Isnin, 2 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Restoran China dikuasai robot

Posted: 01 Jul 2012 11:53 AM PDT

HARBIN (China): Kata orang, satu hari nanti, robot akan melayan manusia, dalam kes ini, boleh dianggap sebagai pembuka selera.

Sekiranya anda pergi ke restoran ini yang terletak di bandar Harbin, China, anda akan melihat 18 robot, dari pelayan ke tukang masak, hinggalah ke penyambut tetamu, bersedia untuk memastikan pengalaman menikmati makanan yang sempurna.

Restoran itu mempunyai 18 jenis robot dan setiap satu akan bergerak ke dapur untuk menyediakan makanan anda. Hidangan istimewa di sini termasuklah robot dumpling dan mi robot.

Apabila tetamu melangkah masuk, robot penyambut tetamu akan mendepangkan tangan mereka ke tepi dan dengan suara cereka sains yang lancar, mereka berkata "Orang Bumi. Helo. Selamat datang ke Restoran Robot."


Selepas tetamu membuat pesanan mereka, robot di dapur akan mula memasak.


Sebaik saja hidangan siap, robot pelayan yang bergerak menggunakan laluan di lantai, membawanya dari dapur ke meja.

Hidangan yang siap itu diletakkan di atas sawat penyampai yang tergantung dan apabila tiba di meja yang betul, tangan mekanikal akan mengangkat hidangan itu dan meletakkan di atas meja.

Sambil tetamu makan, satu lagi robot akan menyanyi untuk menghiburkan mereka.

Semua robot di dalam restoran itu direka dan dihasilkan oleh Syarikat Harbin Haohai Robot.

Ketua Jurutera, Liu Hasheng berkata, mereka melaburkan 5 juta yuan (RM2.5 juta) untuk membina restoran itu dan setiap robot berharga antara RM100,000 hingga RM150,000.

Katanya, "Staf di bilik komputer boleh mengendali keseluruhan pasukan robot itu. Selepas waktu puncak setiap hari, robot ini akan berehat untuk "makan" iaitu bekalan elektrik."

Liu berkata, selepas dicaj selama dua jam, robot ini boleh bekerja tanpa henti selama lima jam.

Restoran ini kini menyediakan menu lebih 30 hidangan dan setiap satu berharga antara RM20 dan RM25. - DM


Alec Baldwin, Hilaria kahwin di New York

Posted: 01 Jul 2012 11:50 AM PDT

NEW YORK: Alec Baldwin dan tunangnya, pelatih yoga, berkahwin kelmarin di gereja di New York City.

Antara tetamu yang hadir termasuk ahli keluarga dan rakan Hollywood terkenal.

Baldwin, 54 dan Hilaria Thomas, 28, berkahwin di Gereja St Patrick's Old Cathedral dalam upacara Katholik yang dilakukan oleh Paderi George Deas.

Bintang lain yang berlakon dalam rancangan "30 Rock", Tina Fey, aktres Mariska Hargitay, pengarah Woody Allen, peguam alam sekitar Robert F. Kennedy Jr dan adik Baldwin yang juga seorang aktor, Stephen, antara yang hadir dalam upacara itu.


Hilaria mengenakan gaun sutera warna magnolia rekaan Amsel dengan butang kristal di belakang. Sut Baldwin pula direka oleh Tom Ford.


Pasangan itu mula berpacaran tahun lalu dan bertunang April lalu.

Baldwin pernah berkahwin dengan aktres Kim Basinger, mereka mempunyai seorang anak perempuan Ireland yang turut hadir pada hari perkahwinan bapanya dengan mengenakan gaun sifon sutera juga direka oleh Amsale. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan