Kosmo Online - Dunia |
15 maut dalam keganasan di Syria Posted: 15 maut dalam keganasan di Syria
BEIRUT - Seramai 15 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di Syria semalam apabila pihak tentera membedil beberapa daerah di bandar Homs, kata sebuah kumpulan pemantau. Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria, seorang penduduk terbunuh di kubu pemberontak di Khalidiyeh akibat serangan tentera rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad. Serangan itu dilakukan bagi menawan semula beberapa buah daerah yang dikuasai pemberontak. Seorang pemberontak maut dalam pertempuran dengan tentera rejim di Karm Shamsham, sempadan Homs. Sementara itu, seorang aktivis di bandar lama, Abu Bilal menceritakan tentang kepungan tentera Syria di beberapa bahagian di bandar ini. "Tentera rejim membedil kami pada setiap masa. Kami memiliki sedikit bekalan makanan dan air malah kami kehabisan ubat," jelas Abu. Rakaman video yang dimuat naik oleh kumpulan aktivis di laman web perkongsian video YouTube menunjukkan asap hitam dan kelabu menjulang di beberapa bangunan dengan bunyi bedilan serta tembakan senjata kedengaran. Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera rejim Bashar bermula sejak Mac tahun lalu. Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan atas dakwaan melakukan salah guna kuasa semasa memerintah. Lebih 14,000 orang dilaporkan terkorban sejak pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku pada Mac tahun lalu. - AFP | ||
13 maut, penjara di Turki terbakar Posted: 13 maut, penjara di Turki terbakarBANGUNAN yang terdapat dalam penjara Sanliurfa semalam. ISTANBUL - Seramai 13 orang terbunuh akibat terhidu asap selepas beberapa banduan membakar selimut dan tilam di penjara Sanliurfa lewat kelmarin, kata beberapa pegawai semalam. Menurut agensi berita Anatolia, kebakaran akibat perbuatan banduan tersebut dapat dikawal sebelum ia merebak ke seluruh penjara. Seramai lima lagi banduan dimasukkan ke hospital termasuk 12 kakitangan penjara. Penjara itu menempatkan kira-kira 1,000 banduan. Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, kebakaran itu berlaku ekoran satu pergaduhan dalam bilik penjara yang dihuni seramai 18 orang. Selepas satu siasatan dilakukan, Menteri Kehakiman, Sadullah Ergin memberitahu, terdapat tentangan daripada beberapa banduan semasa anggota-anggota pasukan keselamatan cuba memindahkan mereka. Penjara itu dilaporkan hanya boleh memuatkan 250 banduan tetapi bilangan penghuninya bertambah sejak beberapa tahun lalu. Menurut laporan stesen NTV, perbuatan banduan tersebut membakar selimut adalah bagi membantah kekurangan alat penyaman udara di penjara tersebut. Polis bertindak melakukan sekatan jalan raya ke penjara tersebut. Anggota-anggota polis juga menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan beberapa keluarga banduan yang mahu mengetahui identiti penghuni yang mati. Satu siasatan akan dilakukan bagi menentukan punca kejadian tersebut. - AFP | ||
Posted: Pentas konsert rock runtuh
TORONTO, Kanada - Seorang maut dan tiga yang lain cedera apabila sebuah pentas gergasi runtuh tiga jam sebelum persembahan konsert band rock dari Britain, Radiohead di sini, kata beberapa pegawai kelmarin. Timbalan Komander Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, David Viljakainen berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang terperangkap di bawah runtuhan pentas tersebut disahkan mati. Menurut Viljakainen, seorang lelaki berusia 45 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dimasukkan ke sebuah hospital dan dua mangsa lain dirawat di tempat kejadian di Downsview Park. Sementara itu, jurucakap polis, Tony Vella berkata, ketika kejadian, beberapa kru sedang bekerja di atas pentas tersebut. Punca kejadian masih disiasat dan polis menolak spekulasi bahawa ia disebabkan angin kencang. Kumpulan Radiohead mengumumkan di laman Twitter bahawa konsert tersebut dibatalkan ekoran kejadian tersebut. Laman web rasmi kumpulan tersebut turut menyatakan sebanyak 40,000 tiket konsert itu habis dijual. Band itu dianggotai lima orang iaitu Thom Yorke, Jonny Greenwood, Colin Greenwood, Phil Selway dan Ed O'Brien. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan