Kosmo Online - Dunia |
- PBB mahu Bashar letak jawatan
- Bandar China hadkan jualan kereta
- Lelaki mengamuk selepas diusir keluar dari disko
Posted: PBB mahu Bashar letak jawatan
PARIS - Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius memberitahu anggota-anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju supaya diadakan peralihan politik dan Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu meletakkan jawatan. Persetujuan itu dicapai di Geneva kelmarin dan anggota-anggota majlis tersebut meminta kerajaan peralihan perlu ditubuhkan bagi menamatkan konflik di Syria. Ditanya kenapa Rusia dan China mempunyai perspektif yang berbeza ke atas masa depan Bashar, Fabius berkata: "Walaupun negara-negara itu menyatakan perkara yang sebaliknya, fakta dalam teks (persetujuan) tersebut menyatakan secara terperinci bahawa terdapat satu pentadbiran peralihan dengan semua kuasa menyatakan ia bukannya Bashar (menjadi pemimpin)." Konflik di Syria bermula sejak Mac tahun lalu dan kini masih belum dapat diselesaikan. Lebih 15,000 orang dilaporkan mati dalam konflik tersebut sejak kebangkitan rakyat berlaku di negara tersebut. Penduduk di negara tersebut mahu Bashar berundur menyebabkan pertempuran berlaku dengan askar-askar Syria. Sekurang-kurang 83 orang dilaporkan mati dan ratusan terperangkap di bandar Douma selepas tentera rejim Syria menyerang bandar itu kelmarin. Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria berkata, dalam kejadian itu, seramai 30 orang mati selepas terkena bedilan mortar semasa menghadiri majlis pengebumian di bandar Zamalka. - Agensi | |
Bandar China hadkan jualan kereta Posted: Bandar China hadkan jualan keretaGAMBAR fail menunjukkan sejumlah kenderaan bergerak di Beijing. BEIJING - Pihak perbandaran Guangzhou mengehadkan jualan kereta bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar, lapor agensi berita rasmi Xinhua semalam. Menurut agensi berita itu, hanya 120,000 buah kereta baharu dibenarkan didaftarkan dalam tempoh setahun yang bersamaan dengan 10,000 buah kereta sebulan. Langkah itu akan dikuatkuasakan semalam. Bandar raya ini adalah yang ketiga selepas Beijing dan Guiyang yang menghadkan jualan kereta sebagai usaha untuk memperbaikan trafik dan kualiti udara. Pihak pengurusan bandar raya Beijing mengehadkan pemilikan kereta kepada 20,000 buah sebulan pada Januari tahun lalu. Menurut Xinhua, semasa waktu puncak, kereta di Guangzhou hanya boleh bergerak selaju 20 kilometer sejam. - Reuters | |
Lelaki mengamuk selepas diusir keluar dari disko Posted: Lelaki mengamuk selepas diusir keluar dari disko
LILLE, Perancis - Seorang lelaki menembak mati dua orang di sebuah kelab malam di sini semalam, kata polis dan beberapa pegawai tempatan. Menurut seorang pegawai tempatan, lelaki itu melakukan perbuatan tersebut selepas dia diusir keluar dari disko Theatro. Namun, katanya, dia kembali semula dan melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata api mirip Kalashikov. Seorang pelanggan dan pekerja terbunuh manakala lima lagi termasuk seorang bouncer cedera dan dihantar ke hospital. Polis menyatakan lelaki tersebut yang bertindak bersendirian telah melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta selepas kejadian tersebut. Lelaki berkenaan kemudian diburu polis. Seorang wartawan agensi berita AFP menyatakan polis menyekat laluan ke disko itu. "Kami berada di ruang tarian apabila satu bunyi kuat kedengaran dan berlaku pergelutan. Pada mulanya, saya menganggap ia merupakan bunyi mercun," kata seorang pengunjung kelab tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Jeremy. Menurutnya, terdapat kira-kira 200 hingga 300 orang di dalam kelab malam itu. "Saya pergi ke pintu masuk dan melihat apa yang berlaku. "Saya mendapati terdapat seseorang yang terbaring di lantai dengan berlumuran darah," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan