat kerana nyawa mereka terancam," kata hakim Dost Muhammad Khan. Pasangan itu pada mulanya dipisahkan sebelum dibawa bersama dengan diiringi polis bersenjata ke mahkamah.

Hakim menjadualkan sesi keterangan minggu depan bagi memastikan arahan mereka dilaksanakan.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan