Kosmo Online - Dunia |
Lebih 3,000 militan di Thailand Posted: Lebih 3,000 militan di Thailand
BANGKOK - Thailand berjuang menentang lebih 3,000 militan Islam yang melancarkan perang gerila di selatan negara berkenaan, kata Ketua Tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha semalam. Beliau membuat kenyataan itu selepas beberapa militan melancarkan serangan bom kereta yang menyebabkan 14 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera pada Sabtu lepas. "Terdapat sekitar 300 anggota berpangkat ketua, 3,000 anggota biasa dan sekitar 10,000 penyokong mereka," kata jeneral itu. Namun, katanya, bilangan militan semakin berkurangan ekoran sejumlah tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Prayut turut meminta orang ramai supaya bertenang ekoran serangan yang berlaku pada hujung minggu lalu yang disasarkan ke atas sebuah hotel pelancongan popular di bandar Hatyai sekali gus mencetuskan kebimbangan ketika rakyat bersiap sedia untuk menyambut perayaan tahun baru, Festival Songkram pada pertengahan bulan ini. "Jangan panik kerana ia menjadi matlamat kumpulan-kumpulan militan," katanya. Prayut menyatakan demikian kepada pemberita sebelum beliau mengiringi Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra melawat Hatyai yang merupakan bandar terbesar di selatan Thailand. Serangan bom kereta di hotel berkenaan mencetuskan kebakaran yang menyebabkan tiga orang terbunuh manakala lebih 400 yang lain cedera. Serangan itu berlaku sekitar sejam selepas beberapa bom kereta meragut nyawa 11 orang dan mencederakan 100 lagi di bandar Yala, tidak jauh dari sempadan Thai-Malaysia. Serangan ke atas hotel berkenaan menandakan militan-militan di selatan Thai kini memperhebatkan serangan selepas melancarkan penentangan terhadap kerajaan Thailand pada 2004. - AFP | |
Posted: Suu Kyi rai kemenanganSUU KYI melambaikan tangan ke arah para penyokongnya di Yangon semalam. YANGON - Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi (gambar kecil) yang menang pada pilihan raya kecil di Myanmar berharap kemenangannya akan membuka era baharu di negara berkenaan. Suu Kyi menyatakan demikian ketika berucap kepada beribu-ribu penyokong di luar ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi yang dianggotainya semalam. Beliau berucap sehari selepas partinya mendakwa beliau telah memenangi kerusi Parlimen bagi kawasan Kawhmu. "Kejayaan kita ialah kejayaan rakyat," kata Suu Kyi. "Ia ialah kejayaan rakyat yang membuat keputusan bahawa mereka perlu terlibat dalam proses politik di Myanmar. "Kita berharap kemenangan ini akan menjadi permulaan untuk satu era baharu," tambahnya lagi. Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera. Keputusan rasmi pilihan raya kecil berkenaan dijadualkan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi. Pilhan raya kecil itu diadakan bagi memilih 45 wakil rakyat baharu. - Agensi | |
Filem The Hunger Games kekal No.1 Posted: Filem The Hunger Games kekal No.1SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem The Hunger Games. LOS ANGELES - Filem aksi remaja, The Hunger Games kekal mendahului kutipan pecah panggung di Amerika Utara untuk minggu kedua berturut-turut. Menurut agensi yang mengumpulkan anggaran kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem itu yang memperoleh kutipan AS$152.5 juta (RM465.4 juta) dua minggu lalu melonjak kepada AS$250 juta (RM762.9 juta) hanya dalam tempoh 10 hari ditayangkan di pawagam. Ia dianggarkan memperoleh AS$60 juta (RM183.1 juta) pada minggu lalu. Filem The Hunger Games mengisahkan seorang gadis remaja yang terlibat dalam satu permainan sukan maut yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Suzanne Collins. Tempat kedua menjadi milik filem sekuel fantasi, Wrath of the Titans yang memperoleh kutipan sebanyak AS$36 juta (RM109.9 juta). Filem Snow White berada di tempat ketiga dengan kutipan sebanyak AS$22 juta (RM67.1 juta). - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan