Selasa, 10 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pertemuan di Damsyik positif

Posted:

Pertemuan di Damsyik positif

GAMBAR oleh agensi berita rasmi SANA menunjukkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertemu dengan utusan PBB-Liga Arab, Kofi Annan di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Kofi Annan menyatakan beliau mencapai satu persetujuan dengan Presiden Bashar Assad berhubung pelan damai bagi menamatkan pergolakan berdarah di negara berkenaan.

Usaha damai itu dibuat hasil inisiatif Annan melibatkan peralihan kuasa untuk menamatkan krisis di Syria yang telah berlanjutan selama 16 bulan.

Konflik di Syria bermula dengan kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Bashar sebelum bertukar menjadi pemberontakan bersenjata.

Annan berkata, Iran perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada konflik di Syria yang menurut beberapa aktivis, sudah meragut lebih 14,000 nyawa setakat ini.

"Kami bersetuju dengan satu pendekatan yang akan di maklumkan kepada pihak penentang," kata Annan kepada pemberita selepas pertemuan selama dua jam dengan Assad di sini.

"Saya juga menegaskan adalah penting untuk meneruskan dialog yang turut dipersetujui oleh Bashar," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci berhubung rangka kerja yang dicapai bersama Bashar.

Sementara itu, sebuah stesen televisyen Iran melaporkan bahawa Annan telah berkunjung ke Tehran untuk mesyuarat semalam.

Sebelum itu, dalam satu wawancara dengan akhbar harian Le Perancis Monde pada hari Sabtu, Annan mengakui bahawa usaha masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian politik kepada keganasan yang semakin meningkat di Syria telah gagal.

Beliau menambah bahawa lebih banyak perhatian perlu diberikan kepada sekutu Syria, Iran, dengan menyatakan Tehran harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian. - Agensi

Wabak misteri di Kemboja dirungkai

Posted:

Wabak misteri di Kemboja dirungkai

PENDUDUK kampung menunggu giliran untuk pemeriksaan kesihatan anak-anak mereka di luar sebuah hospital di Phnom Penh, Kemboja semalam.


PHNOM PENH - Beberapa pakar kesihatan menemui kaitan kematian misteri berpuluh kanak-kanak di Kemboja dengan virus penyakit tangan, kaki dan mulut, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Penemuan dibuat ketika mereka giat berusaha mengenal pasti punca penyakit misteri itu.

Menurut WHO dan Kementerian Kesihatan Kemboja, daripada 59 kes yang direkodkan, sekurang-kurangnya 52 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 11 tahun maut ekoran penyakit misteri itu sejak pertengahan April lalu.

Namun, keputusan ujian makmal baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar sampel positif Enterovirus 71 (EV-71) yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut.

Seorang pakar kesihatan awam untuk WHO Kemboja, Nima Asgari memberitahu agensi berita AFP bahawa virus tersebut belum pernah ditemui di Kemboja tidak seperti beberapa negara rantau Asia Tenggara lain.

Namun, Asgari memberitahu, lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada terdapat virus lain dalam wabak tersebut.

"Penemuan ini penting kerana ia membongkar misteri penyakit ini," katanya.

Tambah Asgari, penyakit tangan, kaki dan mulut adalah penyakit berjangkit dan merebak menerusi sentuhan langsung dengan bendalir badan atau najis orang yang dijangkiti.

Kaedah terbaik untuk membendung penyakit itu katanya adalah dengan menjaga kebersihan diri. - AFP

Aktor veteran Hollywood meninggal dunia

Posted:

Aktor veteran Hollywood meninggal dunia

ERNEST BORGNINE


LOS ANGELES, Amerika Syarikat - Pelakon siri televisyen Airwolf yang juga pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem Marty, Ernest Borgnine meninggal dunia pada usia 95 tahun kelmarin.

Jurucakapnya sejak sekian lama, Harry Flynn memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa Borgnine mati akibat kegagalan ginjal di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di sini dengan isteri dan anak-anak berada di sisinya.

Pada awal pembabitannya dalam dunia perfileman pada tahun 1950-an, Borgnine dikenali kerana kerap melakonkan watak jahat terutamanya sebagai Fatso Judson yang membelasah Frank Sinatra sehingga mati dalam filem From Here to Eternity.

Borgnine mula mengecap populariti menerusi filem bajet rendah, Marty dengan melakonkan watak seorang penjual daging berusia 34 tahun yang bimbang tidak akan dapat memiliki cinta kerana berwajah buruk.

Dia kemudian menemui seorang gadis yang memiliki kebimbangan sama di satu majlis tari menari.

Bermodalkan cuma AS$360, 000 (RM1.14 juta), Marty dinobatkan filem terbaik untuk anugerah Oscar apabila mengetepikan beberapa filem bajet besar Hollywood seperti The Rose Tattoo, Love Is a Many-Splendored Thing, Picnic dan Mister Roberts pada 1955.

"Anugerah Oscar menobatkan saya sebagai seorang bintang filem dan saya berterima kasih," kata Borgnine dalam satu wawancara pada 1966.

"Namun, saya berasa kehidupan peribadi saya akan lebih tenang dan tidak kucar-kacir sekiranya saya tidak memenangi anugerah ini," tambahnya.

Kekalutan dalam hidup aktor tersebut termasuk empat perkahwinan yang musnah termasuk rumah tangganya bersama penyanyi Ethel Merman pada 1964.

Perkahwinan mereka bertahan tidak sampai enam minggu.

Namun, perkahwinan kelimanya pada 1973 dengan wanita kelahiran Norway, Tova Traesnaes berterusan hingga ke akhir hayat.

Traesnaes mengilangkan dan menjual rangkaian produk kecantikannya sendiri di bawah jenama Tova.

Dia menggunakan wajah suaminya yang awet muda itu dalam iklan produknya.

Antara filem lain lakonan Borgnine termasuk Ice Station Zebra, The Adventurers, Willard, The Poseidon Adventure, The Greatest" (sebagai pengurus Muhammad Ali), Convoy, Ravagers, Escape from New York, Moving Target dan Mistress. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan