Berita Harian: Dunia |
Iran bersumpah tidak henti program nuklear Posted: 02 Apr 2012 03:36 PM PDT Dunia Ali Akbar Salehi TEHRAN: Iran semalam berikrar tidak akan menghentikan program nuklearnya walaupun diancam dengan pelbagai sekatan, seminggu sebelum rundingan dengan kuasa Barat yang dilihat sebagai peluang terakhir bagi negara itu untuk mencari penyelesaian secara diplomasi. "Sekatan itu mungkin menyebabkan masalah kecil kepada kami tetapi kami akan meneruskan jalan kami," kata Menteri Luar, Ali Akbar Salehi dalam satu temu bual dengan agensi berita rasmi Islamic Republic News Agency (IRNA). "Kami tidak memandang rendah mana-mana musuh, tidak kira betapa kecil atau rendah mereka. Pegawai rejim, pemimpin tertinggi, presiden, tentera, Pengawal (Revolusi) dan Basij (militia) amat berhati-hati. Negara ini bersedia untuk mempertahankan pencapaian Islam Iran," katanya.Kata-kata itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, Sabtu lalu, berkata bahawa rundingan antara Iran dan kuasa dunia itu akan berlangsung pada 13 dan 14 April di Istanbul. Beliau dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama secara terbuka berkata, bahawa pintu diplomasi dalam pertikaian membabitkan program nuklear Iran sudah ditutup. "Dasar kita adalah satu halangan bukan batasan," kata Clinton di Arab Saudi selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya di Teluk Arab.
Israel dan Amerika Syarikat mengancam serangan tentera terhadap kemudahan nuklear Iran sekiranya diplomasi dan sekatan gagal untuk menghalang cita-cita nuklear republik Islam itu. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan empat set sekatan terhadap Iran kerana program nuklearnya yang disyaki Barat dan Israel termasuk keupayaan membangunkan senjata atom. Iran menafikan sebarang dimensi ketenteraan dalam aktiviti nuklearnya. Pemimpin, Ayatollah Ali Khamenei juga menyifatkan senjata nuklear sebagai satu 'dosa'. Tetapi beliau enggan untuk mematuhi sekatan itu dan memberi amaran Iran akan membalas sekiranya diserang. Jurucakap kementerian luar, Ramin Mehmanparast dalam satu temu bual dengan agensi berita Fars berkata, bahawa Iran menyifatkan perbincangan perang itu sebagai satu 'permulaan' psikologi memberi kesan kepada negara Iran, mengurangkan sokongan penduduk terhadap sistemnya. Tetapi beliau berkata, kesediaan (menghadapi sebarang ancaman) kami adalah di kemuncaknya. Kami menerima sebarang ancaman secara serius. – AFP |
Posted: 02 Apr 2012 03:35 PM PDT Dunia ANIFAH bersama Menteri Luar Singapura, K Shanmugam (dua dari kanan) dan Menteri Luar Brunei, Lim Jock Seng (kiri) ketika memasuki Istana Keamanan di Phnom Penh, semalam. PHNOM PENH: Isu semasa serantau dan antarabangsa termasuk suasana di Myanmar, Palestin, isu nuklear Korea Utara dan pelucutan senjata nuklear serta krisis kewangan global dijangka menjadi tumpuan perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 yang bermula di sini, hari ini. Sidang kemuncak dua hari bertemakan 'Satu Komuniti, Satu Tujuan' itu bermatlamat untuk mempertingkatkan usaha ke arah mencapai tiga keutamaan ASEAN pada 2011 iaitu memastikan kemajuan pesat dalam merealisasikan komuniti ASEAN, memastikan suasana dan iklim serantau kekal kondusif untuk pembangunan serta meningkatkan peranan ASEAN dalam komuniti global. Semua ketua 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam menghadiri sidang yang berlangsung di Istana Keamanan, di sini manakala Indonesia diwakili oleh Naib Presiden.Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba malam tadi dan turut sertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz. Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, semalam, Anifah berkata intipati tema Sidang Kemuncak ASEAN 2012 yang dipengerusikan oleh Kemboja itu menggambarkan komitmen bersama negara rantau ini untuk bekerjasama rapat dalam semangat perpaduan dan kesepakatan bagi merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015. Katanya, sidang kali ini akan membincangkan topik mengenai Deklarasi Phnom Penh bertajuk 'ASEAN: Satu Komuniti, Satu Tujuan'; Peringkat Pelaksanaan Piagam ASEAN dan Pelan Tindakan Komuniti-Komuniti ASEAN; Peringkat Pelaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN; Merealisasi ASEAN Bebas Dadah 2015; Gerakan Kesederhanaan Global (GMM); Pelaksanaan Deklarasi DOC; Memperkukuhkan Sekretariat ASEAN dan juga perkara-perkara lain, termasuk G-20 dan Dialog Global ASEAN. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan