Jumaat, 22 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


20 maut serangan hotel di Kabul

Posted: 22 Jun 2012 11:14 AM PDT

Dunia

Polis elit Afghanistan, tentera NATO akhiri drama tebusan militan Taliban

KABUL: Polis elit Afghanistan dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjaya menamatkan drama tebusan 12 jam di sebuah hotel di Kabul yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas sekumpulan anggota Taliban menyerang bangunan di tepi tasik dan menahan beberapa penghuninya.

Jurucakap kementerian dalam negeri Afghanistan Sediq Sediqqi berkata sekurang-kurangnya 12 hingga 15 orang awam, dua pengawal hotel dan seorang anggota polis terbunuh dalam pertempuran senjata di Hotel Spozhmai yang menghadap Tasik Qargha. Turut terbunuh, lima anggota Taliban.

Serangan Taliban bermula kira-kira 11.30 malam kelmarin, apabila penyerang bunuh diri bersenjatakan pelancar roket dan rifel Kalashnikov menyerang hotel terbabit. - Mohammad Zahir, Ketua Jabatan Siasatan . Jenayah Polis Kabul

Serangan ala komando menyasarkan Kabul, wilayah paling dilindungi di negara yang dilanda perang itu, mengambil masa beberapa jam untuk berakhir dan mencetuskan ketakutan orang ramai.

Hotel Spozhmai menjadi tumpuan golongan elit dan kaya di Kabul dan pada malam Khamis yang juga permulaan hujung minggu di Afghanistan biasanya dipenuhi dengan golongan berkeluarga bercampur antara lelaki dan wanita.

"Serangan Taliban bermula kira-kira 11.30 malam kelmarin, apabila penyerang bunuh diri bersenjatakan pelancar roket dan rifel Kalashnikov menyerang hotel terbabit," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah polis Kabul, Mohammad Zahir.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya seorang penyerang meletupkan bahan letupan yang disembunyikan dalam jaket yang dipakai mereka, kata Zahir.
Taliban yang mengetuai pemberontakan berdarah menentang kerajaan Karzai yang disokong Barat itu mendakwa bertanggungjawab.

Jurucakap Zabihullah Mujahid memberitahu AFP bahawa diplomat asing dan ahli misi NATO diketuai Amerika Syarikat serta kerajaan Kabul berhimpun di hotel berkenaan setiap Khamis untuk mengadakan parti liar, mabuk dan melanggan pelacur.

Tasik Qargha, kira-kira 10 kilometer dari tengah Kabul menjadi tumpuan berkelah popular. Tasik berkenaan dikelilingi hotel, restoran dan dewan perkahwinan.

Sediqqi berkata sekurang-kurangnya 40 tahanan orang awam yang ditawan dibebaskan sebelum kejadian itu berakhir.

Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) NATO mengesahkan bahawa tenteranya dan pasukan keselamatan Afghanistan memberi maklum balas terhadap serangan itu.

NATO bercadang mengundurkan sejumlah 130,000 tenteranya dari Afghanistan menjelang akhir 2014, menamatkan perang sejak beberapa dekad yang membunuh berpuluh ribu orang awam Afghanistan dan lebih 3,050 tentera asing.

Presiden Hamid Karzai memberi amaran bahawa serangan terhadap polis dan askar Afghanistan semakin meningkat dengan purata 20 hingga 25 anggota dibunuh setiap hari.

Beliau mengakui kerajaannya dan sekutu Barat gagal membawa keamanan ke Afghanistan yang mengalami konflik sejak tiga dekad lalu, mengatakan bahawa 'tanah kita tidak selamat, rumah kita, rakyat kita juga tidak selamat."

Pada Rabu satu serangan bunuh diri mensasarkan pasukan rondaan bersama tentera Afghanistan-NATO di bandar timur, Khost, berhampiran dengan sempadan Pakistan, membunuh 21 orang termasuk tiga tentera Amerika Syarikat. – Reuters/AFP


Majlis Tentera Mesir beri alasan ambil alih kuasa

Posted: 22 Jun 2012 11:12 AM PDT

Dunia

KAHERAH: Majlis Tentera Mesir bertegas bahawa keputusan pihaknya untuk mengambil alih kuasa adalah perlu meneruskan pemerintahan negara.

Pada masa sama ia menyalahkan Ikhwanul Muslimin kerana meningkatkan ketegangan dengan mengumumkan keputusan pilihan raya presiden lebih awal dan mendakwa kemenangannya.

Kenyataan tentera itu dibuat ketika berpuluh ribu penduduk berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah untuk menyokong calon presiden Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi. Penunjuk perasaan juga mengutuk apa yang disifatkan mereka sebagai tindakan menghalang kuasa pemimpin. Majlis Tentera minggu lalu mengeluarkan satu perisytiharan mengambil alih pemerintahan yang sekali gus mengurangkan kuasa presiden baru dilantik. Ia diikuti dengan kritikan antarabangsa terhadap dokumen itu yang juga mempersoalkan masa perisytiharan.

Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan Morsi sebagai pemenang beberapa jam selepas undian ditutup minggu ini. Dakwaan itu disangkal pesaing Morsi, Ahmed Shafiq yang juga perdana menteri di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

"Mengumumkan keputusan pilihan raya presiden terlalu awal sebelum kenyataan rasmi adalah tidak adil dan menjadi satu sebab erpecahan dan kekeliruan dalam politik," kata kenyataan yang dibacakan melalui televisyen tempatan tanpa merujuk Ikhwanul Muslimin secara khusus.

Keputusan rasmi sepatutnya diumumkan Khamis tetapi pihak berkuasa menangguhkannya, menyebabkan dakwaan manipulasi semua pihak termasuk tentera memerintah.
Majlis tentera menolak gesaan mengesahkan semula parlimen diketuai Ikhwanul Muslimin yang dibubarkan berikutan satu keputusan mahkamah minggu lalu. Tentera berkata keputusan mahkamah berkenaan perlu dihormati. – AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan