Kosmo Online - Dunia |
Posted: Tentera Syria bedil Al-Haffe
DAMSYIK - Tentera rejim pemerintah Syria membedil bandar Al-Haffe di utara negara berkenaan untuk hari kelapan semalam. Perkembangan tersebut mencetuskan kebimbangan akan berlaku pembunuhan beramai-ramai terbaharu di Syria. Serangan berkenaan turut mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut agar pasukan pemerhatinya diberikan akses untuk melawat bandar itu. Seorang pegawai pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi memberitahu agensi berita AFP bahawa tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad menggunakan meriam berat untuk membedil bandar berkenaan sementara mengumpul kekuatan untuk melakukan serangan darat. Beberapa penduduk Al-Haffe memberitahu bahawa helikopter-helikopter tempur membedil kedudukan pemberontak di bandar itu. Mereka bimbang tragedi pembunuhan beramai-ramai akan berlaku jika tentera Bashar memasuki Al-Haffe. Sebelum ini, 55 orang maut dalam pembunuhan beramai-ramai di Al-Kubeir pada minggu lalu dan sekurang-kurangnya 108 mangsa lagi dibunuh dekat Houla pada 25 dan 26 Mei lalu. Bandar Al-Haffe dianggap strategik kerana terletak berdekatan bandar kelahiran Bashar, Qardaha. Menurut Abdel Rahman, terdapat ratusan anggota Tentera Pembebasan Syria yang masih aktif dalam dan di sekitar Al-Haffe. Bandar yang terletak dalam wilayah Latakia dan dihuni oleh sekitar 30,000 orang itu bakal menjadi medan konfrontasi ganas antara pemberontak dan tentera Syria. Kelmarin, tentera Syria dilaporkan melepaskan bedilan di bandar Homs dan Hama, wilayah Daraa, Aleppo dan pinggir bandar Damsyik. Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang pemerintahan Bashar bermula pada awal tahun lalu yang dikatakan telah meragut nyawa lebih 14,000 orang. - Agensi | |
Posted: Lebih 50 maut gempa di AfghanSALAH satu lokasi yang mengalami gegaran gempa bumi di wilayah Baghlan kelmarin. MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan - Lebih 50 orang dikhuatiri terbunuh dalam runtuhan akibat dua gempa bumi yang menyebabkan tanah runtuh sekali gus meranapkan rumah-rumah di utara Afghanistan semalam. Sehari selepas gempa itu berlaku, kira-kira 50 hingga 70 orang mungkin terperangkap di bawah runtuhan di daerah Burka. Daerah itu merupakan kawasan yang paling banyak mengalami kemusnahan. "Mereka mungkin telah mati kerana terdapat banyak runtuhan tanah. Menggali tanah itu agak sukar," kata gabenor di wilayah Baghlan, Munishi Abdul Majeed. Ketua pasukan bantuan bencana alam tempatan, Mohammad Nasir Kohzad berkata, lebih banyak pasukan menyelamat dari Kabul telah dihantar ke lokasi bencana. Dua gempa bumi berukuran 5.4 dan 5.7 pada skala Richter itu menggegarkan kawasan pergunungan Hindu Kush selang setengah jam kelmarin. Lokasi kejadian terletak kira-kira 170 kilometer ke utara Kabul. Gempa bumi yang pertama berpusat 160 kilometer ke barat daya bandar Faizabad dengan kedalaman 15 kilometer. Satu lagi gempa bumi berpusat di kawasan yang hampir sama. - Agensi | |
Posted: Bieber pukau peminatBIEBER duduk di atas pentas di depan skrin yang memaparkan para peminatnya di Plaza Zocalo, bandar raya Mexico kelmarin. BANDAR RAYA MEXICO - Penyanyi terkenal, Justin Bieber memukau para penonton yang menyaksikan konsert percumanya di Plaza Zocalo di sini kelmarin. Semasa Bieber, 18, menyanyikan lagu hitnya, Baby pada persembahan pembukaan, peminat-peminat bagaikan histeria menjerit-jerit namanya. "Bandar raya Mexico, terdapat ramai orang pada hari ini. Setiap orang daripada anda merupakan peminat utama saya," kata Bieber kepada penonton. Bintang remaja itu memakai seluar jean berwarna putih, kemeja-T kelabu dan kasut berwarna kuning ketika membuat persembahan bersama lima penari. Ekoran penonton yang terlalu ramai, empat skrin gergasi disediakan buat peminat yang kebanyakannya perempuan dan ibu bapa mereka. Bieber turut meminta seorang gadis naik ke pentas sebelum memberikannya sejambak bunga. Dia kemudian menyanyikan lagu One Less Lonely Girl sehingga menyebabkan gadis itu tidak berhenti menangis. Lokasi konsert itu bertukar menjadi lautan ungu. Sebahagian penonton yang berumur belasan tahun dan berusia antara 10 hingga 14 tahun memakai pakaian berwarna ungu yang dikatakan warna kesukaan Bieber. Selepas menyanyikan beberapa buah lagu sambil bermain gitar akustik, Bieber menukar pakaian berwarna hitam dan menyanyikan lagu-lagu bertenaga termasuk Somebody To Love. Sementara itu, pada sidang akhbar sebelum konsert berlangsung, bintang kelahiran Kanada itu menyatakan dia memahami perasaan peminat-peminat perempuan. "Tiada seorang pun artis yang saya amat kagumi yang menyebabkan saya melakukan sesuatu yang gila. "Namun, jika Michael Jackson berada di sini, saya akan melakukan (sesuatu yang gila) untuknya. "Justeru, saya memahami perasaan yang dirasai gadis-gadis dan ia membuatkan saya berasa amat berbesar hati," katanya. Konsert tersebut berakhir dengan pertunjukan bunga api. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan