Kosmo Online - Dunia |
- Situasi tegang di Mesir memuncak
- Pesawat tentera terhempas di atas rumah
- Antibodi jadi penawar demam denggi
Situasi tegang di Mesir memuncak Posted: Situasi tegang di Mesir memuncak
KAHERAH - Situasi tegang di Mesir memuncak semalam selepas pergerakan Islam terbesar di negara berkenaan, Ichwanul Muslimin memberi amaran konfrantasi akan berlaku sekiranya calon mereka, Mohamed Morsi tidak dinamakan sebagai Presiden Mesir yang baharu. Kelewatan pengumuman keputusan pilihan raya Presiden yang diadakan pada 16 dan 17 Jun lalu meningkatkan kebimbangan Ichwanul Muslimin bahawa pemerintah tentera merancang untuk merampas kuasa. Seorang pemimpin Ichwanul Muslimin turut memberi kata dua bahawa keadaan buruk akan tercetus jika pesaing Morsi yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq diumumkan sebagai pemenang pilihan raya berkenaan. Terdahulu, suruhanjaya pilihan raya menyatakan, pihaknya terpaksa menangguhkan pengumuman rasmi keputusan pilihan raya yang dijadualkan semalam. Kelewatan tersebut ekoran suruhanjaya berkenaan masih menyiasat dakwaan penipuan daripada kedua-dua calon yang bertanding. Akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram melaporkan, kempen Shafiq menuduh pasukan gerak kerja Morsi mencetak hampir sejuta kertas undi palsu. Bagaimanapun, Morsi dalam kempen pasca pilihan raya menafikan tuduhan tersebut. Sebaliknya, beliau menuduh kem Shafiq merasuah pengundi. Perkembangan membimbangkan itu berlaku ketika bekas Presiden Hosni Mubarak berada dalam keadaan nazak sejak kelmarin. Bekas pemimpin berusia 84 tahun itu terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital tentera di sini selepas diserang strok di penjara. - AFP | |
Pesawat tentera terhempas di atas rumah Posted: Pesawat tentera terhempas di atas rumahBEBERAPA petugas kecemasan memerhatikan timbunan runtuhan selepas sebuah pesawat tentera terhempas di Jakarta semalam. JAKARTA - Sebuah pesawat milik tentera udara Indonesia semalam terhempas di atas lapan buah rumah di sebuah pangkalan tentera di sini, membunuh sepuluh anak kapal dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima yang lain cedera parah. "Seorang lagi berada dalam keadaan kritikal," kata jurucakap tentera udara Indonesia, Asman Yunus. Pesawat Fokker-27 itu terhempas di kawasan perumahan di lapangan terbang tentera Halim Perdanakusuma pada pukul 2.45 petang (waktu tempatan) setelah berlepas dari lapangan terbang sama pada pukul 1.10 petang. Pesawat malang itu dikatakan sedang menjalani latihan penerbangan dan tidak mempunyai penumpang. Pasukan bomba dilihat bertungkus-lumus memadamkan api yang memusnahkan beberapa buah rumah. Sayap pesawat itu juga dapat dilihat berada di atas sebuah rumah terbabit. Pihak tentera akan menyiasat punca nahas pesawat yang sudah berusia lebih 20 tahun itu. Indonesia kini sedang dalam proses memodenkan pesawat dan peralatan ketenteraannya. Ia melibatkan pembelian pesawat dan bot dari Rusia serta Amerika Syarikat. - AFP | |
Antibodi jadi penawar demam denggi Posted: Antibodi jadi penawar demam denggiHONG KONG - Para saintis berkata mereka telah mengambil antibodi daripada seorang bekas pesakit demam denggi di Singapura yang boleh mengatasi virus denggi. Penemuan terbaharu itu dijangka boleh mengawal kes kematian akibat demam denggi. Sehingga kini, masih belum ada penawar bagi demam denggi yang telah menbunuh lebih 20,000 orang setahun terutama kanak-kanak. Pakar perubatan setakat ini hanya mampu mengawal simptom penyakit tersebut. Antibodi itu merupakan di antara 200,000 sampel yang diambil daripada 100 orang pesakit demam denggi yang telah pulih. Antibodi itu dilihat mampu membunuh kuman virus denggi subjenis 1, jelas satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Perubatan Sains Translasi. Terdapat empat subjenis yang berbeza dalam virus denggi yang menyebabkan demam maut itu. "Penemuan antibodi itu boleh membunuh virus denggi sebelum ia merebak ke semua sel darah," kata salah seorang saintis penyelidikan, Lok Shee-Mei. Dalam satu penyelidikan menggunakan tikus sebagai subjek, para pengkaji mendapati antibodi itu meliputi seluruh permukaan virus, sekali gus menghalangnya dari terus merebak. Berbanding beberapa penemuan lain, antibodi itu boleh membunuh lebih banyak virus dan bertindak dengan pantas, kata seorang pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Singapura, Paul MacAry. Pasukan penyelidik itu juga akan berusaha untuk meningkatkan lagi antibodi tersebut bagi mengatasi virus denggi subjenis 2, 3 dan 4. Menurut MacAry, pasukan mereka telah menemui antibodi bagi subjenis 2 tetapi masih dalam proses ujian awal. "Hampir 99 peratus kes denggi di Singapura melibatkan jenis 1 atau 2. Maka dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun, dua jenis antibodi akan diperkenalkan untuk membantu pesakit demam denggi di Singapura," katanya. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan