Kosmo Online - Dunia |
- Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya
- 70 orang maut di Baghdad
- 184 samseng bola sepak ditangkap
Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya Posted: Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya
PULAU SHAHPURI, Bangladesh - Seorang bayi perempuan yang dibawa melintasi sebatang sungai di sempadan pada waktu malam bagi melarikan diri daripada keganasan di Myanmar ditemui bersendirian di dalam sebuah bot semalam. Bayi berkenaan ditemui oleh beberapa pengawal keselamatan Bangladesh yang mengusir beratus-ratus pelarian Islam etnik Rohingya dari Myanmar. Anak kecil berusia enam bulan itu kemudian diserahkan kepada sebuah keluarga Bangladesh. Keluarga berkenaan memberitahu, bayi itu kurang sihat tetapi mereka akan berusaha menjaganya. "Pasukan peronda sungai kami memintas sebuah bot pada pukul 2 pagi (waktu Bangladesh)," kata Mejar Shafiqur Rahman. Beliau mengetuai operasi untuk menghantar pulang pelarian Rohingya yang cuba memasuki Bangladesh melalui bot di Sungai Naf bagi melarikan diri daripada keganasan agama di Myanmar. "Mereka menggeledah bot berkenaan dan menemui seorang bayi perempuan Rohingya berusia dalam lingkungan satu setengah bulan," kata Rahman kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara telefon. "Bot berkenaan kosong. Ini satu keajaiban tetapi bayi tersebut kelihatan pucat," tambahnya. Sejak kelmarin, pasukan peronda sungai Bangladesh telah mengusir 16 buah bot yang membawa lebih 660 pelarian Rohingya dengan kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Sementara itu, beberapa pegawai Myanmar memberitahu, keganasan yang melanda negeri Rakhine di barat Myanmar telah meragut nyawa sekitar 25 orang setakat ini. Kekacauan di Myanmar tercetus selepas sekumpulan penduduk beragama Buddha memukul sehingga mati 10 orang etnik Rohingya yang beragama Islam pada 3 Jun lepas kerana tersilap menyangka mereka membunuh dan merogol seorang gadis tempatan pada bulan lalu. Tindakan tersebut mencetuskan serangan balas etnik Myanmar dengan banyak kediaman penduduk beragama Buddha dibakar sehingga memaksa campur tangan tentera. - AFP | |
Posted: 70 orang maut di BaghdadSEBUAH bangkai van dialihkan dengan menggunakan sebuah kren selepas satu serangan bom berlaku di Baghdad semalam. BAGHDAD - Satu siri serangan bom dan tembakan di sini dan beberapa tempat lain di Iraq semasa satu upacara agama puak Syiah diadakan telah mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan puluhan yang lain semalam, kata beberapa pegawai keselamatan dan perubatan. Serangan itu yang turut menyebabkan lebih 200 orang cedera berlaku semasa penduduk Syiah memperingati kematian Imam Moussa al-Kadhim. Seorang ketua polis dan doktor berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 orang terbunuh dalam dua bom kereta di bandar Hilla, tengah Iraq. Beberapa pegawai keselamatan dan perubatan memberitahu, sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam sembilan letupan bom dan dua kejadian tembakan di sini yang turut mencederakan puluhan mangsa. Di ibu negeri wilayah Diyala, Baquba, sembilan bom tepi jalan, sebuah bom kereta dan satu kejadian tembakan meragut nyawa lima orang dan mencederakan 15 yang lain. Seorang ketua polis berpangkat leftenan kolonel memberitahu, serangan turut berlaku di Balad, utara bandar raya ini dengan empat orang terbunuh dan 24 lagi cedera dalam dua kejadian bom kereta. Angka kematian tersebut disahkan oleh seorang pegawai pemerintah tempatan. Keganasan seterusnya berlaku di bandar Al-Azizyah, selatan bandar raya ini yang melibatkan satu serangan bom kereta yang meragut dua nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya dua lagi mangsa. Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu. - Agensi | |
184 samseng bola sepak ditangkap Posted: 184 samseng bola sepak ditangkapBEBERAPA penyokong Rusia dan Poland bergaduh di luar Stadium National di Warsaw kelmarin. WARSAW - Polis menangkap 184 orang kebanyakannya peminat pasukan bola sepak Poland selepas mereka bergaduh dengan penyokong skuad Rusia dalam Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012, menurut Kementerian Dalam Negeri semalam. Kebanyakan mereka ditangkap semasa 5,000 penyokong Rusia berarak ke Stadium Nasional di sini. Penyokong-penyokong Rusia itu berarak bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan negara mereka. Perbuatan para penyokong Rusia itu dianggap sebagai hasutan kepada kebanyakan penduduk Poland. Penduduk Poland menyimpan perasaan marah dengan Rusia kerana sejarah silam semasa era pemerintahan komunis. Ketika era itu, Poland berada di bawah telunjuk Moscow. Para penyokong Rusia itu kemudian berdepan dengan 100 samseng bola sepak yang mencetuskan kekacauan sebelum dan semasa perlawanan berlangsung kelmarin. Seramai 24 orang cedera dalam insiden itu termasuk 10 anggota polis. Ketika perarakan itu, samseng-samseng Poland menyerang penyokong Rusia yang kemudiannya bertindak balas. Kedua-dua penyokong itu kemudian saling menendang dan memukul antara satu sama lain. Akhbar dalam talian MailOnline kelmarin melaporkan para peminat Rusia di dalam stadium mempamerkan kain rentang gergasi yang mengandungi ayat This is Russia sekali gus merujuk kepada bekas empayar Soviet. Menteri Dalam Negeri Poland, Jacek Cichocki menyatakan, samseng-samseng bola sepak Rusia yang ditangkap itu akan dibicarakan dan mereka akan diusir keluar. Menurutnya, samseng-samseng Poland akan turut dibicarakan dan bakal menerima hukuman berat. Anggota-anggota polis melepaskan tembakan peluru getah, menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan pergaduhan. Dalam perlawanan bola sepak itu, Rusia dan Poland seri 1-1. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan