Kosmo Online - Dunia |
- Roket dari Lebanon serang pos imigresen di Syria
- Ibu kota pentadbiran baharu Korea Selatan
- Apple bayar RM189 juta selesai isu nama iPad
Roket dari Lebanon serang pos imigresen di Syria Posted: Roket dari Lebanon serang pos imigresen di Syria
BEIRUT - Satu serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon menyebabkan dua anggota polis sempadan Syria cedera semalam. "Menjelang subuh, beberapa lelaki bersenjata melancarkan serangan roket dari Buqaya di wilayah Lebanon ke arah Syria dan mengenai sebuah pos imigresen Syria serta mencederakan dua anggota polis pengawal sempadan," menurut satu kenyataan daripada agensi Keselamatan Awam Lebanon. Ia merupakan laporan pertama yang pernah diketahui tentang serangan roket dari negara tersebut. Menurut kenyataan tersebut, ketika anggota-anggota polis sempadan Syria mengejar lelaki bersenjata tersebut, satu serangan roket itu dilancarkan. Lelaki-lelaki bersenjata yang melancarkan serangan tersebut berjaya melarikan diri. Sementara itu, kerajaan Arab Saudi meminta rakyatnya tidak berkunjung ke Lebanon ekoran kebimbangan berhubung keadaan keselamatan di negara berkenaan disebabkan pergolakan antara negara tersebut dengan Syria. Arab Saudi menyertai beberapa negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dalam menasihati rakyat mereka supaya menjauhi Lebanon. Negara berkenaan menyaksikan beberapa kejadian pertempuran jalanan yang berlaku pada awal tahun ini yang didorong oleh kebangkitan rakyat di Syria. "Ekoran situasi tidak menentu di Lebanon sekarang ini, Kementerian Luar memberi amaran kepada rakyat Arab Saudi agar tidak berkunjung ke Lebanon demi keselamatan mereka," kata seorang pegawai kementerian berkenaan yang dipetik agensi berita rasmi SPA. Negara Teluk Arab terutamanya Arab Saudi dan Qatar dilihat menyokong kebangkitan antipemerintah di Syria dengan membayar gaji askar pemberontak di negara itu dan menggesa supaya pihak penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dilengkapi senjata. Sebelum ini, ramai pelancong rantau Teluk Arab melawat Lebanon terutamanya pada musim panas sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat pergolakan di Syria. Kumpulan penyokong dan penentang Bashar sebelum ini bertempur di bandar pelabuhan Tripoli dengan kawasan sempadan Lebanon turut digunakan oleh pemberontak untuk menyeludup senjata ke Syria. Arab Saudi turut meminta masyarakat antarabangsa supaya mengambil "tindakan tegas" bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria. "Arab Saudi meminta masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai (penduduk Syria), kata kerajaan seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi SPA. Kenyataan tersebut disiarkan selepas satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah. Gesaan tersebut dibuat ketika beberapa helikopter tempur Syria mengebom beberapa kawasan di pinggir ibu kota Syria, Damsyik semalam. Pada masa yang sama, Turki menyatakan pihaknya mengerahkan beberapa jet pejuang ke kawasan sempadan di utara negara itu. Tindakan tersebut dibuat ketika konflik selama 16 bulan di Syria menjadi semakin ganas dengan usaha diplomasi dilihat menemui kegagalan. Pertempuran kini sampai ke pinggir bandar raya Damsyik sejak beberapa minggu lalu dan turut sengit di seluruh Syria ekoran perjuangan untuk menjatuhkan Bashar kini memasuki fasa perang saudara. - Agensi | |
Ibu kota pentadbiran baharu Korea Selatan Posted: Ibu kota pentadbiran baharu Korea SelatanPEMANDANGAN di kawasan kediaman ibu kota pentadbiran Korea Selatan di bandar Sejong semalam. BANDAR SEJONG - Majlis pelancaran ibu kota pentadbiran baharu yang akan menempatkan sebahagian besar pentadbiran negara Korea Selatan diadakan di sini semalam. Pembukaan majlis itu menamatkan perbalahan selama sedekad berhubung projek berkenaan yang dianggap sebahagian pengkritik sebagai bermotifkan politik. Sekitar 2,000 penduduk dan orang kenamaan dari sini menghadiri majlis pelancaran pusat pentadbiran baharu itu yang menelan belanja AS$19.4 bilion (RM61.6 bilion) apabila ia siap sepenuhnya. Tujuan bandar raya pentadbiran tersebut dibina antara lain adalah untuk mengurangkan kesesakan di ibu kota Korea Selatan, Seoul. "Bandar raya ini akan membuka era baharu dalam sejarah pembangunan seimbang Korea Selatan," kata Perdana Menteri, Kim Hwang-Sik. Bandar Raya Sejong yang terletak 120 kilometer ke selatan Seoul akan menempatkan 16 kementerian atau agensi dan 30 bangunan pusat pentabdiran yang buat masa ini terletak di ibu negara Korea Selatan. Lebih 10,000 kakitangan awam akan bekerja di pusat pentadbiran baharu tersebut. - AFP | |
Apple bayar RM189 juta selesai isu nama iPad Posted: Apple bayar RM189 juta selesai isu nama iPadBEBERAPA orang berada di dalam sebuah kedai yang menjual komputer tablet iPad di Shanghai, China semalam. SHANGHAI - Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc. bersetuju membayar AS$60 juta (RM189 juta) kepada syarikat Shenzhen Proview Technology bagi menyelesaikan pertikaian berhubung nama iPad. Apple menggunakan nama iPad untuk komputer tablet keluarannya. Menurut kenyataan Mahkamah Tinggi wilayah Guangdong di laman webnya semalam, Apple telah membayar wang tersebut pada minggu lepas. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding yang dituntut syarikat tersebut iaitu AS$400 juta (RM1.26 bilion). "Ini bermakna pertikaian berhubung nama iPad dapat diselesaikan dalam cara yang memuaskan (kedua-dua pihak)," kata kenyataan tersebut. Syarikat sekutu Shenzhen Proview di Taiwan telah mendaftar nama 'iPad' di beberapa negara termasuk China sejak awal tahun 2000 sebelum Apple tampil dengan menggunakan nama tersebut. Seorang peguam syarikat Shenzhen Proview, Xie Xianghui berharap pihaknya dapat memperoleh ganti rugi sebanyak RM1.26 bilion. Menurutnya, wang tersebut jika diperoleh akan digunakan untuk membayar hutang syarikat. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan