Kosmo Online - Dunia |
- Bekas atlet wanita didakwa rogol wanita
- Aduan polis dibuat tentang sikap Lady Gaga
- Identiti pemuda misteri akhirnya terbongkar
Bekas atlet wanita didakwa rogol wanita Posted: Bekas atlet wanita didakwa rogol wanita
KOLKATA - Seorang atlet wanita India yang memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2006, Pinki Pramanik muncul di mahkamah di sini semalam bagi menghadapi dakwaan dia merogol bekas kekasihnya yang juga seorang wanita. Bekas kekasihnya itu turut mendakwa bahawa Pramanik 26, yang kelihatan seperti wanita sebenarnya ialah seorang lelaki. Pramanik turut ditahan reman selama 14 hari sehingga perbicaraan berhubung dakwaan merogol itu berlangsung. "Mahkamah majistret meminta pihak berkuasa untuk membentuk satu lembaga perubatan bagi menentukan jantina Pramanik," kata Ketua Balai Polis di Kolkata, Prabir Roy. Pramanik yang bersara pada tahun 2007 enggan untuk menjalani pemeriksaan di sebuah hospital semasa dia di soal-siasat selepas ditangkap kelmarin. "Saya telah menjalani banyak ujian perubatan sepanjang kerjaya sebagai seorang atlet. "Kenapa saya perlu bersetuju untuk menjalani lebih banyak ujian perubatan yang mengarut ini?," soal Pramanik yang disiarkan akhbar Times of India semalam. Dia pernah memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter berganti-ganti pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006. Bekas kekasih Pramanik mendakwa dia dirogol beberapa kali. Namun, Pramanik memberitahu kisah yang berbeza. "Wanita itu (mangsa) meminta wang sebanyak 300,000 rupees (RM17,271) tetapi saya enggan memberikan wang tersebut kepadanya." kata Pramanik kepada pemberita dari sebuah van polis sebelum dia dihadapkan ke mahkamah. Polis menyatakan bahawa Pramanik tinggal bersama kekasihnya di sini selama beberapa bulan. Akhbar Calcutta Telegraph melaporkan bekas kekasihnya menyatakan Pramanik pernah berjanji untuk berkahwin dengannya. Pramanik berasal daripada keluarga petani yang miskin di negeri Bengal Barat, sekitar 220 kilometer dari sini dan bekerja sebagai seorang inspektor tiket sebelum berkecimpung dalam bidang sukan. Sementara itu, ibu Pramanik, Puspa memberitahu stesen televisyen Bengali TV bahawa anaknya itu tidak bersalah. "Saya tidak percaya dia melakukan jenayah seperti itu. Saya berharap dia akan mendapat keputusan yang adil," katanya. Setiausaha Persekutuan Atlet India, C.K. Valson memberitahu agensi berita AP bahawa pihaknya tidak mengetahui sama ada Pramanik akan diminta untuk memulangkan semula pingatnya ekoran kes tersebut. "Dia bersara tiga tahun lalu dan tiba-tiba kita mendengar semua ini (kes itu)," katanya. Menurutnya, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kes tersebut. Pramanik pernah memenangi pingat emas dalam acara larian 400 meter pada Sukan Grand Prix Asia di Bangalore, India pada 22 Mei 2006. Pingat perak yang dimenangi atlet dari India, Santhi Soundarajan pada Sukan Asia 2006 terpaksa ditarik balik selepas dia gagal dalam ujian jantina yang dilakukan sejurus selepas acara larian tersebut berlangsung. - Agensi | |
Aduan polis dibuat tentang sikap Lady Gaga Posted: Aduan polis dibuat tentang sikap Lady GagaGAMBAR fail menunjukkan Lady Gaga membuat persembahan di sebuah stadium di Bangkok pada 25 Mei lalu. BANGKOK – Kementerian Kebudayaan Thailand memfailkan aduan kepada polis semalam terhadap penyanyi terkenal, Lady Gaga. Aduan itu berhubung perbuatan penyanyi tersebut yang menggunakan bendera Thailand semasa dia membuat persembahan di sini pada bulan lalu. Sebelum ini, penyanyi tersebut telah mengaibkan ramai penduduk Thailand dengan menyatakan di laman Twitter bahawa dia merancang untuk membeli seutas jam tangan Rolex di pasar malam Bangkok selepas tiba di negara ini. Namun, Lady Gaga kini berdepan dengan aduan berhubung penggunaan bendera Thailand semasa dia menunggang motosikal dengan memakai bikini di atas pentas. Seorang pegawai kementerian itu memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa menggunakan bendera kebangsaan adalah tidak sesuai dan melukakan perasaan penduduk Thailand. Menurut akhbar tersebut, pihak kementerian bagaimanapun tidak meminta polis untuk mendakwa Lady Gaga. Seorang pegawai kementerian itu menyatakan tujuan aduan tersebut dikemukakan adalah untuk menunjukkan perasaan tidak berpuas hati terhadap perbuatan berkenaan. Bendera Thailand mempunyai tiga warna iaitu merah untuk negara, biru mewakili institusi beraja dan putih untuk agama. Thailand mempunyai undang-undang kesalahan terhadap raja dan kerajaan yang dikenali sebagai lese-majesty. Berdasarkan undang-undang itu, hukuman sehingga 15 tahun penjara akan dikenakan terhadap kesalahan menghina raja, permaisuri atau waris takhta. – Agensi | |
Identiti pemuda misteri akhirnya terbongkar Posted: Identiti pemuda misteri akhirnya terbongkarWAJAH pemuda misteri yang mendakwa namanya Ray di laman web polis Berlin pada 5 September tahun lalu. BERLIN - Identiti seorang pemuda misteri yang muncul di Berlin pada tahun lalu dengan mendakwa namanya sebagai Ray dan tinggal di hutan Jerman selama beberapa tahun akhirnya terbongkar. Pemuda itu mencetuskan misteri pada tahun lalu apabila dia mendakwa keluar dari hutan di Jerman yang menjadi tempat tinggalnya selama beberapa tahun. Ketika itu, pemuda tersebut menyatakan bapanya telah meninggal dunia dalam hutan. Namun, polis semalam menyatakan seorang bekas kekasih pemuda tersebut mengenal pasti identitinya sebagai lelaki berusia 20 tahun dari Belanda. Identiti itu disahkan selepas polis mengedarkan gambar pemuda tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang dirinya pada awal minggu ini. Polis menyatakan pemuda tersebut akhirnya mengaku maklumat yang diberikan oleh bekas kekasihnya itu adalah benar. Sebelum ini, beberapa orang yang tinggal di bandar Hengelo, Belanda mengenal pasti pemuda tersebut selepas mereka melihat gambarnya yang disiarkan polis Berlin. Ibu tiri pemuda tersebut dapat mengenalinya selepas melihat gambarnya. Seorang jurucakap polis di Hengelo, Chantal Westerhoff turut mengenal pasti identiti pemuda tersebut yang kini berusia 20 tahun. Menurut Westerhoff, pemuda tersebut meninggalkan rumahnya pada September 2011 tanpa memaklumkan kepada bapa atau ibu tirinya yang menyebabkan pasangan tersebut membuat aduan polis berhubung kehilangan anak mereka itu. Stesen penyiaran NOS Belanda yang mewawancara beberapa rakan pemuda tersebut mendedahkan nama sebenarnya ialah Robin van Helsum. Dalam kisah yang menarik perhatian dunia itu, pemuda tersebut muncul di bangunan Dewan Bandar Raya Berlin di sini pada 5 September 2011 dan menyatakan bahawa nama pertamanya ialah Ray kepada beberapa orang. Menurutnya, dia tinggal di hutan bersama bapanya selama lima tahun. Bertutur dalam Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan beberapa perkataan Jerman, pemuda itu memberitahu bahawa bapanya telah mati pada Ogos tahun lalu. Menurutnya, selepas menanam mayat bapanya di hutan, dia berjalan ke arah utara selama lima hari sebelum tiba di Berlin. Namun, polis yang tidak menemui mayat bapa budak lelaki tersebut. Pemuda tersebut tinggal di sebuah institusi kebajikan selepas dia muncul di bangunan dewan itu. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan